Home Artikel Umum Mengapa universiti perlu wujud?

Mengapa universiti perlu wujud?

Mengapakah universiti?

Di dalam sebuah masyarakat yang bertamadun, universiti dianggap sebagai satu elemen yang wajib ataupun “compulsory”. Salah satu sebab mengapa universiti dianggap wajib adalah kerana sistem pelajaran universiti yang mempunyai struktur khusus dan formal. Masyarakat juga menganggap universiti ini perlu ada, kalau tiada akan runtuhlah imej sesebuah negara atau masyarakat, sekaligus dilihat sebagai sebuah masyarakat yang tidak bertamadun ataupun “uncivilized society”.  Tetapi persoalan penting di sini adalah mengapakah universiti? Mungkin dalam tulisan saya ini bakal mengupas tentang peranan universiti itu sendiri serta beberapa persoalan yang sering kali ditanyakan tentang asbab kewujudan universiti.

Universiti mainkan peranan yang besar.

Mari kita kembali kepada sejarah penubuhan universiti itu sendiri. Universiti pertama yang ditubuhkan di dunia adalah Universiti Al Qarqawiyyin yang terletak di Maghribi. Menariknya tentang penubuhan universiti ini adalah ia ditubuhkan oleh seorang wanita bernama Fatima al Fihri. Ini juga merupakan bukti bahawa Islam mengangkat peranan wanita dalam agama dan kehidupan sehinggakan universiti pertama di dunia pun ditubuhkan oleh seorang wanita. Awalnya, konsep yang diguna pakai oleh Universiti Al Qarawiyyin ini adala sistem halaqah. Di mana pelajar diberi kebebasan untuk menuntut apa – apa ilmu di pelbagai Halaqah.

Konsep ini juga penting untuk menanam sifat cintakan ilmu itu sendiri supaya kesedaran untuk menuntut ilmu itu dapat menggerakkan pemikiran penutut ilmu itu akan kepentingan menuntut ilmu itu sendiri. Hal ini berbeza dengan konsep universiti sekarang, iaitu kelas dan para pengajar disediakan sendiri oleh pihak universiti. Sebab itu kadang – kadang wujudnya sikap “take for granted” iaitu tidak bersyukur akan kemudahan yang telah disediakan pihak universiti.

 

         Perkarangan Universiti Al Qarawiyyin

Tiga elemen universiti

Terdapat tiga elemen yang mesti ada untuk sebuah universiti berfungsi dengan baik. Jika hilang salah satu elemen ini maka hilanglah sifat universiti itu sendiri. Tiga elemen itu adalah:

  • Orang berilmu
  • Orang yang mahukan ilmu
  • Ilmu

Saya percaya bahawa elemen yang pertama dan ketiga tidak mempunyai masalah untuk ditemui. Kerana orang berilmu itu ramai dan ilmu itu sendiri luas skopnya. Ilmu tidak hanya berhenti dengan konsep sains ataupun kesusasteraan tetapi pelbagai lagi cabang seperti politik dan kesenian juga dianggap sebagai ilmu. Oleh itu, tiada masalah jika kita katakan elemen pertama dan kedua tidak perlu dicari kerana semua tempat memang sudah ada kedua – dua elemen tersebut. Tetapi elemen kedua merupakan elemen yang patut kita beri tumpuan. Elemen kedua inilah apa yang saya katakan sebagai istilah “take for granted” dalam kalangan mahasiswa.

Ramai mahasiswa sekarang menganggap bahawa cukup sekadar belajar di kelas atau kuliyyah. Mereka tidak merasakan kepentingan untuk mencari ilmu di luar kelas. Bagi mereka, ilmu di dalam kelas sudah memadai bahkan ada segelintir yang menganggap bahawa mencari ilmu di luar dewan kulliyyah hanyalah membazir masa. Ini juga boleh kita katakan masalah sangat besar sekarang yang sedang melanda di kalangan mahasiswa. Mereka perlu faham bahawa ilmu berkembang sebab perbincangan. Jika ilmu tidak berkembang bermakna peranan universiti akan mempunyai masalah. Universiti merupakan tempat orang yang berilmu dan ingin menuntut ilmu. Ilmu dan manusia itu dinamik. Apabila kita menyentuh soal dinamik, maknanya ia terbuka kepada perbahasan. Mentaliti mahasiswa yang ketara adalah mentaliti “mahu bekerja”. Bagaimanakah dinamika ilmu ini berfungsi? Dengan tiga cara penting:

  • Bertanya guru
  • Membaca buku
  • Penyelidikan

Tiga cara ini signifikan untuk mewujudkan proses percambahan ilmu. Kerana ilmu dan universiti sentiasa dan saling berhubung antara satu sama lain. Oleh sebab itu, ketiga – tiga elemen univerisiti itu sangat penting untuk difokuskan kerana kualiti ilmu amat bergantung kepada ketiga – tiga elemen tersebut.

Apakah kepentigan Universiti ?

Poin ini merupakan konklusi kepada perbincangan penulisan ini. Sebenarnya apakah kepentingan universiti? Ramai yang tidak lagi nampak apa kepentingan sebenar universiti kerana universiti nampak seolah – olah hanya tempat menukar status sosial sahaja. Oleh itu, saya sendiri nak tekankan mengapa universiti itu perlu ada. Bukanlah  tempat menukar status sosial tetapi lebih besar daripada itu.

Allah telah befirman di dalam Al Quran surah Baqarah ayat ke 31:

“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”

Sejak dari syurga ada proses ilmu di mana Allah sendiri yang menjadi guru manakala nabi Adam menjadi pelajar. Tidak penting apa pun status kita, ilmu itu tetap perlu dicari kerana ia merupakan sebahagian daripada agama. Oleh itu, universiti yang kita boleh simpulkan adalah tempat ilmu itu berkumpul dan berkembang. Kehebatan ilmu akan melahirkan adab. Adab ini yang membezakan antara orang yang benar – benar menuntut ilmu iaitu secara berguru ataupun hanya belajar daripada You Tube. Adab merupakan pintu masuk kepada ilmu. Sebab itu, universiti adalah pintu adab, manakala kuncinya adalah ilmu itu sendiri.

 

Oleh: Hazmi Azman

 

Share:

You may also like

Leave a Reply

Copy link