Setiap individu punya pendapat tentang sesuatu perkara. Yang menulis ini ada pendapat, yang membacanya juga ada pendapat. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), pendapat telah didefinisikan sebagai fikiran, pandangan, atau anggapan. Fikiran pula ditakrifkan sebagai daya berfikir, akal, atau hasil berfikir. 

Sebagai makhluk yang diciptakan dengan keupayaan untuk berfikir, kita haruslah melihat keupayaan tersebut sebagai satu anugerah dan amanah daripada Allah yang harus disyukuri dan digunakan untuk manfaat bersama.

Mengapa kita berbeza-beza pendapat?

Seperti yang digambarkan menerusi peribahasa banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam, kepelbagaian pendapat adalah satu perkara normal yang boleh dijangka akan berlaku dek kehidupan kita yang bersifat sosial. Interaksi seharian menemukan kita dengan pelbagai jenis manusia yang berbeza latar belakang yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi pendapat tentang sesuatu perkara. 

Setiap pendapat juga tertakluk pada tahap ilmu pengetahuan, kefahaman, pengalaman, dan pelbagai lagi aspek yang membuatkan individu itu sendiri unik daripada manusia yang lain.

 

 

 

Ibnu Taimiyah, seperti yang dihuraikan dalam buku “Belajar Toleransi Dari Ibnu Taimiyah” hasil tulisan Muhammad Ikhsan, menjelaskan bahawa perbezaan pendapat, atau ikhtilaf, boleh berlaku atas beberapa sebab. Walaupun sebab-sebab yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyah merujuk kepada perbezaan pendapat para ulama yang membawa kepada perbezaan ketika berijtihad dalam bab fiqh, konsep yang sama boleh diaplikasikan untuk menjelaskan perbezaan pendapat dalam perkara yang lain.

Sebab pertama yang dinyatakan oleh Ibnu Taimiyah adalah apabila sesuatu hadis itu tidak sampai pada pengetahuan ulama tersebut. Jika diaplikasikan sebab tersebut kepada situasi umum, ia boleh dikatakan sebagai sesuatu maklumat itu tidak sampai pada pengetahuan individu tersebut menyebabkan pendapat yang dibentuk tidak mengambil kira atau dipengaruhi dengan maklumat tersebut.

Hal ini boleh terjadi jika pembacaan individu itu tidak luas, tidak berada dalam kelompok manusia yang terlibat secara langsung dengan hal berkaitan, atau tiada akses langsung pada maklumat tersebut.

Sebab kedua berlakunya ikhtilaf menurut Ibnu Taimiyah adalah apabila ulama menafsirkan sesuatu hadis yang sampai pada pengetahuannya itu sebagai tidak sahih. Pada keadaan umum, perbezaan pendapat boleh berlaku jika individu berpandangan bahawa maklumat yang sampai kepadanya itu tidak benar, maka membentuk pendapat yang tidak mengambil kira dengan maklumat tersebut.

Situasi ini boleh sahaja terjadi lebih-lebih lagi pada zaman lambakan maklumat yang mudah dicapai di media sosial dan laman sesawang lain yang kesahihannya belum disahkan oleh pihak bertanggungjawab. Maka, akan wujud golongan individu yang mudah mempercayai apa sahaja yang dikongsi di Internet dan golongan individu yang lebih skeptikal menapis apa yang dibaca. Kedua-dua golongan ini mungkin akan membentuk pendapat yang berbeza berkenaan sesuatu perkara yang sama.

Sebab ketiga terjadinya ikhtilaf adalah apabila ulama tidak tahu akan makna yang dimaksudkan dalam lafaz sesuatu hadis. Hal ini juga biasa terjadi dalam keadaan umum apabila kita berinteraksi dengan individu yang datang dari latar belakang berlainan yang menyebabkan penggunaan dan pemahaman mengenai sesuatu perkataan mungkin berbeza.

Maka, apabila datang sesuatu maklumat yang menggunakan istilah tertentu, pembentukan pendapat dua individu mungkin berbeza dek seorang memahami dengan tepat istilah tersebut, manakala seorang individu lagi kurang pengetahuan tentang istilah tersebut.

Ketiga-tiga sebab tersebut adalah antara pertimbangan yang wajar untuk diletakkan pada setiap pendapat; bahawasanya pendapat tersebut tertakluk pada konteks yang membuatkan pendapat itu sedemikian rupa dan memungkinkan pendapat itu ada benar dan salahnya.

 

Membentuk pendapat pada zaman media sosial

Pada zaman serba-serba perihal kehidupan manusia lain boleh kita ketahui sambil bersenang-senang di dalam bilik sendiri, tidak dapat dinafikan banyak berita hanya diketahui setelah ada yang berkongsi hantaran dan pautan dalam akaun media sosial masing-masing.

Perkongsian itu juga boleh jadi datang sekali dengan huraian, pendapat, dan komen pengunjung-pengunjung yang lain. Ini bermaksud, sesuatu berita itu sudah diulas dan dibincangkan. Maka, apabila kita membaca sesuatu berita, kita mungkin pada masa yang sama membentuk pendapat tentang berita tersebut dengan tempias daripada huraian, pendapat, dan komen oleh tuan punya hantaran dan pengunjung-pengunjung yang lain.

Adakah keadaan ini melumpuhkan keupayaan kita untuk membentuk pendapat yang objektif tanpa pengaruh daripada pendapat individu lain yang mungkin bercampur emosi dan kurang dari sisi ilmunya?

Untuk menjawab soalan tersebut, ciri-ciri media sosial itu sendiri perlu diketahui. Ringkasnya, apabila kita menggunakan internet dan media sosial, kita memasukkan input mengenai diri kita melalui apa yang kita cari di enjin pencarian, profil yang kita buat di akaun media sosial, pautan yang kita klik, barang yang kita beli secara atas talian, laman sesawang yang kita selalu lawati, dan pelbagai lagi aktiviti. Semua data ini disimpan dan digunakan untuk menyajikan kita semula dengan bahan-bahan yang “kena dengan tekak kita”.

Contohnya, jika melawat sesuatu halaman di Facebook atau saluran di YouTube, kita akan ternampak ruang Related Pages di Facebook atau Channels You May Like di YouTube. Cadangan-cadangan yang diberikan oleh Facebook dan YouTube ini berdasarkan apa yang kita pilih untuk lawat dan berkemungkinan tidak jauh bezanya dari segi jenis bahan dan maklumat.

Situasi tersebut merujuk kepada apa yang diistilahkan oleh aktivis internet, Eli Pariser, iaitu filter bubble yang menggambarkan keadaan di mana kita hanya akan disogokkan dengan maklumat-maklumat yang mengukuhkan lagi apa-apa kepercayaan atau pendapat kita yang sedia ada. Kita tidak didedahkan dengan pendapat yang berbeza dek permainan algoritma internet yang ‘mengurung’ kita di dalam buih maklumat yang kita hanya mahu dan setuju.

Hal ini berbahaya atas beberapa sebab. Pertama, kebanyakan kita menjadikan internet dan media sosial sebagai sumber utama mendapatkan maklumat dan berita. Apabila kita menjadi “pelanggan tetap” sesuatu halaman atau saluran, kita terdedah dengan golongan yang mungkin “satu kepala” dengan kita dan hanya mengukuhkan lagi pendapat kita tentang sesuatu perkara. Kita tidak akan atau memilih untuk tidak terdedah pada the other side of the story.

Kedua, apabila kita masih tiada pendapat tentang sesuatu perkara, pendedahan pada pendapat ramai boleh mempengaruhi pembentukan pendapat peribadi. Pemilihan halaman atau saluran yang selalu dilawati di internet dan media sosial sedikit sebanyak memainkan peranan bagaimana pendapat peribadi akan terbentuk. 

Maka, untuk membantu kita membentuk pendapat yang lebih objektif, kita bolehlah mendapatkan maklumat dari sumber yang pelbagai dan lihat bagaimana perkara yang sama itu diulas. Kita juga haruslah melihat sesuatu perkara itu dari kerangka ilmu agar tidak hanyut dengan huraian dan komen pengunjung yang mungkin lebih bersifat emosi dan tidak bersumberkan fakta yang sahih.

Selain itu, kita tidak boleh taksub dan percaya bulat-bulat dengan sumber maklumat yang kita pilih untuk baca kerana mungkin sumber tersebut hanya memaparkan one side of the story. Sematlah di dada yang ada perkara di dunia ini yang kita tidak tahu yang akan membuatkan pendapat kita terdedah pada kesilapan.

 

Adakah kita bebas menyuarakan pendapat?

Jika dirujuk pada PRPM, bebas membawa maksud tidak dihalang atau tidak disekat-sekat melakukan sesuatu, atau tidak dikenakan apa-apa hukuman dan sebagainya. Jadi, adakah kita tidak dihalang menyuarakan pendapat?

Ada individu menggunakan slogan “kebebasan bersuara” sebagai tiket untuk memberi pendapat yang lantang tentang sesuatu perkara. Pendapat yang lantang itu boleh jadi bertunjangkan hujah yang kuat atau lemah, disuarakan pada medium yang sesuai atau tidak sesuai, ditujukan kepada audiens yang tepat atau tidak, dan disampaikan secara berhemah atau tidak.

Perkataan bebas itu seolah-olah bertindak sebagai imuniti kepada pemberi pendapat agar dilindungi dan tidak dikenakan apa-apa tindakan kesan daripada pendapat yang diberikan. Mungkin juga istilah yang lebih selamat untuk digunakan adalah kita diberi “ruang untuk bersuara”. Ruang tersebut wajar wujud untuk kita menyuarakan pendapat agar membolehkan apa yang disebut oleh Stephen Covey, “seek first to understand, then to be understood” berlaku.

Mendengar dan memahami pendapat individu lain bukan untuk kita menerimanya bulat-bulat sebagai kebenaran, tetapi sebagai satu input untuk kita nilai dan, jika berkeperluan, mengkaji jika pendapat tersebut ada asasnya.

Jika dalam ilmu agama pun ada ruang yang dibenarkan untuk berbeza pendapat, apa lagi dalam bidang ilmu yang lain. Tertegaknya satu-satu pendapat adalah kerana ia datang bersama dengan hujah yang kuat. Hujah yang kuat adalah berasaskan sumber ilmu yang sahih.

Ilmu yang sahih itu juga perlulah melalui proses pembentukan pendapat yang cermat agar pendapat yang terhasil adalah kuat. Namun, berwaspadalah agar tidak tertegak bersama ego yang wajar runtuh menghadap keluasan ilmu dek merasakan pendapatnya yang paling tepat.

Soalnya, adakah kita berpendapat menggunakan sumber ilmu yang sahih dan proses yang tertib?

Seperkara lagi perlu dimaklumi yang artikel ini juga adalah pendapat peribadi penulis, yang dipengaruhi oleh sekelumit pembacaan dan pengamatan dalam kehidupan, dan turut terdedah pada kesilapan.

 

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Pelajar PhD dalam bidang Psikologi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.