Sungguh lama aku tidak menulis apa-apa hantaran di Facebook atau bertegur sapa dengan mana-mana rakan aku. Jika sesiapa berkunjung ke akaun Facebook aku pula, tiada apa-apa hantaran dapat dilihat. Semuanya ditukar tetapannya agar hanya aku yang dapat melihatnya. Walhal, sebarang hantaran daripada mana-mana Page berkenaan apa-apa aktiviti yang aku terlibat, pasti aku akan kongsi semula ke akaun aku. Ia untuk aku simpan dan kenang sendirian. Tetapi begitulah, hanya aku yang dapat melihatnya. Aku sendiri tidak mengikuti mana-mana rakan atau Page, maka News Feed aku kosong sahaja. Jika aku mahu melawat mana-mana Page, aku sendiri perlu taip nama Page tersebut.

Aku juga lama tidak menghantar apa-apa Stories di WhatsApp. WhatsApp lebih terbatas kepada rakan yang aku simpan nombornya dan sesiapa yang berada dalam kumpulan WhatsApp yang sama sahaja. Banyak kumpulan WhatsApp rakan-rakan yang lama aku tidak kunjungi atau turut serta dalam perbualan. Setiap hari aku kosongkan semua mesej dalam kumpulan WhatsApp tanpa membacanya kerana aku tidak mahu tenggelam dan lemas dalam lambakan mesej yang mungkin 99% daripadanya tiada kaitan dengan aku. Atau mungkin juga mesej perbualan yang tidak akan terkesan sama ada aku sertai atau tidak. Entahlah, aku sendiri tidak pernah membaca kebanyakan mesej tersebut.

Mungkin inilah yang dikatakan social media fatigue, kecenderungan untuk mengundurkan diri dari media sosial tatkala terasa lelah dengan hingar-bingar yang berlaku.

Tiada lagi Twitter dan Instagram yang sudah aku tutup akaun beberapa tahun yang lalu. Hanya Facebook dan WhatsApp yang tinggal untuk aku berhubung dengan rakan-rakan aku. Itu pun, tidak pula aku mengoptimumkan penggunaannya untuk berkomunikasi dengan sesiapa.

Pepatah Inggeris ada mengatakan yang absence makes the heart grow fonder. Aku tidak pasti jika itu yang sedang berlaku. Yang pasti, ada juga pepatah Inggeris yang mengatakan out of sight, out of mind. Aku fikir, aku memang sudah dilupakan oleh rakan-rakan aku. Atau, mungkin aku yang mahu melupakan.

Aku membuka akaun Facebook pada tahun 2008. Awal-awal dahulu, Facebook adalah medium komunikasi yang utama sesama rakan. Tiada lagi WhatsApp ketika itu. Twitter turut digunakan, tetapi Facebook jugalah yang menyokong fungsi yang lebih banyak dan rangkaian rakan yang lebih ramai.

Mahu pergi makan, ajak di Facebook.

Mahu cari rakan di mana, tanya di Facebook.

Mahu tanya soal tugasan kolej, bincang di Facebook.

Mahu hantar gambar aktiviti atau percutian kepada rakan-rakan, muat naik di Facebook.

Mahu tengok wayang, beritahu cerita apa, pawagam mana, pukul berapa pun di Facebook.

Tag beberapa rakan dan bincang sama-sama di situ.

Dan biasalah, akan ada rakan lain yang tidak termasuk dalam perbincangan akan turut memeriahkan perbualan.

Apa yang berlaku di Facebook, tidak kekal berada di dalam Facebook. Apabila berjumpa secara bersemuka, perbualan itu bersambung, terutama pada mengisi ruang yang tidak terjangkau oleh perbualan di alam maya.

Meriah.

Dan itu semua berlaku pada zaman menggunakan Facebook melalui komputer atau komputer riba yang perlu bersambung dengan capaian internet. Bukan pada zaman sekarang yang Facebook tersimpan dalam poket seluar dan beg masing-masing.

Aku selalu katakan yang kita hidup pada zaman kita-tahu-semua-orang-makan-apa-pagi-tadi. Itu pun jika ia dibuat hantaran, dan kita ikutinya di media sosial. 

Perlu buat hantaran. Perlu ikut. Dua perkara perlu berlaku.

Sayangnya, aku tidak akan tahu rakan aku makan apa pagi tadi jika aku tidak mengikuti mereka di media sosial, atau menghantar mesej untuk bertanya. Dan tiada juga rakan yang akan tahu aku makan apa pagi tadi.

Hate-love relationship aku dengan media sosial bermula apabila aku sedar betapa spontan dan tanpa berfikir panjang pun jari aku laju menaip F dan A, cepat sahaja Google Search dengan ciri Autocomplete melengkapkan perkataan Facebook. Kenapa Google Search sangat yakin yang aku mahu buka Facebook, dan bukannya mahu membuat carian mengenai Fast & Furious atau fake news? Tetapi, akulah juga yang menekan Enter. Dari situlah aku mula menyedari tabiat tidak sihat penggunaan media sosial aku.

Soal masa juga buat aku sering rasa bersalah apabila menggunakan media sosial. Apabila aku unfollow semua rakan dan Page, kuranglah masa untuk aku bermain Facebook. Maka, lebihlah masa untuk aku melakukan aktiviti lain. Itu sifir mudah menurut displacement hypothesis. Ia berkesan. Aku boleh melihat kadar penurunan penggunaan media sosial melalui aplikasi Screen Time.

Kemudian, media sosial dilihat sebagai ruang membuat perbandingan, social comparison.

Siapa yang sudah menamatkan pengajian.

Siapa yang pergi melancong sana-sini.

Siapa yang sudah berkahwin.

Siapa yang sudah ada anak.

Siapa yang itu, siapa yang ini.

Apabila semua itu dibuat sebagai hantaran, akan adalah respons ucapan dan emoji yang pelbagai. Aku pula rasa sukar untuk melihat kehidupan sendiri sebagai menarik walhal diri ini juga menempuh pelbagai peristiwa penting dalam kehidupan dan ia dikongsi semula ke akaun aku. Tetapi itulah, hanya aku yang dapat melihatnya. Maka, tiadalah respons ucapan dan emoji yang pelbagai daripada rakan-rakan pada hantaran aku. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai upward social comparison, seperti mana yang pernah dikaji oleh Vogel, Rose, Roberts, dan Eckles. Aku membandingkan diri aku yang sebenar di alam realiti dengan diri ideal rakan-rakan yang ditampilkan di alam maya.

Facebook dan WhatsApp yang pernah satu ketika meriah dengan perbualan bertukar menjadi ruang yang sepi.

Untuk aku.

Aku tidak rasa mahu membuat hantaran.

Aku tidak rasa mahu memulakan atau menyertai perbualan.

Aku tidak rasa mahu memberi respons emoji.

Aku lebih banyak mindless scrolling. Active use bertukar menjadi passive use. Berada di Facebook dan WhatsApp seperti berada di dalam dewan yang kosong. Tiada seorang pun di situ melainkan aku. Aku tahu yang media sosial itu masih riuh-rendah dengan kemeriahan. Tetapi ia tidak berlaku di ruang laman aku. Dan aku sudah lama tidak tahu apa yang dimeriahkan.

Di situlah aku rasa ralat.

Przybylski, Murayama, DeHaan, dan Gladwell pernah menerangkan yang fear of missing out itu adalah kebimbangan yang kita rasai pada kemungkinan yang rakan-rakan sedang mengalami pengalaman yang seronok dan kita pula tidak berada bersama. Maka, kita berusaha untuk sentiasa menggunakan media sosial supaya tidak terlepas daripada mengetahui apa-apa yang berlaku.

Kahn pula memberi satu sudut pandang baharu mengenai fear of missing out yang buat aku lebih terkesan. Fear of missing out itu bukanlah sangat pada kebimbangan yang kita terlepas peristiwa menarik yang dilalui oleh rakan-rakan kita. Ia adalah lebih kepada social anxiety, bukanlah pada pengalaman itu sendiri. Apabila rakan-rakan kita melakukan satu aktiviti bersama, ia menjadi satu pengalaman yang mencorakkan sejarah baharu dalam kumpulan rakan-rakan kita. Sedikit sebanyak, ia mempengaruhi hubungan sesama mereka. Apabila kita tidak termasuk dalam sejarah tersebut, ia akan menjejaskan perasaan yang kita juga sebahagian daripada kumpulan rakan tersebut (group belongingness).

Entahlah aku perlu rasa kelakar ataupun kasihan dengan diri sendiri. Kajian untuk tesis aku adalah berkenaan kesan penggunaan teknologi terhadap hubungan sesama manusia. Banyak rujukan berkaitan media sosial yang perlu aku baca. Entah berapa kali aku membaca buku dan artikel akademik, otak aku penat memahami isi penting, hati aku pula rasa mahu menangis.

Apa khabar mereka?

Apa khabar keluarga mereka?

Masih ingatkah pada aku?

Masih ingatkah yang kita berkawan, pernah berbual soal kehidupan, dan bersama mencipta kenangan?

Masih adakah peluang untuk kita punya hubungan seperti dahulu, sebelum masing-masing membawa haluan sendiri?

Aku rasa semakin menjauh dengan mereka. Hanya kerana hate-love relationship aku dengan media sosial, hubungan aku dengan rakan-rakan juga terasa semakin renggang.

Aku tidak marahkan media sosial. Aku marahkan diri sendiri. Tatkala aku fikir yang aku mampu mengawal penggunaannya, rupa-rupanya aku membayar dengan harga persahabatan. Entah di mana silap aku mencari titik keseimbangan, mahu menggunakannya tetapi tidak mahu terjatuh ke dalam ruang yang seakan-akan tiada penghujung. Ruang yang walaupun ada manis, ada juga pahitnya.

Terngiang-ngiang suara Lauv menyanyikan baris-baris lagunya sambil berbaring di atas rumput.

Modern loneliness

We’re never alone but always depressed, yeah

Love my friends to death but I never call, I never text

La di da di da, yeah

You get what you give and you give what you get, so

Modern loneliness

We love to get high but we don’t know how to come down

*Catatan ini aku dedikasikan untuk Hanis, yang pergi meninggalkan kami secara mengejut. Entah berapa lama aku bertangguh menghantar mesej bertanya khabar. Sekarang aku sudah terlepas peluang berbual dengan kau lagi. Moga kau damai di alam sana, Hanis.

Disediakan oleh,

S.H.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.