Kejutan pandemik seolah-olah seperti pindahan alam baru untuk semua umat manusia. Rakyat negara Malaysia mengalami perubahan yang ketara dari pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan, pertanian dan turut terkesan dari segi kebudayaan. Meninjau era pra-Covid, terdapat pelbagai aktiviti sosial seperti perayaan rumah terbuka, bazar Ramadan, sambutan kemerdekaan, pertandingan beruniform dan acara sukan yang menambahkan semangat patriotik dan perpaduan. Seperti satu babak baru, rakyat berubah kaku sebentar dengan kehadiran wabak ini; terkekang demi keselamatan semua, memendam rindu pada aktiviti warna-warni bersama. 

Jika dilihat pada generasi yang belum sempat berjinak dalam aktiviti-aktiviti keramaian ini, timbul satu kerisauan pada perkembangan diri anak muda pada masa kini. Namun, bak anugerah, perkembangan teknologi yang semakin mendadak mendifusi pelbagai aktiviti dalam bentuk digital melalui bermacam wadah termasuk media sosial. 

Menurut Datareportal (2021), terdapat pertambahan sehingga 409 juta pengguna media sosial global (9.9%) pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya. Tujuan penggunaan dikatakan, sebanyak 48% adalah untuk menghubungi keluarga dan sahabat handai. Ini menunjukkan kemampuan teknologi membawa aktiviti keramaian ke dalam skrin di mana jua. Menurut Laporan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM) 2020 Kementerian Komunikasi dan Multimedia, antara tingkat teratas kadar penembusan aplikasi media sosial di Malaysia adalah sebanyak 91.7% bagi Facebook , 80.6% YouTube dan 63.1% Instagram. 

Generasi “Covid” perlu mengambil kesempatan ini untuk beradaptasi meneroka ke dalam media sosial dan menambah ilmu tentang budaya yang sering diamalkan oleh masyarakat berbilang bangsa sebelum adanya pandemik. Ini adalah peranan yang wajar dititikberatkan dalam kalangan anak muda untuk mengamati kehidupan sebagai anak Malaysia sejurus dapat meningkatkan semangat integrasi dalam diri. Antara usaha belia yang dapat dijadikan teladan ialah, belia yang merakam dokumentari tentang sesuatu budaya, menyertai komuniti di dalam media sosial, dan menyokong belia yang bertungkus lumus membawa kepelbagaian budaya ke dalam alam maya dalam usaha ke arah integrasi komuniti. 

Sebuah saluran YouTube bernama Marbitter – Malaysian Village Food yang dibangunkan oleh Marham Mohd Yusuf umpamanya adalah suatu medium yang sangat impresif dan wajar dibanggakan atas kegigihannya memperhalusi kandungan yang bertemakan budaya dan identiti kampung di Malaysia.

Uniknya, saluran ini mempunyai pelbagai sisi tradisional yang menggambarkan penduduk setempat seperti penggunaan penggiling batu, dapur kayu dan periuk tanah liat. Latar belakang muzik dan pemandangan yang dirakam juga tidak asing dan sangat dekat di hati rakyat Malaysia, terutamanya golongan tua yang pasti mengenali sentuhan Marham. Hasil kreatif anak muda ini adalah salah satu usaha bagi mengekalkan dan memperkenalkan budaya Melayu kepada penonton. Konsep dokumentari tentang budaya yang tidak formal boleh menarik minat penonton melalui muzik dan sinematografi. Namun begitu, dengan dokumentari formal juga tidak kurangnya jika kena pada rencahnya. 

Pendekatan secara formal boleh dilihat pada saluran yang menayangkan sebahagian video berkonsepkan pendidikan dan sejarah kaum seperti ML studio, Ajar dan APHD. Video-video ML studio seperti memperkenalkan Baba Nyonya dan cina peranakan, perbezaan India dan Tamil, fakta tentang Melanau, sejarah Sarawak dan lebih menarik penyampai datang dari pelbagai latar belakang. Saluran ML studio yang memiliki lebih 1 juta pengikut ini membuka ruang untuk rakyat muda berkenalan secara mendalam mengenai Malaysia. Pembawakan ini senada dengan tema saluran Ajar dengan lebih 300 ribu pengikut, iaitu pendidikan luar daripada buku teks. Rata-rata semua saluran ini mempunyai beberapa tayangan video dengan tema patriotik dan kenegaraan. Walaupun tiada saluran spesifik yang memaparkan keseluruhan konsep perpaduan, usaha-usaha ini wajar dipuji dan disokong sebagai inisiatif untuk menyuntik semangat kesatuan dalam diri penonton terutamanya golongan belia.

Ikhtiar lain yang boleh dicontohi adalah dengan belia yang turut serta dalam komuniti  di media sosial. Ini boleh dilihat melalui kerjasama dan muafakat belia untuk menghasilkan kandungan di YouTube yang bertema patriotik dan perpaduan kaum seperti SAYS, Lobak Merah dan World of Buzz. Saluran-saluran ini menayangkan sebilangan video berkaitan perpaduan namun tarikan utamanya adalah kerjasama pelbagai kaum yang ditunjukkan yang harus dikagumi. Interaksi antara penyampai memberi pengajaran secara tidak langsung kepada belia yang menonton tentang semangat kesatuan rakyat dan keharmonian yang indah. 

Golongan awam juga dilihat menyertai komuniti ini melalui ruangan komen, memberi cadangan dan sebagainya. Platform media sosial yang lain seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok juga tidak ketinggalan digunakan oleh masyarakat untuk berdiskusi dan bersembang santai, komen, bahkan berkongsi secara langsung atau tidak langsung aktiviti mereka. Perkongsian dapat dilakukan dengan cara memuat naik gambar serta memanfaatkan pelbagai fungsi lain media sosial seperti memuat naik gambar dan menciap secara beramai-ramai terutamanya pada musim perayaan dan sambutan kemerdekaan. 

15 Top Free Facebook Video Downloaders in 2021 - Lumen5 Learning Center

Pada sudut lain, usaha yang tampak minimal tapi memberi impak yang besar adalah para belia yang menjadi penyokong-penyokong atau lebih dikenali sebagai “follower” atau “subscriber” kepada usaha-usaha yang ditunjukkan melalui medium media sosial ke arah integrasi komuniti. Bak hero tidak didendang, pengaruh pengikut adalah kunci yang tidak boleh dinafikan membuka pintu pada peluang-peluang sosial. Dengan satu tanda suka dan satu berbalas ciapan, kuasanya mampu mengubah banyak perkara. Berikut merupakan trend terkini, di media sosial seseorang yang mempunyai pengikut yang ramai, dipanggil sebagai “influencer”, di mana setiap apa yang ditunjukkan di media sosial menjadi ikutan dan kesukaan ramai atau sebaliknya. Oleh itu, belia wajar menyokong usaha murni komuniti yang bertungkus lumus ke arah integrasi komuniti Malaysia. 

Intihanya, media sosial merupakan wadah baharu ke arah integrasi komuniti berdasarkan  teladan dari belia yang merakam dokumentari tentang sesuatu budaya, menyertai  komuniti di dalam media sosial, dan menyokong belia yang bertungkus lumus membawa budaya ke dalam alam maya. Ini menunjukkan, untuk mencapai perpaduan tidaklah hanya terletak pada pundak kerajaan sahaja, namun ini melibatkan keseluruhan masyarakat untuk turut serta merealisasikan impian ke arah integrasi komuniti.

Disediakan oleh,

Aisyah Binti Amiruddin,

Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.