Tamat bacaan novel Terusir, saya kekaguman. Bagaimanakah seorang Hamka boleh menulis cerita fiksi sebagus ini, latar cerita ini sama pula dengan zaman kini!

Nipis tapi besar sekali makna setiap baris ayat yang ditulis oleh Buya. Sungguh saya tidak sangka, seorang Buya Hamka benar-benar genius dalam urusannya. Setiap tulisannya ini mampu meresap ke dalam jiwa-jiwa yang sedang lapar sekali gus membangkitkan rohani. 

Kemudian, saya membaca pula Falsafah Syaitan. Sepertinya saya berada di dimensi lain. Saya bagaikan berada di ruangan pustaka yang ruang udaranya terapung-apung dengan syarah agama.

Buya membawakan contoh cerita yang dekat dengan kehidupan kita, yang menarik jiwa saya untuk sama-sama merenungi segenap kehidupan. Gaya bahasanya yang santai itu membuatkan kita merasakan Buya sedang bercakap di hadapan kita. Santai tetapi cukup kena tegasnya. Tidak kurang dan tidak lebih.

Maka, bagaimanakah seorang alim ini mampu menghasilkan pelbagai variasi karya yang hidup sampai saat ini?

Novelnya penuh ibrah, travelognya padat dengan informasi, tegurannya penuh hikmah, faktanya punya dalil. Seorang lelaki berjiwa besar ini mampu menghasilkan sesuatu yang meninggalkan legasi untuk dirinya, Walaupun beliau sudah tiada di dunia ini lagi namun legasinya itu tetap utuh diperjuangkan.

Seseorang itu tidak mampu memberikan sesuatu kepada orang lain jika dia tidak punya apa-apa. Ternyata, hidup Buya Hamka penuh dengan pengalaman dan ilmu.

Keteguhannya dan semangatnya dalam menuntut ilmu itu perlulah kita contohi. Mana mungkin seseorang boleh berkata-kata dengan baik, menghasilkan karya dengan bagus, menjadi pemimpin yang berkaliber kepada anak buahnya tanpa ilmu?

Jika tiada ilmu, maka kita sama saja dengan tin kosong — yang berbunyi kuat semata-mata tetapi tiada isi di dalamnya. Seharusnya, kita perlu mengisi jiwa kita dengan ilmu yang benar lalu memberi manfaat kepada orang lain.

Yang paling penting sekali, ilmu itu haruslah dicari dan diamalkan. Seperti seorang Buya Hamka, ilmu yang dituntutnya itu membentuk keperibadiannya yang sangat hebat dan menjadi contoh kepada sosok-sosok yang mengenalinya.

Ilmu tanpa amal itu sia-sia. Bukan bermakna kita harus menunggu ilmu kita cukup takungannya, barulah kita bersedia untuk turun padang dan menyebarkan kebaikan tetapi kedua-duanya itu seharusnya berjalan seiringan.

Jika mahu menunggu ilmu penuh di dada, mana mungkin ilmu seluas lautan itu mampu kita gali. Justeru, seharusnya ilmu yang kita pelajari kini semakin membuatkan kita dekat dengan Tuhan dan menimbulkan satu rasa iaitu ingin berkongsi kebaikan — sebagai asbab untuk kita mengamalkannya.

Selama Buya Hamka berkelana menuntut ilmu, belajar daripada pengalaman dan berguru, antara cara beliau memberikan manfaat kepada orang lain adalah dengan memuntahkannya di atas kertas. Akhirnya, manfaat itu diguna pakai sehingga sekarang.

Contoh yang kita dapat lihat sekarang, bagaimana ramai sekali orang yang membuat video dan memuat naik di media sosial masing-masing untuk menyebarkan ilmu yang tidak diketahui orang lain.

Misalnya, doktor yang bercakap tentang perubatan, chef yang mengajar cara memasak, dan pelajar yang berkongsi cara menggunakan Microsoft Excel. Bukan ini sahaja, banyak lagi perkara yang bermanfaat boleh diberikan kepada orang lain, juga manfaat kepada diri sendiri — saham pahala untuk diri kita.

Satu perkara yang saya belajar daripada pembacaan karya Buya adalah kita mesti rajin dan gigih mencari ilmu agar hidup kita ini sentiasa ingat kepada Dia Yang Maha Agung.

Kita akan berasa lelah sekiranya kita memaksa mencari ilmu kerana kepentingan sendiri dan kepentingan manusia lain. Namun, kita akan merasakan ilmu itu senjata saat kita mempelajarinya kerana reda-Nya. Apakah makna hidup selain mendapatkan reda Tuhan?

Teringat saya  dengan kata-kata Imam Syafi’i,

“Jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka kamu harus sanggup menahan perihnya kebodohan.”

Ayuhlah kita berusaha untuk menggali ilmu agar kita akan ditunjukkan jalan yang lurus dan tidak sesekali lemah dan longlai tatkala dilanda badai.

Disediakan oleh,

Jiha Jahari

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.