in

Mendung di Hari Kemenangan (Syawal) 

Entah sejak dua hari sebelum Ramadan berangkat pergi suasana mendung, hujan dan redup melata sepanjang hari. Redup dan sedikit hujan sesudah asar tadi menghantarkan lambaian terakhirnya. Sunnah alam yang mana ia juga adalah makhluk Allah yang terpaksa akur pada pergiliran. Syawal telah bersiap dengan segala perlengkapannya menyambut.

Kepergian Ramadan mengirimi kita keharuan dalam kegembiraan. Pertama gembira. Bukan itukah yang disunnahkan oleh Islam? Syawal adalah hari kemenangan selepas sebulan berhempas pulas bergelut, bergumpal melawan nafsu dan bangun pada malam hari, berdiri melumbai ketaatan, mendengungkan bacaan al-Quran sepanjang hari. Keduanya, terpaksa berpisah dengan bulan yang kali ini di musim bersunyi, berkurung, bersendiri, padanya kita banyak berbisik-bisik di bumi, dengan harapan didengar di langit tinggi. Apapun, perayaan di hari mendung tetap di lalui.

Kepercayaan sangat dipengaruhi oleh nilai setempat. Kepada masyarakat Melayu yang melenggangkan hidup bersendi budi, dengan air dan angin yang turun dan terbit daripada banjaran khatulistiwa membentuk darah dan daging pemukimnya, Eid di tanah air mentradisi sebagai hari gembira bersama keluarga dan sanak saudara. Rutin yang berakar entah berapa ratus tahun ini cedera untuk kali pertamanya di tahun ini.

Mencintai Tapi Mesti Menjauhi

Untuk pertama kalinya kita menguruskan cinta, kasih kepada orang tersayang dengan cara memutuskan atau diputuskan kedekatan kita dengan mereka. Samada yang tumbuh daripada keinsafan diri bimbang kita menjangkiti atau dijangkiti. Atau diinsafkan dengan sedu sedannya oleh pihak berkuasa yang menghambat para perentas negeri daripada mudik ke telapak tempat bermain, bersenda, merajut waktu. Cuma yang dibenarkan dalam negeri pun ada yang memilih tidak mahu balik jika sekadar tiada orang tua. Kerana alasan yang lebih kuat. Cukup setengahnya berutus panggilan video sebagai pengganti jasad, tapi di hati tiada perlu diganti, tetap kekal dan cinta pada keluarga yang dikasihi.

Kemenangan masih tetap perlu dirayakan, biarpun mendung.

Tinjauan di simpang empat kampung, tempat bertumpu pedagang raya berlonggok-longgok lagi yang berkerumun, mendapatkan keperluan memasak juadah istimewa. Hari terakhir ini masih terjual daging, ayam, sayur mayur yang biasanya sudah licin pada hari kedua sebelum syawal lagi. mungkin orang berkira-kira untuk ‘beraya’ sakan memandangkan anak-anak berkira nak balik atau bermacam lagi alasan. Pada akhirnya, kemenangan berpuasa tetap diteruskan. Rendang, ketupat, lemang, lontong, kuah lodeh berpantang disediakan. Semua wajib terhidang walaupun secara ala kadarnya sahaja. 

Kesederhanaan terzahir di mana-mana. Tiada baju baharu. Cuma, ada pakaian terbaik yang hanya dibelek setahun sekali, bertimbun dalam himpunan baju-baju yang hanya sekali terpakai sepanjang tahun, tersumbat di almari rumah. Itupun masih bercita-cita menambah yang baru jika tidak kerana berkurung, almari pun mungkin diperbaharu. 

Yang tergantung, dikeluarkan, dikibas, dibelek, dipadani, masih terlalu sesuai untuk dipakai menghidupkan sunnah pakaian terbaik pada esoknya. Ditinjau kuih muih dan hidangan, tidaklah semeriah sebelumnya. persediaan fikiran telah dahulu dihantarkan sebelum syawal menjelma, bahawa lebaran kali ini akan berbeza. Tanpa keluarga dan saudara mara disisi, kepada siapa hidangan berlebihan di meja nanti?

Cuma satu sahaja yang tidak mahu kalah nampaknya, ketegaran alami pada dentum dentam bunyi mercun, mengilai, mengoyak langit malam lebaran. Ingatkan keluh kesah keputusan punca rezeki akan menyedikitkan kegemaran kita mendentumkan raya. Tapi, nampaknya itu tetap dipelihara. Putih udara dengan asap, diharapkan corona juga dapat dihambat matanya, hingga tidak nampak kita.  

Jiwa Baru

Surut ke belakang, tidak terlalu jauh kita tinggalkan. 18 Mac 2020 bermula fasa pertama perekrutan kita sebagai manusia baru yang diberikan masa memuhasabah. Perintah Kawalan Pergerakan fasa awal pertama, kedua berlangsung sebelum tiba Ramadan.

Waktu yang besar hikmahnya. Supaya kita bersunyi, bersembunyi, menyaksi, menginsafi, sesudah puluh tahun mendedah diri, memenuhi segala habuk, kotoran, debu dan cemar, ada yg berterbangan singgah, ada yang sengaja dihinggapi.

Itulah waktu lapang terbentang tiada bertepi. Kita dianjur mencium harum mawar, memetik kuntum kemboja, merasai ranum buah yang telah dijuangkan puluhan tahun. Bicara dengan ranting, dahan dan daun-daun gugur disapa angin atau mendengar burung berirama di pohon rendang.

Ini waktu berbisik-bisik, menyiasat kembali diri, mengintai masa lalu yang pergi tiada berpamit, sedar-sedar umur dah meninggi, baki usia tak banyak lagi, amal bakti sedikit, cita-cita ditambah angan-angan masih belum hilang, kudrat dah berkurang, mimpi masih jauh dari ribaan.

Tebus segala dendam. Baca, hafal, tulis, amal, hal-hal yg diperhutang dahulu oleh masa yg selalu cemburu. Kenang segala dosa, yg tercoreng di usia alpa. Rawat semua salah silap, sembuhkan ketika sempat.

Sebelum masing-masing melangkah ke daerah lebih sunyi nanti, eloklah kita dipaksakan bersembunyi, diam di rumah, bersama teman hidup, ketawa menangis bersama, sebelum pasti nanti terpaksa bersendiri di liang berteman sepi.

Penulis sendiri awalnya payah membetahkan diri untuk berdiam lama di rumah. Keliaran untuk beraktiviti segera dipantangkan mengenang betapa banyaknya hutang diri kepada diri juga diri kepada Pemunya diri ini yang selama ini lantaran sibuk dan lelah, sering gagal penuhi. Sedangkan, kewajiban itu lebih banyak daripada masa yang ada seperti pesan para hukama.

Fasa seterusnya perekrutan menyusul bila tibanya bulan Ramadan yang tiada setandingnya dalam iman dan keyakinan kita. Inilah fasa madrasah berganda yang kita alami. Madrasah berdiam, berkurung dan madrasah menahan diri. Segala kegemaran nafsi, berlabun-labun di warung, bersiar-siar, berhibur, mendedah diri di luar semakin ketat diikat oleh kedatangan Ramadan. Ia tambah mengharukan kesampaian kita hingga detik terakhir Ramadan. Tanpa melangkah ke rumah Allah, tanpa bersama dengung suara jemaah di masjid surau, tanpa dendangan dentum mercun dan meriam, tanpa pekikan promosi busana serba baharu melaram. Tanpa bazar dan kamdar, tanpa perlumbaan undangan berbuka puasa di hotel berbintang-bintang, tanpa juadah tak terhitung banyak terhidang demikian banyak juga terbuang. Di rumah kuih raya jangan khuatir jika tak tersedia, berziarah raya sehari cuma, mungkin tanpa ibu bapa keluarga bersama, tinggal berlainan negeri, raya sendiri-sendiri.

Waktu itulah sebenar-benarnya kalau kita insafi, tiada alasan yang dapat ditegakkan ke muka. Waktu yang paling kita teruji, Ramadan tanpa gangguan, bagaimana kita, masihkah terganggu? Tetapi mendekati Tuhan itu tidak mensyaratkan kita ke Kaabah, cukup sahaja cari dalam ‘rumah’ (qalbu dan batin sendiri) seperti disyairkan Syeikh Hamzah Fansuri :

“Hamzah Fansuri di dalam Mekkah
Mencari Tuhan di Baitul Kaabah
Dari Barus ke Qudus terlalu payah
Akhirnya bertemu di dalam rumah”

Pejam celik Syawal telah mengintai, melambai dan menggapai. Telahpun hari ini jasad terhantar ke berandanya. Dengan segala modul latihan dan model madrasah dilalui oleh. Bergumpal, berbantingan memetik buahnya daripada madrasah yang telah dilalui.

Kemenangan Hakiki yang Diperhutangkan

Tanpa berbasa basi, Syawal juga tidak menyediakan ruang kebebasan dan kecapan rasa menang yang leluasa. Ia kali ini lebih keras, kerana covid masih mengganas. Ikatan persaudaraan berbeza negeri dirampas. Terduduk anak mengenang kasih ibu, ayah dan keluarga yang berjauhan. Masing-masing berjuang dalam pengorbanan. Kemenangan belum menjanjikan kita dapat meraikan. Rosyam Nor, mithal yang boleh dipercontohkan bagaimana keadaan berjaga-jaga di musim kemenangan ini. Beliau bersama adik beradik, berpakat tidak pulang menziarah ibu mereka yang keseorangan di kampung. Hanya satu alasan – cinta yang mendalam. Ibundanya yang menjadi tempat tumpuan kasih sanak saudara dikunci untuk lebaran ini. Demi cinta.

Contoh ini dan banyak lagi membentuk langkah baru pada musim perayaan kita. Tiada siapa yang akan merasa janggal atau tersinggung. Normal baru ini akan mengambil tempatnya setidak-tidaknya untuk satu ke dua tahun ini. Tapi, hati manusiawi yang percaya dan yakin pada kudrat dan iradah Allah tetap menaruh keyakinan segalanya akan baik. Ini waktunya dikirim untuk kita benar-benar mengambil pelajaran. Negara Polis dunia tersungkur, Italy yang menumpangkan Tamaddun tertua di Eropah – Romawi lumpuh, negara-negara maju, kaya, pencipta teknologi juga dihambat virus sekecil ini. Apalah yang kita harapkan daripada negara sederhana dan kecintaan kita ini menghadapi? Jika tidak dikorbankan sedikit rasa kesyahduan lebaran dengan menjauhi diri, mengambil segala amalan kebersihan.

Lagu dendang perantau dan sesekali lagu malar hijau lainnya masih tersedia untuk dicicipi, melayan melankolia hati. Inilah ruang untuk hidupkan sepenuh-penuhnya Syawal ini dengan sunnah yang sering kita dihambat melakukannya lantaran budaya dan kebiasaan raya yang teradat oleh kita. Esok, takbir, solat eid Mubarak dan khutbah raya, jangan dipersia. Mungkin ini sekali sahaja yang berlangsung dalam lintasan usia. Hanya dengan menghidupkan hati, mendung dan redup di musim kini akan cerah dan menerangi.

TaqabalAlllahu minna wa minkum.

Maaf Zahir Batin

Muhamad Hanapi b. Jamaludin

Felo Penyelidik Jejak Tarbiah.

Leave a Reply

Loading…

Menyingkap Keindahan Sastera Islam

Kenapa HAMKA Menterjemahkan Novel Perempuan Pelacur – Margaretta Gauthier?