Doa adalah senjata seorang mukmin, rintihan sayu dan penuh pengharapan kepada Yang Maha Mendengar dititipkan dengan seikhlas hati. Tiada yang lain selain Dia, Tuhan Semesta Alam. 

Itulah senjata kita bagi menghadapi segalanya di atas dunia ini. Tatkala kita sedang dilanda kesedihan, keresahan, gemuruh, ketakutan – dengan menitipkan doa hati kita berasa sedikit tenang, mengharapkan Tuhan Yang Maha Mendengar benar-benar mendengar dan memberikan bantuan-Nya; malah ketika kita sedang gembira juga, mulut turut menitip doa juga kepada Si Dia yang memberikan kegembiraan serta kebahagian kepada kita tanda kita hamba-Nya yang bersyukur.

Jika kita benar-benar memaknai perbuatan doa itu, segala beban, masalah atau keresahan yang melanda jiwa terasa ringan dan kita benar-benar dapat berlapang dada dengan segala yang bakal terjadi kelak. Begitulah perasaan Adly yang sangat komited dalam menyelesaikan misi mencari 40 doa yang wajib termakbul. 

Selepas novel Penulis Yang Disayangi Tuhan, saya meneruskan bacaan novel karya Bahruddin Bekri iaitu Doa Untuk Aku. Wah! Sekali lagi saya benar-benar terasa bagai turut menyertai kumpulan Amin bin Damit untuk menyelesaikan misi untuk Adly. Adly benar-benar mengharapkan doa-doa daripada orang-orang yang menjadi target misinya itu. Namun, yang penting sekali adalah Adly bukan saja mengharapkan doa semata-mata, tetapi dia juga berusaha sehabis baik bagi menghadapi peperiksaan akhir semester itu. Walaupun novel ini sangat menghiburkan kerana jalan cerita yang lucu tetapi meninggalkan kesan yang mendalam. Buku ini hadir pada waktu yang tepat untuk saya baca. 

Buku Doa Untuk Aku
(Beli di sini: https://www.jtbooks.my/produk/doa-untuk-aku/)

Plot yang sangat lancar dan seimbang langsung membuatkan saya berasa bersemangat sekali untuk sama-sama menghayati hakikat di sebalik sebuah doa. Tatkala saya membaca novel ini, saya juga turut dihimpit dengan situasi yang turut membuatkan saya tersepit di tengah jalan. Situasi yang turut menyebabkan saya seperti hilang arah. Sampailah seorang sahabat saya memberi nasihat, “Tak apa, asalkan kau banyakkan berdoa dan solat sunat ya.” Awalnya saya hanya mengangguk  saja selepas mendengarkan nasihatnya itu, kerana merasakan sudah menjadi rutin dalam melakukannya. Namun, saya terlupa sesuatu, saya tidak ada ruh ketika melaksanakan ibadah tersebut. Ibarat melakukan ibadah itu sebagai rutin saja. 

Sedang saya membaca novel ini, saya bagaikan tertampar kerana nasihat orang-orang di sekeliling Adly yang sentiasa mengingatkan dia tentang adab-adab berdoa serta hakikat doa itu sendiri. Mungkin datangnya ujian kepada saya ketika ini kerana hilangnya jiwa dan ruh saya saat meminta-minta kepada-Nya. Bagaikan satu peringatan kepada saya, nasihat dalam novel Doa untuk Aku ini begitu terkesan kepada diri saya juga. 

Saya benar-benar meminta dan memohon sesungguh-sungguhnya, betul-betul menitipkan segala keresahan dan kehambaan kepada Sang Pencipta, serta benar-benar mengharapkan doa dari bonda serta ayahanda yang saya tahu doa mereka tidak ada batasnya serta mampu menembus langit atas kasih dan sayang mereka, serta rahmah daripada Sang Mendengar. Sinar dan pengharapan datang mendamaikan hati yang lara, dengan berpegang pada janji-janji Tuhan, dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang.

Penulis Jiha Jahari


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.