Biografi Mahmud al Ghaznawi

Mahmud al-Ghaznawi atau nama sebenarnya Yamin al-Dawlah Abu al-Qasim Mahmud ibn Sebuktigin dilahirkan pada 971M dan meninggal dunia pada 1030M di Ghazna. Beliau telah mentadbir Kerajaan Ghaznawi yang kini terdiri daripada kawasan Afghanistan dan timur laut Iran bermula pada 997M sehingga hari kematiannya. 

Pada zaman pemerintahan beliau, Kerajaan Ghaznawi meliputi kawasan barat laut India dan sebahagian besar wilayah Iran. Kecintaan Mahmud terhadap ilmu mendorong kepada perkembangan intelektual yang pesat di Ghazna. Pelbagai usaha yang dilakukan beliau untuk memajukan bidang ilmu di kota tersebut. Mahmud al-Ghaznawi berjaya menjadikan kota Ghazna sebagai pusat intelektual yang menyaingi Baghdad semasa era pemerintahannya. Antara usaha yang dilakukan beliau adalah:

Menjemput Para Ilmuwan dan Sarjana Ke Kota Ghazna

Mahmud al-Ghaznawi diketahui telah menjemput para ilmuwan untuk menetap dan berkarya di kota Ghazna. Tindakan Mahmud al-Ghaznawi ini telah menyebabkan kota Ghazna menjadi tumpuan ramai ahli falsafah, ahli fiqh, ahli sufi, ahli bahasa, para ulama dan golongan intelektual. Mereka terdiri daripada pelbagai pakar bidang ilmu misalnya astronomi, sains, sejarah dan falsafah. 

Antara tokoh terkenal yang mengunjungi kota Ghazna ialah Abu Nasr al-Farabi (ahli falsafah), Abu Raihan al-Biruni (ahli astronomi), Ibn Sina (ahli perubatan), al-Hamdani (ahli sastera) serta al-Utbi (ahli sejarah). Kota ini turut disifatkan sebagai wilayah penaung ilmu pengetahuan. Justeru, kemasukan para sarjana Islam ke India menjurus kepada pembentukan peradaban Islam-India yang saling memberi dan menerima berbagai-bagai ilmu termasuklah politik, ekonomi, sosial serta budaya.

Ilustrasi menggambarkan keadaan dalam istana Mahmud al-Ghaznawi.

Istana Dijadikan Tempat Kajian dan Perbahasan Ilmu

Mahmud al-Ghaznawi sangat mencintai golongan ilmuan. Buktinya, beliau gemar mengajak para ilmuwan untuk mengunjungi istananya di Kota Ghazna. Ramai cendekiawan sering ke istananya bagi menghadiri perbincangan ilmu agama yang diadakan. 

Di samping itu, beliau juga menempatkan beberapa ilmuan di istana. Sebagai contoh, al Biruni diundang bagi mengembangkan ilmu di istana Ghaznawi. Walaupun undangan tersebut terdapat unsur paksaan kerana Mahmud mengundang dengan nada mengancam, al Biruni gembira ditempatkan di Ghazna. Hal ini kerana, kedudukan beliau dimuliakan dan mendapat sokongan penuh untuk mengembangkan ilmu yang dimilikinya. 

Beliau turut berkhidmat selaku astrologi istana Mahmud al-Ghaznawi. Hal ini disebutkan oleh para sejarawan tidak berlaku di istana kerajaan lain sewaktu abad pertengahan.

Membina Pusat-pusat Intelektual di Kota Ghazna

Semasa era pemerintahan Mahmud al-Ghaznawi, beliau giat menjalankan kerja-kerja pembinaan  masjid, madrasah serta perpustakaan di kota Ghazna. Selain itu, beliau turut menubuhkan sebuah universiti yang dilengkapi dengan muzium dan perpustakaan besar. Pelbagai jenis buku daripada pelbagai bahasa dan bidang dimuatkan dalam perpustakaan ini. Beliau juga dilihat tidak mengabaikan kebajikan pelajar dengan mendirikan kira-kira 3000 buah rumah buat mereka yang datang ke Ghazna untuk menuntut ilmu. 

Pada waktu yang sama, beliau berhasil melahirkan ramai sarjana daripada berbagai-bagai bidang ilmu melalui penubuhan perguruan tinggi yang dinamakan sebagai Unsuri. Usaha-usaha ini dilaksanakan demi kemajuan ilmu pengetahuan dan sastera di kota Ghazna di samping menarik minat para intelektual untuk datang ke sana.

Memperuntukkan Wang Untuk Cendekiawan dan Perkembangan Ilmu

Kecintaan Mahmud al-Ghaznawi terhadap ilmu jelas ditunjukkan apabila beliau membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi kepentingan pendidikan iaitu sekitar 200,000 guinea pada setiap tahun. Pelbagai fasiliti disediakan untuk pelajar-pelajar dan para penyair di kota Ghazna. 

Sementara itu, para cendekiawan dan pensyarah-pensyarah universiti turut diberi gaji serta pencen. Misalnya, Mahmud membayar 60,000 keping perak kepada seorang cendekiawan bernama Firdausi. Hal ini supaya mereka terus berminat untuk belajar dan mengembangkan ilmu di kota Ghazna. Tambahan lagi, harta rampasan perang juga digunakan untuk menjalankan dasar pelaksanaan negara yang mana salah satunya termasuklah perkembangan ilmu pengetahuan.

Giat Menjalankan Kegiatan Ilmiah

Sepertimana yang dikatakan sebelum ini, Mahmud al-Ghaznawi mempunyai keprihatinan yang sangat tinggi terhadap pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Hal ini dapat disaksikan melalui pelaksanaan program-program ilmiah yang dianjurkan oleh beliau. Salah satunya adalah beliau mengusahakan penulisan tafsir al-Quran dengan menitikberatkan ilmu nahu dan sarf berdasarkan hadis sahih. 

Beliau turut menyokong usaha-usaha perkembangan ilmu seni bina. Bukan itu sahaja, beliau bahkan memanggil ahli falsafah Islam seperti Ibnu Khamar Abu Sahl al-Masihi, Abu Nasr al-Arraq dan Abu al-Karim Mansur Firdausi untuk menjalankan kajian dan berkarya di Ghazna supaya kota ini mendapat manfaat daripadanya. Firdausi contohnya disuruh oleh Mahmud untuk datang bagi melakukan penyelidikan tentang sejarah purba Parsi.

Konklusinya, kemunculan pelbagai ilmuwan terkenal seperti al-Farabi, al-Biruni, al-Utbi, Ibnu Sina dan al-Hamdani serta penubuhan pesat bangunan-bangunan intelektual seperti masjid, perpustakaan, madrasah, universiti dan muzium jelas menggambarkan perkembangan intelektual di India pada ketika itu sekaligus membuktikan ketokohan Mahmud al-Ghaznawi selaku pemerintah di kota Ghazna.

Disediakan oleh:

Aliah Syakira Shahudin, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.