Pengumpulan bermaksud mengumpulkan sesuatu perkara pada satu tempat agar mudah untuk dicari. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, pengumpulan Al-Quran ini dilakukan dalam bentuk hafazan atau ditulis pada kulit-kulit atau pelepah kurma.

Allah s.w.t berfirman:

إِنَّ عَلَیۡنَا جَمۡعَهُۥ وَقُرۡءَانَهُ

“Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu)” [Surah Al-Qiyamah 17]

Ketika wahyu diturunkan kepada baginda s.a.w, para sahabat mula menghafaz ayat-ayat yang diturunkan secepat mungkin. Selain itu, baginda juga mengarahkan beberapa orang sahabat untuk menulis ayat-ayat al Qurandi atas kulit, pelepah kurma, dahan kayu dan sebagainya.

عن زيد بن ثابت قال: (كنا عند رسول اللّٰه صلى اللّٰه عليه وسلم نؤلف القرآن من الرقاع.)

Daripada Zayd ibn Thabit bahawasanya beliau telah berkata: “ketika di zaman Rasulullah s.a.w, kami menuliskan Al-Quran di kulit.”

Walaupun wahyu-wahyu ini ditulis dan dihafal, tetapi ia tidak dikumpulkan pada satu tempat sahaja, bahkan ia bercerai-berai di merata tempat. Antara sahabat yang masyhur dalam hafalan Al-Quran pada ketika itu ialah Uthman ibn ‘Affan, Ali ibn Abi Talib, Zayd ibn Thabit dan beberapa orang lagi sahabat.

Pada awal pemerintahan Khalifah Abu Bakar R.A, Al Quran belum lagi dikumpulkan sehingga tercetusnya peperangan Yamamah yang mengorbankan hampir 700 Qurra’ Al-Quran (Penghafaz Al-Quran). Maka timbul kerisauan di benak Saidina Umar ibn Khattab, beliau merasakan bahawa ayat-ayat wahyu semakin pupus kerana syahidnya para penghafaz ketika itu.

Al-Quran yang ditulis para sahabat tidak dikumpulkan pada satu tempat yang khusus. Oleh itu, Saidina Umar ibn Khattab telah mengajukan cadangan kepada Khalifah Abu Bakar untuk mengumpulkan dan menulis kembali ayat-ayat Al-Quran yang lengkap di dalam satu mushaf.

Pada awalnya, Khalifah Abu Bakar tidak bersetuju dengan cadangan ini. Setelah digesa oleh Saidina Umar Ibn Khattab, maka Khalifah Abu Bakar memberi amanah kepada Zayd ibn Thabit untuk menulis kembali ayat-ayat Al-Quran di dalam satu mushaf yang lengkap. 

Zayd ibn Thabit merasakan berat tanggungjawab yang diberikan sehingga beliau berkata:

  “فواللّٰه لو كلّفني نقل جبل من الجبال ما كان أثقل عليّ ممّا أمرني به من جمع القرآن.”

“Wallahi, jikalau diamanahkan kepada aku untuk memindahkan sebuah bukit, nescaya ia lebih ringan dari apa yang diarahkan kepada aku untuk mengumpulkan Al-Quran.”

Maka Zayd ibn Thabit memulakan pengumpulan ayat-ayat Al-Quran ini dengan mengumpul kesemua wahyu-wahyu yang ditulis daripada kalangan sahabat dan menulis kembali wahyu daripada hafalan para sahabat sehinggalah terkumpulkesemua wahyu di dalam satu mushaf.

Setelah selesai ayat-ayat Al Quran dikumpulkan di dalam satu mushaf, maka mushaf tersebut diserahkan kepada khalifah Abu Bakar untuk menjaganya. Selepas kewafatan Khalifah Abu Bakar, mushaf tersebut berpindah ke tangan khalifah Umar ibn Khattab dan seterusnya diserahkan kepada sayyidah Hafsah r.a. 

Pada zaman pemerintahan Uthman ibn ‘Affan r.a, para sahabat telah berpecah ke serata tempat. Kemudian berlaku sebuah khilaf pada cara pembacaan Al-Quran yang betul sehingga menyebabkan pergaduhan di kalangan umat Islam ketika itu. Punca khilaf yang berlaku itu adalah kerana perbezaan riwayat yang dibawa para sahabat. Misalnya, cara bacaan Al Quran orang Madinah berlainan dengan cara bacaan orang Makkah dan begitulah seterusnya. 

Berita ini telah sampai kepada pengetahuan saidina Uthman ibn ‘Affan. Saidina Uthman ibn ‘Affan memikirkan cara untuk menyatukan kembali umat Islam, lalu beliau mengutuskan sayyidah Hafsah r.a untuk memberikan mushaf yang asli untuk dijadikan sebagai rujukan.

Maka, Khalifah Uthman bin ‘Affan memberi tanggungjawab kepada beberapa orang sahabat termasuk Zayd ibn Thabit untuk memeriksa dan menasakhkan ayat-ayat Al Quran (cara bacaan lain) sehingga ia dijadikan satu cara pembacaan Al Quran. Setelah itu, mushaf yang telah disemak oleh Zayd ibn Thabit dan beberapa orang sahabat ini digandakan kepada beberapa jumlah mushaf untuk disebarkan kepada sahabat-sahabat yang berada di serata tempat sehinggalah Al Quran dikekalkan cara bacaannya pada hari ini. 

Kesimpulannya, pengumpulan Al-Quran berlaku dalam tiga buah zaman yang berbeza bermula dari zaman Nabi Muhammad s.a.w., zaman pemerintahan Abu Bakar r.a dan akhir sekali, zaman pemerintahan saidina Uthman ibn ‘Affan r.a. Kita dapat lihat kesungguhan para sahabat untuk menjaga kesucian mukjizat Al-Quran dan kerana kesungguhan mereka itu kita dapat menikmati bacaan Al-Quran pada hari ini tanpa ada sebarang khilaf pada cara pembacaan.

Adakah kita masih beralasan untuk tidak membaca Al-Quran?

Tambahan pula, Al Quran merupakan mukjizat yang diberikan Allah kepada baginda Nabi Muhammmad s.a.w. Moga perkongsian sejarah pengumpulan Al-Quran ini dapat menyedarkan kita semua untuk lebih cakna terhadap Al-Quran dan bertadabbur dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca. 

Disediakan oleh,

Nik Mukhlis Nik Yusri,

Kaherah, Mesir.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.