Graf kehidupan seorang manusia pasti ada turun naiknya, tidak semestinya sentiasa berada di puncak, malah tidak semestinya sentiasa berada di bawah pula. Tidak dapat tidak, seorang manusia itu boleh lari daripada melakukan kesilapan. Kadang, manusia sedar akan kesilapannya; kadang, ia menafikan tindakannya itu sebagai satu kesilapan, sulit sekali mahu mengiakannya kerana dirasakan tindakannya itu sudah benar.

Begitu jugalah Usamah, sukar sekali dia menerima bahawa kedua-dua novelnya yang dikritik keras oleh Joe Penapi itu sudah melanggar nilai kemasyarakatan. Mana mungkin seorang penulis yang berbakat sepertinya itu melanggar nilai murni, malah menulis perkara yang tidak masuk akal. 

Karya Usamah bukanlah tidak mempunyai plot yang mampu memikat hati para pembaca, bahkan sebenarnya sudah banyak terjual tanpa dia ketahui. Usamah sukar menelan air liur pahit tatkala mendengar ulasan jujur oleh Joe Penapi serta pelajarnya, Dinie Nurul Iman terhadap dua buah novelnya itu. Bukannya mereka tidak suka akan cerita yang cuba disampaikan oleh Usamah melalui novelnya itu, cuma mereka merasakan wujud perasaan kurang enak setelah menghabiskan bacaan kedua-dua buah novel tersebut – pengajarannya agak tidak selari dengan panduan kehidupan sebagai seorang muslim.

Sedarlah Usamah bahawa nilai yang cuba dipersembahkan dalam karyanya itu bukanlah satu nilai yang boleh disemai dalam masyarakat. Perlahan-lahan juga dia mencari semula jiwa penulisnya untuk menjadi seorang penulis yang mempunyai tujuan.

Dek kerana Usamah tidak mempunyai tujuan yang jelas ketika menulis, maka karyanya itu bersandar pada nilai-nilai yang agak condong ke arah kebaratan. Walaupun novelnya membawa mesej yang nyata dan terjadi dalam masyarakat tetapi tujuannya tidak jelas, matlamatnya tidak mencapai standard nilai masyarakat muslim, maka wajarlah dia seorang penulis berbakat terpaksa menelan pahitnya kritikan tegas oleh Joe Penapi.

Cuba kita tanya sendiri kepada diri kita sendiri, “Mengapa kita melakukan apa yang kita buat sekarang?” 

Tanyakan juga, “Apakah sebenarnya yang kita mahu capai dalam hidup ini?”

Jiwa hamba ini kadang-kadang ada yang terpesong daripada jalan seorang hamba; ada yang cuba mengambil peranan Tuhan, ada juga yang berlagak bagai tuan. Jiwa ini yang asalnya daripada tanah; ada kalanya merasakan diturunkan dari langit. 

Maka, persoalan-persoalan itu perlu kita fikir dan cuba didorongkan kepada destinasi akhir kita, perkhabaran indah bagi semua Muslim iaitu syurga. Tanyakan pada diri kita, jika kita benar-benar mahu menulis, adakah penulisan kita ini memberi manfaat atau memecah belahkan masyarakat? Jika kita benar-benar mahu menjadi pendidik, adakah kita mendidik dengan hikmah atau sekadar melepaskan batuk di tangga? Jika kita benar-benar mahu menjadi seorang pempengaruh, adakah kita menjadi seorang yang membuat perkara yang menjatuhkan harga diri atau sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain?

Soalan-soalan ini, jika kita menggunakan logik akal semata, mungkin jawapannya adalah “betul”, “boleh dibuat.” Kita merasakan tindakan kita membuat video ulasan makanan dengan kata-kata kasar merupakan satu tindakan yang betul mengikut logik,  namun, tidak bermakna ia betul.

Sebetulnya, kita melihat dan melakukan sesuatu perkara itu dengan kaca mata tarbiah, kaca mata seorang muslim yang taat dan patuh pada Al-Quran dan As-sunnah. Dengan mengingatkan diri kita akan menyebabkan kita sentiasa berhati-hati dan sebolehnya akan melaksanakannya dengan tertib. Daripada menjadi seorang pempengaruh yang membuat ulasan makanan dengan kata-kata kasar, kita boleh menjadi seorang yang berkata-kata baik dan mempunyai nilai murni ketika melaksanakan tindakan kita. 

Begitu juga Usamah, mungkin penulisannya sebelum ini dia terlupa untuk memakai kaca mata tarbiahnya, yang menjadikan pengakhiran novelnya itu terlari sedikit dari landasan. Namun, kini usahanya berkelana jauh ke Eropah sedikit sebanyak dapat memberi nafas baru serta mencari makna dalam jiwanya. Dengan itu, dia akan lebih menggunakan kaca mata tarbiah bagi menghasilkan karya yang dapat membawa jiwa-jiwa para pembacanya menuju Tuhan. 

Walau kini dia juga sedang dalam proses membawa jiwanya untuk menjadi penulis yang disayangi Tuhan, pasti Dia akan melorongkan jalan-jalan buat Usamah, yang akhirnya akan menjadi manusia yang bermanfaat bagi orang lain.

Disediakan oleh: Jiha Jahari


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.