in

Malaysia Negara yang Beruntung Walaupun Tidak Semaju Negara Jepun

Jiwa anak muda penuh dengan harapan, tinggi dengan cita-cita dan semangat yang berkobar-kobar. Inilah semangat anak muda yang sepatutnya ada dan meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada masyarakat dan negara. Seringkali kita berhujah, berdebat kerana inginkan pembelaan, membuktikan kemajuan pemikiran kita. Namun, ada satu hal yang perlu kita ingat bahawa seharusnya yang baik kita ambil, yang buruk kita jadikan sempadan.

Kali ini saya berkenalan pula dengan karya Ustaz Hariri yang bertajuk “Seteguh Gunung Fuji Berdiri”. Karyanya tidak lari daripada memupuk nilai patriotisme dengan mengajak kita berfikir, merenung kembali tujuan kita mengembara, dapatan pengembaraan serta nilai yang seharusnya kita fikir-fikirkan untuk membuahkan buah fikir kepada nusa bangsa. Karya travelog beliau sangat dekat dengan jiwa saya kerana saya juga mempunyai persoalan yang sama seperti mana beliau ketika mengembara cuma rezeki saya, saya menemukan jawapan yang diinginkani dalam karya beliau ini.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Setiap kali berkelana, saya sering kali meratib “Kenapa? Bagaimana?”, seolah-olah Malaysia tanah tumpah darah kita ini tidak mungkin mencapai kemajuan seperti yang diharapkan. Di mana salahnya? Apakah penyebabnya? Mustahilkah untuk kita menjadi maju fikiran, maju akhlak, maju budaya dan maju pembangunan seperti negara luar?

Benarlah, tidak semua yang manis itu sentiasa manis. Kadang, pahitnya tidak terasa atau terlihatkan oleh mata kasar. Amerika, Jepun, Korea yang dilihat maju dari aspek pembangunan negara itu juga ada kekurangannya. Jadi, tidaklah bermaksud sisi buruk sesebuah tempat itu perlu dicontohi juga. Kita perlu amanah dalam membanding beza antara hak dan batil. Boleh saja kita mencontohi kemajuan teknologi negara Barat tetapi janganlah pula kita menjadi lebih Barat berbanding mereka. 

Pakaian, adab, akhlak, kebebasan individu; sebagai Muslim kita sudah ada jalan dan petunjuknya iaitu al-Quran dan sunnah Rasul kita. Naungan nikmat negara Malaysia ini sungguh besar, dilindungi oleh Allah SWT dan diberikan nikmat yang tidak ternilai; pelbagai kaum yang hidup harmoni, tidak berada dalam lingkungan gunung berapi, kaya dengan flora dan fauna, sistem kesihatan yang murah malah percuma berbanding negara lain namun cukup sedikit yang bersyukur dengan nikmat ini. Banyak lagi nikmat yang tidak terbilang dengan jari-jejari, namun tangan-tangan yang rakus ini jugalah yang tidak menghargai nikmat Tuhan di atas bumi berkah ini.

Justeru, satu perkara yang benar-benar terkesan usai membaca karya Ustaz Hariri ini adalah berbaktilah kepada keluarga, masyarakat dan negara semampu jiwa kita. Tidak bermakna tidak menjadi seorang tentera, seorang, doktor, seorang kaya tidak boleh menyumbang tenaga, keringat, wang untuk disumbangkan kepada masyarakat. 

Bahkan, menjadi seorang yang rajin membaca, rajin membantu, rajin bekerja, menjaga adab, memelihara budaya juga dapat membantu meneruskan legasi budaya Malaysia yang kini semakin lama semakin dijajah dengan pemikiran asing. Biarpun kita merasakan usaha kita kecil tetapi dengan konsistensi serta pengharapan kepada Allah untuk melihat negara ini sentiasa dinaungi kesejahteraan, ketahuilah bahawa Allah Maha Mendengar. 

Pemuda-pemudi hari ini adalah peneraju negara pada masa hadapan. Jika lemah jiwa pada hari ini, masih belum terlambat untuk kita perbaiki dan menambah baik untuk masa akan datang. Insyaallah, niat yang baik dan serta doa yang tulus akan menampakkan hasilnya.

Disediakan oleh: Jiha Jahari

Wahai Anak, Dimanakah Kesudahanmu?

Islam Tersebar dengan Kekerasan Atau Pendamaian?