Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Suka atau tidak dengan gaya politik beliau, sukar untuk kita nafikan kenyataan Bapa Malaysia ini. Kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan falsafah politik telah mewujudkan keunikan di negara kita. Namun, keunikan itu hanyalah sekadar luaran sahaja jika tidak diikat dengan satu kata; perpaduan.

Perihal berpadu, bercocok dan kesesuaian. Itulah takrif secara umum yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat terhadap perpaduan. Profesor Ulung Shamsul Amri Baharudin di dalam Modul Hubungan Etnik (2012) menakrifkan perpaduan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.

Pasca peristiwa 13 Mei 1969 yang mencetuskan ketegangan antara kaum, kerajaan ketika itu telah melancarkan Rukun Negara sebagai sebuah ideologi negara dalam mengekalkan kestabilan di samping membentuk perpaduan kaum. Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang hanya dilaung semasa perhimpunan rasmi atau tempelan mural di dinding namun ia perlu dihayati dengan sepenuhnya. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya jelas memaparkan  pembinaan masyarakat yang bersatu-padu. 

Mengambil contoh prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang mengangkat perihal adab dan kesantunan dalam mendepani hari-hari mendatang. Jessica Ong Hai Liew dalam artikel Menjunjung Rukun Negara Menjulang Kemerdekaan (2020) berpandangan nilai kesopanan dan tingkah laku beradablah yang menjamin kesejahteraan kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Bercakap soal nilai kesopanan dan tingkah laku beradab, kepelbagaian agama, bangsa dan falsafah di negara ini menuntut sikap saling menghormati antara satu sama lain. Dalam soal perbezaan amalan dalam beragama contohnya, perpaduan boleh dicapai apabila masing-masing menghormati antara satu sama lain. Sememangnya setiap agama yang wujud di muka bumi ini mengungkapkan masing-masing membawa ajaran dan amalan yang benar. Walaubagaimanapun itu bukanlah suatu petanda untuk memperlekeh dan menghina agama lain. Islam sendiri misalnya menegah mana-mana penganutnya berbuat demikian berdasarkan ayat 108 Surah al-An’am yang mafhumnya:

Dan janganlah kamu cerca sembahan-sembahan mereka selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan mereka.”

Sikap hormat-menghormati dalam meraikan kepelbagaian tidak mudah untuk dicapai tanpa pendidikan. Pendidikanlah yang memecahkan tembok kejumudan di samping melenturkan buluh keegoan. Maka, pendidikan sama ada di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi perlu meletakkan perpaduan sebagai salah satu teras. Tambahan pula, peletakan perpaduan dalam pendidikan juga tidak terhad di dalam kelas atau dewan kuliah semata-mata. Penganjuran sukan, jamuan perayaan, kelas-kelas tambahan dan kegiatan kokurikulum juga turut membantu ke arah perpaduan. Begitu juga di pengajian tinggi seputar kegiatan khidmat masyarakat dan program subjek.

  Selain itu, keperluan bagi meneroka kebudayaan, amalan dan kepercayaan kaum lain juga boleh membawa kepada perpaduan. Pengajian perbandingan agama misalnya membolehkan para pelajarnya faham akan kepelbagaian agama yang wujud selain anutan sendiri. Hasilnya, muncul sikap hormat-menghormati dan toleransi dalam kehidupan beragama terutamanya di Malaysia.

Buah ranum toleransi dan hormat-menghormati boleh dikait dengan galah dialog. Dialog secara umumnya bermaksud perbincangan dan bertukar-tukar pendapat di antara dua pihak. Dialog mampu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam mencari perdamaian dan toleransi sama ada antara agama, bangsa mahupun falsafah politik. Budaya berdialog mungkin dilihat agak gusar bagi sesetengah pihak kerana percampuran aneka ideologi dalam satu pentas namun semuanya boleh dilegakan andai tujuan utamanya adalah toleransi. Buat pencinta ilmu, dialog boleh menjadi lubuk mengejar kepelbagaian hujah dan fakta terutama bagi yang inginkan iklim lebih redup jika dibandingkan dengan debat yang kadang-kala iklimnya panas mencarak. 

Watak pemimpin sebagai kepala satu-satu organisasi memberi kesan yang sangat mendalam terhadap perpaduan. Pemimpin yang baik adalah yang bijak bertoleransi dalam meraikan kepelbagaian. Sama ada pemimpin tersebut berada di pihak kerajaan, pembangkang, keagamaan, perniagaan, badan-badan rasmi, pertubuhan kebajikan, kejiranan hatta keluarga sewajarnya tidak menjadikan perihal kaum dan agama sebagai umpan bagi meraih keuntungan. Amatlah memalukan bagi seorang pemimpin yang wataknya patut bergelar pendamai bertukar kepada pemecah belah masyarakat bahkan lebih menyayat hati peniup budaya kemelampauan.

Mengangkat perpaduan dalam kepelbagaian sememangnya mudah andai kenyataan Bapa Malaysia seperti di awal petikan lumat dihadam oleh seluruh warga Malaysia. Kenyataan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj itu mungkin terlihat ‘biasa-biasa’ sahaja bahkan  tidak kurang juga yang menganggapnya hiasan menjelang Hari Kebangsaan. Walau bagaimanapun, memaknai kata-kata itu akan melahirkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat. Apalah guna negara ini maju teknologinya, kaya pendapatannya dan dipandang tinggi tetapi isi dalamnya penuh dengan perpuakan, nada-nada cercaan terhadap agama lain, melampau dan jumud.  Kelopak-kelopak kepelbagaian yang ada harus dicantum dengan tekad Kesopanan dan Kesusilaan bagi menguntum Malaysia di hati.

Disediakan oleh,

Muhamad Fariz Azmi. Lulusan Sarjana Muda Usuluddin dengan Multimedia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ini merupakan peserta Sekolah Penulisan Ramadan 2021 & 2022. Minat membaca dan kini sedang bertatih dalam dunia penulisan.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.