Umumnya karya terjemahan atas terjemahan sudah lama menapak dalam dunia kesusasteraan. Di Malaysia, antara karya terjemahan atas terjemahan yang popular adalah karya SN Datuk Abdullah Hussain iaitu “Lorong Midaq” yang pada asalnya merupakan karya sasterawan Mesir, Naguib Mahfooz sebelum diterjemahkan pula ke dalam bahasa Inggeris, “Midaq Alley”. 

Dalam skop Nusantara pula, saya tertarik untuk membaca hasil terjemahan Buya Hamka  iaitu Margaretta Gauthier yang diterjemahkan daripada cerpen ad-Dahiyya (The Victims). Cerpen ini merupakan cerpen “air mata” yang diterjemah dari bahasa Perancis kemudian dimuatkan oleh Mustafa Lutfi al-Manfaluti, seorang sasterawan Arab Mesir dalam karya besarnya iaitu al-Ibrah. 

Sebelum itu perlu dimaklumi, penterjemahan tersebut bukanlah dilakukan oleh al-Manfaluti, sebaliknya beliau meminta pertolongan daripada rakan-rakannya untuk menterjemah kebanyakan karya dari luar negara. 

Beliau hanya mencantikkan struktur ayat Arab supaya bersesuaian dengan penerimaan pembaca dan mengikut nilai-nilai Islam. Jadi tak hairanlah jika ada sedikit perbezaan plot dan watak di dalam karya ini. 

Perjalanan Al-Manfaluti dalam bidang penulisan juga banyak dibantu oleh as-Sayyid Muhammad Abduh, pendokong gerakan Islam yang terkemuka di Mesir. Sehinggalah beliau menjadi penulis yang terkenal dengan suara yang berani mengangkat tema-tema yang jarang dibahaskan ketika itu. 

Isu ketidakadilan dalam sistem masyarakat, penindasan terhadap golongan yang lemah, kelonggaran dalam kehidupan seharian dan ketidak telusan pemerintah adalah antara fokus utama dalam penulisan beliau. Disebabkan itu jugalah Buya Hamka amat terkesan dengan penulisan Al-Manfaluti sehinggakan mempengaruhi langgam bahasa Buya Hamka dalam menulis sesebuah karya. Terutama yang bergenre fiksyen. 

Klik gambar untuk beli buku!

Mengenai buku ini pula, Margaretta Gauthier adalah satu karya terjemahan yang mengangkat tema canggung dalam masyarakat Melayu ketika itu. Iaitu perjalanan kehidupan seorang manusia yang dihimpit oleh kemiskinan dan kesengsaraan sehingga dia terpaksa memilih jalan kiri. Iaitu menjadi pelacur! 

Kehidupan yang bukan menjadi keinginan itu dilalui setiap hari sampailah Margaretta bertemu dengan seorang anak bangsawan yang berasa kasihan melihat kehidupan Margaretta. Armandlah yang banyak mengubah hidup Margaretta dan menariknya menjadi wanita yang mulia budi dan luhur. Tapi, dah namanya cinta antara dua darjat, mestilah ada tentangannya. 

Bapa Armand datang untuk memujuk Armand pulang semula ke pangkuan keluarga mereka sebab orang kampung mula memandang hina keluarga itu yang boleh menerima “manusia terkutuk” masuk dalam keluarga yang mulia. 

Okay, di sinilah konfliknya. Antara kehendak keluarga atau kehendak diri. Mana yang hendak dituruti? 

Ditambah pula, bapa Armand datang merayu-rayu kepada Margaretta untuk melepaskan Armand. Waktu ini banyak permainan pemikiran berlaku antara bapa Armand dan Margaretta. Seorang muda memandang kelazatan cinta, seorang tua memandang nikmat sebuah masa depan yang cerah. Walaupun nampak seperti drama Melayu pukul 7, tapi konflik ini benar-benar membuat hati pembaca terbakar. Gaya bahasa Buya cukup indah sehingga saya terbuai dalam penceritaannya. Kisah ini diakhiri dengan penamat yang sangat menyayat hati dan benar-benar merobek jiwa raga pembaca. Satu kata-kata Margaretta yang paling memberi kesan sepanjang pembacaan:

“Bahawasanya ada seorang manusia telah mengorbankan dirinya sendiri dan kebahagiaannya kerana ingin mencapai keberuntungan dan kebahagiaanmu.”

Benarlah. Cinta itu menuntut sebuah pengorbanan.

Pada pandangan saya, Buya Hamka seorang agamawan yang sangat mendasari kehidupan masyarakat di sekeliling. Lihat Terusir dan Margaretta Gauthier. Buya menuntut kita untuk melihat setiap manusia itu sebagai manusia bukannya sebagai binatang jalang! 

Klik gambar untuk beli buku!

Siapalah kita hendak menghukum masa lalu seseorang. Sungguh, kita tidak pernah mengerti setiap perjalanan bani Insan. 

Hamka membawa kita untuk menghayati tuntutan sebenar seorang hamba Tuhan, untuk mengajak kepada kebaikan itu bukanlah dengan cara menjatuhkan hukum, tetapi memimpin tangan mereka sekudrat dan semampu kita. 

Bukalah mata kita untuk melihat rahmat dalam segenap kehidupan insan. 

Penulis,

Syuhadah Ainin
Pengulas buku yang aktif di media sosial seperti Facebook dan Goodreads.

Dikemaskini: 9 Februari 2022

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.