in

LoveLove CuteCute OMGOMG

Membaca Untuk Pandai Atau Untuk Hidup?

Sebelum ini aku tidak pernah menyangka, buku benar-benar boleh mengubah kehidupan. Bukanlah kerana buku itu objek asing bagiku, malah aku sudah diterapkan dengan amalan membaca sejak kecil lagi oleh arwah bapa, seorang guru Bahasa Melayu.

Selama ini aku membaca sekadar untuk menambahkan pengetahuan, juga untuk cemerlang dalam peperiksaan. Maklum sahajalah, dalam lingkungan sosial bapaku ketika itu, majoriti rakan-rakan beliau adalah guru yang suka membanding-bandingkan anak siapa yang lebih hebat, yang lebih pandai. Aku belajar bersungguh-sungguh supaya bapa berbangga denganku.

Maka jadilah aku seorang yang suka membaca dengan niat untuk menjadi pandai dan hebat semata-mata. Langsung tidak terfikir untuk mengambil ibrah daripada nilai buku-buku yang dibaca.

Sehingga pada suatu ketika, aku bertemu dengan seseorang yang berkongsi minat yang sama denganku, iaitu mengembara dan dia seorang yang mempunyai minat mendalam terhadap buku. Bersama dengannya, aku mengikuti satu trip kembara yang dianjurkan oleh sebuah syarikat kembara berasaskan buku ke Belitung, iaitu sebuah kepulauan kecil di Indonesia yang telah menjadi lokasi penting dalam buku Laskar Pelangi.

Ketika itu aku tertanya-tanya, kegilaan apakah manusia-manusia ini, yang sanggup menghabiskan duit ke suatu tempat terpencil hanya semata-mata terinspirasi dengan sebuah buku, sedangkan daripada mata kasarku tiada apapun yang istimewa di tempat itu.

Ibarat pintu gerbang, perkenalan itu telah membuka pintu-pintu kecil yang menemukan aku dengan insan-insan hebat yang menjadikan buku lebih daripada objek untuk dibaca. Aku telah menyaksikan bagaimana nilai dalam sebuah buku ditonjolkan melalui peribadi yang baik. Menjadikan mereka seorang yang tenang, berfikiran terbuka, berjiwa besar namun punya perasaan halus dan kasih sayang yang menggunung. Pendek kata, buku menjadikan mereka manusia yang manusiawi.

Aku turut merasakan getarannya apabila menyedari buku berupaya menyembuhkan hati hingga menjadi alasan seseorang meneruskan hidup. Ketika dihadiahkan sebuah buku tulisan Iman Danial Hakim yang bertajuk Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, aku bertambah sedar bahawa banyak bahan bacaan yang memberi nilai yang baik.

Itulah keistimewaan orang yang banyak membaca, dalam masa yang sama mengambil semua nilai dan ibrah daripada apa yang dibaca. Maka benarlah kata kawanku,

“orang yang benar dalam membaca mampu membangun kebaikan dalam dirinya dan orang lain”

Sekarang, hidupku beransur-ansur berubah menjadi lebih bermakna bermula daripada sebuah buku. Aku terinspirasi dengan mereka ini, yang tidak putus-putus berusaha membangunkan bangsa dan masyarakat yang dikasihi. Doakan aku, kawan-kawan. Semoga aku juga mampu untuk membangun kebaikan dalam diriku dan memberi kebaikan kepada orang lain seperti mereka juga.

Disediakan oleh,

Ira Matra

Benarkah Hidup Akan Tenteram Tanpa Media Sosial?

Gerakan Feminisme; Antara Sosialis-Liberalis