“Demikianlah wanita, dia hanya tahu mempersoalkan kesetiaan lelaki kepadanya dan dia lupa persoalkan kesetiaannya kepada lelaki padahal begitu pentingnya.”

Sebagaimana yang dipaparkan dalam novel agung karya HAMKA, Hayati telah memalingkan cintanya terhadap Zainuddin sedangkan dia mempunyai pilihan untuk terus mempertahankan kesetiaannya kepada Zainuddin dan menolak lamaran Aziz iaitu anak orang kaya.

Kejadian sebegini tidaklah terhad kepada kisah fiksyen semata-mata bahkan ia terjadi di sekeliling kita dan sebahagian besarnya ternyata wanita yang tidak setia itu mempunyai matlamat yang sama.

Mungkin bagi sebahagian orang, para wanita yang tidak setia ini ‘mata duitan’ atau ‘materialistik’ kerana mengejar kekayaan si lelaki tetapi jika dilihat daripada sudut yang berbeza, ada rasionalnya mereka mengambil keputusan sedemikian.

Hati siapa yang tidak remuk jika wanita yang dicintai berpaling tadah memilih yang lain hanya kerana harta sedangkan cinta yang dibina bertahun-tahun lamanya? Mana tidaknya hancur kehidupan Zainuddin yang hampir merenggut nyawanya apabila Hayati memilih untuk berkahwin dengan Aziz?

Sehebat mana pun seorang lelaki, dalam hatinya tetap ada perasaan. Perasaan yang bukan untuk dipermainkan apatah lagi jika disulami dengan kesetiaan dan ketulusan yang sejati.

Daripada sudut pandang seorang wanita pula, mempunyai pasangan yang punya kerjaya dan berkemampuan daripada segenap hal merupakan impian mereka yang ingin hidup berkeluarga. Kerana matlamat itu, mereka berani memilih untuk menjadi ‘kejam’ terhadap lelaki yang dahulunya pernah menjadi insan yang paling dicintai.

Cinta dan Rasional

Dalam membicarakan soal kesetiaan wanita, ada dua faktor yang perlu diambil kira. Pertama adalah cinta dan kedua adalah rasional. Walaupun sifat setia itu ada di dalam kedua-duanya, lelaki dan wanita tetapi kesetiaan seorang wanita itu ternyata lebih istimewa kerana seorang wanita sanggup mengorbankan masa hadapannya sedangkan lelaki tidak begitu.

Lelaki sifatnya gagah, terbuang di mana-mana sekalipun, dia tetap akan bangkit kerana dia adalah seorang lelaki. Terkecuali kepada lelaki lembik yang tidak punya semangat dan cita-cita besar.

Bayangkan pula seorang wanita yang terbuang, tidak pula ada persediaan untuk hidup sendiri kerana tidak pernah menjangka perpisahan akan menjadi takdirnya, apatah lagi dengan anak-anak yang masih kecil. Ya, dia akan mampu bangkit kembali tetapi daripada mana datangnya kekuatan itu setelah dia memperjudikan masa hadapannya di tangan seorang lelaki?

Terlebih Cinta

Kehidupan ini tidak boleh dikemudi hanya dengan cinta sahaja kerana sifat cinta itu boleh membutakan dan menulikan si pemiliknya sehingga pada akhirnya ia membawa kepada kemusnahan sebagaimana musnahnya masa hadapan seorang wanita di tangan lelaki durjana.

Durjananya lelaki ini bijak mengambil kesempatan atas kelemahan wanita dan mempergunakan kesetiaannya. Seringkali kita membaca di sana sini tentang si wanita yang sanggup menuruti kehendak insan yang dicintainya itu sehingga bukan sahaja meragut maruahnya malah nyawanya sekali.

Sebab itu juga kita sering disajikan dengan pelbagai berita tentang wanita yang menjadi mangsa pukul suami. Ada suami yang kaki perempuan, ada yang kaki judi, penagih dadah usahlah tidak disebut. Bermacam jenis lelaki umpama biawak hidup yang menjadi suami tetapi si isteri tetap setia di sisi atas dasar cinta dan kasih sayang. Pelik bukan?

Terlebihnya cinta seorang wanita, jika sampai kepada lelaki yang budiman, bahagialah hidup mereka kerana menemui insan yang menghargai perasaan seseorang itu bukanlah mudah apatah lagi pada masa ini.

Terlebih Rasional

Namun begitu, tidak juga kehidupan ini dipandu sekadar rasional semata kerana ia menafikan fitrah manusia yang dikurniakan perasaan di dalam hati mereka. Jika rasional menjadi panduan, maka kehidupan yang dibina adalah ‘kaku’ kerana tidak disulami dengan perasaan.

Hidup sebagai seorang isteri tanpa perasaan. Menjalankan segala tanggungjawab dengan sempurna tetapi yang ada cuma penat dan lelah. Tiada sekalipun rasa bahagia.

Meskipun tidak dinafikan bahawa kecurangan itu kejahatan yang bisa memusnahkan kehidupan seorang insan, kecurangan itu ada rasionalnya di pihak kaum hawa. Jangan salah faham, ini bukan justifikasi untuk menerima kecurangan wanita!

Tanyakan kepada para wanita, siapa yang sanggup hidup susah dengan insan yang dia cintai? Memang ada tapi berapa kerat? Sejauh mana mereka kuat untuk hidup dalam kepayahan hanya semata-mata kerana cinta? Hakikatnya cinta semata tidak menjanjikan masa hadapan yang terjamin.

Maka wanita memilih untuk hidup bersama lelaki yang boleh menjamin masa hadapannya. Memberi cukup makan, pakaian, tempat tinggal bahkan kalau lebih daripada itu cukup bagus, bonus bagi mereka!

Kerana lumrahnya semua keperluan itu harus disediakan sepenuhnya oleh suami manakala si wanita cuma menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Jalan Pertengahan

Antara cinta dan rasional, ada jalan pertengahan yang boleh diambil dan lebih selamat buat para wanita daripada dibelenggu oleh salah satunya.

Dalam cinta, ada rasionalnya. Tidak salah mencintai seorang lelaki yang hidup susah asalkan si wanita bersedia untuk memikul bebanan bersamanya. Rasionalnya, mereka bukan sekadar bercinta, tetapi memperjuangkan cinta mereka untuk masa hadapan yang lebih baik.

Bak kata pepatah, di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya. Seorang lelaki bisa sahaja mendaki puncak kejayaan dengan sendirinya tetapi apabila sudah berumahtangga, dia perlukan sokongan daripada si isteri kerana perjuangan rumah tangga itu bukan di bahunya sahaja.

Tidak pula salah memilih seorang lelaki yang kaya raya asalkan si wanita punya rasional bahawa dia juga punya perasaan cinta yang sama seperti si lelaki dan percaya bahawa tidak ada mudarat yang akan dia hadapi di alam perkahwinannya nanti. Hal ini adalah setelah dia menyelidiki sendiri latar belakang si lelaki sebelum menerimanya menjadi pasangan hidup.

Pada akhirnya, lelaki dan wanita kedua-duanya dikurniakan sifat yang setia dan kedua-duanya juga berlaku curang.

Sebagai seorang lelaki yang juga manusia biasa, tiada siapa dapat menafikan kewujudan perasaan mereka yang tulus terhadap insan yang mereka cintai tetapi bukan bermakna masa hadapan mereka disandarkan kepada cinta semata-mata.

Lelaki itu harus kuat, sebagaimana kembalinya bangkit Zainuddin daripada kekecewaannya. Jika kau percaya kemampuanmu sebagai seorang lelaki, mengapa perlu merendahkan moralmu hanya kerana cintamu dicurangi oleh wanita yang tidak setia?

Wanita pula, dalam mencari masa hadapan yang terjamin, jangan pula menganggap perasaan lelaki sekadar mainan sehingga kejam berlaku curang. Berterus teranglah awal-awal jika tidak mampu meneruskan ikatan supaya tidak ada hati yang tersakiti.

Demikianlah wanita yang sukar untuk setia kerana matlamat mereka.

Disediakan oleh,

Firdani Adam

Sandakan, Sabah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.