Agak menyakitkan di dengar apabila ada segelintir pihak yang gemar merendahkan wanita-wanita yang diuji dengan perceraian dalam rumah tangga dengan memberi  julukan yang kurang menyenangkan, seolah-olah mereka ini adalah wanita golongan rendahan dan tidak memiliki  bermaruah diri. 

Sikap dan tomahan sebahagian masyarakat begitu menghiris hati, lebih-lebih lagi ada pihak yang sengaja mengapi-apikan suasana dengan menyebarkan iklan-iklan produk yang menggunakan ayat-ayat provokasi sebagai pelaris produk tanpa berfikir akan kesan negatif terhadap sebilangan nasib para wanita yang berstatus janda. 

Ingatlah akan ayat Allah Azza Wa Jalla perihal orang-orang yang gemar merendahkan orang lain dan bersikap sombong.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.” [Surah Al Hujurat: 11]

Ibnu Katsir rahimahullah berkata bahwa ayat di atas berisi larangan melecehkan dan meremehkan orang lain. Dan sifat melecehkan dan meremehkan termasuk dalam kategori sombong sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Sombong adalah sikap menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” [HR. Muslim no. 91]. 

Yang dimaksudkan ayat ini  adalah meremehkan dan menganggapnya kerdil. Meremehkan orang lain adalah suatu yang diharamkan kerana boleh jadi yang diremehkan lebih mulia di sisi Allah seperti yang disebutkan dalam ayat di atas.” [Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 6: 71]

Seharusnya masyarakat pada hari ini lebih peka, lebih bijak dan matang dalam perilaku agar tidak memburuk-burukkan peribadi wanita-wanita yang berstatus janda kerana mungkin saja diluar pengetahuan kita terdapat sebilangan mereka memilih untuk mengakhiri perkahwinan agar beroleh  jalan kedamaian dan ketenangan hidup. Dan mereka ini bukanlah kesemuanya tergolong wanita-wanita yang kurang baik akhlak dan peribadinya seperti yang difikirkan orang ramai. 

Sangat menyedihkan apabila melihat pelbagai kata-kata kesat dan hinaan dilemparkan, sebahagian orang melihat masa lalu sebagai tiket untuk menilai tanpa mengetahui perihal sebenar disebaliknya. Sikap menunding jari yang hanya menyalahkan wanita sebagai punca masalah perceraian, walhal hakikatnya lelaki juga adalah penyumbang terbesar dalam perpecahan sesebuah rumah tangga.

Kegagalan institusi rumah tangga tidak boleh dilihat hanya sebelah pihak sahaja yang bersalah, melainkan dua pihak. Ini kerana apabila kedua pihak sudah tidak memiliki persefahaman dan buntu menemui jalan pendamaian terbaik dan  langkah akhir yang diambil adalah berpisah, dan membawa haluan hidup masing-masing.

Apabila memperkatakan tentang perceraian maka seharusnya masyarakat kena adil dalam menilai dan tidak menumpahkan semua kesalahan hanya terpikul dibahu para wanita sahaja. Begitu juga dengan pelbagai julukan kurang baik yang sudah sekian lama berakar dalam masyarakat haruslah dihapuskan. Kerana itu penting untuk “membasuh” minda masyarakat dari pemikiran negatif agar kelak generasi masa depan lebih bersifat insani dan berempati. Tidak mudah menilai mahupun memperlekehkan orang-orang yang diuji dengan perceraian, baik itu seorang lelaki mahupun seorang wanita.

Buat mereka yang sedang diuji dengan pelbagai ujian yang menggoyahkan bahtera rumah tangga, ingatlah hikmah di sebalik ujian, sungguh ujian itu mentarbiah dan pembelajaran memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Dalam sebuah hadis Nabi  SAW bersabda,

فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ

“Ujian itu akan selalu menimpa seorang hamba sampai Allah membiarkannya berjalan di atas bumi dengan tidak memiliki dosa.” [HR. At-Tirmidzi no. 2398]

Kegagalan orang lain bukanlah untuk  memperlekehkan atau menertawakan, melainkan ada pengajaran yang boleh ditapis untuk dipelajari bersama. 

Disediakan oleh: Aishah Nerina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.