Andai ditanya bangsa manakah yang menepati slogan “Bangsa membaca, bangsa berjaya”, antara yang tersenarai dalam jawapan adalah bangsa Jepun. Selain kerajinan, kesantunan, menjaga kebersihan, dan budaya menepati masa, bangsa Jepun juga sinonim sebagai bangsa yang menjadikan membaca buku sebahagian daripada budaya mereka. Jika anda mengembara di Jepun dengan menaiki tren, anda akan sentiasa terjumpa orang Jepun yang sedang membaca buku tanpa mengira usia.

Perkembangan budaya membaca dalam kalangan rakyat Jepun turut mendorong pertumbuhan industri buku di sana. Ini dapat dilihat dengan pembukaan kedai-kedai buku besar yang menawarkan pelbagai seleksi buku, komik, dan majalah. Bagi menarik lebih ramai pengunjung, sesetengah kedai buku mempunyai rekaan dalaman yang cantik dan dilengkapi kafe. Budaya mereka yang tidak suka membazir pula terus menghidupkan kedai-kedai buku terpakai yang sudah sekian lama bertapak di Jepun.

Oleh sebab itu, Jepun boleh dimasukkan ke dalam senarai negara yang harus dilawati oleh para pencinta buku. Tidak perlu pergi jauh, kembara buku di sekitar bandar Tokyo sahaja sudah cukup untuk memenuhkan itinerari anda. Ditambah dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, tidak sukar untuk merancang perjalanan. Lokasi manakah yang menarik itu? Jom baca satu-persatu.

Bandar buku Jimbocho

Jimbocho merupakan sebuah daerah yang terkenal sebagai pusat berkumpulnya kedai-kedai buku terpakai dan syarikat-syarikat penerbitan. Bermula dengan sebuah kedai buku terpakai pada 1913 oleh profesor universiti bernama Shigeo Iwanami, Jimbocho kini dipenuhi lebih daripada 200 buah kedai buku dan syarikat penerbitan.

Walaupun kebanyakan kedai menjual buku-buku dalam bahasa Jepun, terdapat beberapa kedai buku yang menawarkan pelbagai buku langka dan terpakai dalam bahasa Inggeris. Antaranya adalah Kitazawa Bookstore, Book Sanseido, dan The Isseido Booksellers.

Kitazawa Bookstore

Jika mahukan lebih kemeriahan, datanglah ke sini pada akhir Oktober hingga awal November kerana ketika itu sebuah acara tahunan, Kanda Used Book Festival sedang berlangsung.

Menariknya bandar buku ini, anda dapat melihat tema buku bermula di stesen tren Jimbocho lagi. Daripada latar belakang di papan tanda, jubin yang menghiasi dinding, termasuklah jubin pada pintu masuk tandas!

Stesen Jimbocho

Kedai buku dengan rekaan hiasan dalaman yang cantik

Pada era media sosial kini, rekaan hiasan dalaman kedai buku menjadi faktor yang menarik orang ramai untuk mengunjunginya. Buktinya dapat dilihat pada kemunculan kedai-kedai buku baru yang berkonsepkan rekaan moden dan “insta-worthy”. Selain menarik untuk diabadikan di dalam gambar, kedai buku ini juga menjadi tempat mencuci mata.

Lokasi seumpama ini boleh didapati di rangkaian kedai buku Tsutaya Books. Antara cawangannya di Tokyo dengan reka hias dalaman yang membuatkan anda tidak mahu balik adalah Daikanyama Tsutaya Books di Shibuya, Tsutaya Bookstore di tingkat 11 Shibuya Scramble Building, dan di tingkat 6 pusat beli-belah Ginza Six.

Salah satu sudut di Tsutaya Bookstore, Shibuya Scramble Building

Sudut buku dalam bahasa Inggeris di Daikanyama Tsutaya Books

Jika anda lebih sukakan kedai buku yang lebih mini dan tidak ramai pengunjung, anda boleh memilih untuk ke Cow Books di Nakameguro dan Book Lab di Shibuya. Namun begitu, pilihan buku dalam bahasa Inggerisnya agak terhad.

Kedai buku dengan lebih banyak pilihan buku dalam bahasa Inggeris

Walaupun lebih mengutamakan penggunaan bahasa ibunda, kedai-kedai buku besar di Jepun tidak mengenepikan jualan buku dalam bahasa Inggeris. Bagi pembaca yang tidak mahir atau tiada pengetahuan membaca tulisan kanji, buku dalam bahasa Inggeris inilah yang menjadi pilihan utama untuk dibelek dan dibeli.

Antara kedai-kedai yang boleh dimasukkan dalam itinerari anda adalah Yaesu Book Center dan Maruzen Nihonbashi berdekatan Stesen Tokyo, Books Kinokuniya di Takashimaya Shinjuku, Good Day Books di Shinagawa, Junkudo di Ikebukuro, dan kedai buku terpakai Infinity Books and Event Space di Sumida.

Jika anda ke kedai-kedai ini, jangan lupa sediakan wang dan iman yang lebih serta buatlah perbandingan dengan harga jualan di Malaysia sebelum membeli.

Penginapan bertemakan buku

Jika anda mahukan sesuatu yang lebih daripada sekadar membelek dan membeli buku, anda boleh memilih untuk menginap di hostel bertemakan buku. Ya, bayangkan tidur sambil dikelilingi rak-rak buku. Itu adalah impian setiap pencinta buku!

Penginapan yang menawarkan suasana seperti ini adalah Book Tea Bed Ginza dan Book and Bed Hostel yang mempunyai tiga cawangan di Tokyo iaitu di Shinjuku, Ikebukuro, dan Asakusa. Kedua-dua penginapan ini berkonsepkan hostel kapsul di mana setiap katil disusun seperti berada di tengah rak buku.

Namun begitu, tiada pengasingan dorm antara jantina dan kekurangan privasi mungkin membuatkann anda berfikir banyak kali sebelum membuat tempahan di hostel-hostel ini.

Perpustakaan

Percuma dan menenangkan – kedua-dua faktor ini menjadi sebab kenapa perpustakaan menjadi pilihan untuk dikunjungi. Sebagai sebuah negara yang menggalakkan amalan membaca dalam kalangan rakyatnya, perpustakaan bukanlah tempat yang asing bagi rakyat Jepun. Boleh dikatakan di dalam setiap bandar pasti ada perpustakaan berdekatan.

Bagi para pelancong pula, anda boleh memilih untuk mengunjungi perpustakaan-perpustakaan besar seperti International Library of Children’s Literature di Ueno, Hibiya Library and Museum di Chiyoda, dan Tokyo Metropolitan Library di Minato. Di samping membelek buku dan menikmati ruang perpustakaan, jangan lupa untuk melihat pameran menarik yang sedang diadakan di setiap perpustakaan.

Dengan senarai di atas, pengembaraan seorang pencinta buku di Tokyo pasti lebih bermakna. Selain tempat-tempat yang dicadangkan, jangan lupa untuk mencari kedai buku di pusat beli-belah, stesen-stesen tren besar dan lapangan terbang. Antaranya kedai buku Book Express di Stesen Ueno dan Kaizosha di Lapangan Terbang Narita. Selepas waktu bekerja, anda akan melihat kedai-kedai buku ini dipenuhi oleh rakyat Jepun yang singgah dalam perjalanan pulang ke rumah.

Book Express di Stesen Ueno

Kazoisha di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita

Sesungguhnya negara kita juga tidak kurang hebatnya dari segi kemudahan perpustakaan dan akses kepada kedai buku. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menaikkan lagi kadar pembacaan buku dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini pastilah kerana timbulnya kesedaran bahawa bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya.

Namun begitu, secara umumnya kebanyakan usaha-usaha ini dilihat lebih tertumpu di bandar-bandar besar. Golongan marginal di luar bandar dan ceruk kampung agak kurang diberi perhatian. Walhal peranan golongan ini tidak kurang pentingnya dalam memacu pertumbuhan negara. Oleh sebab itu, Akademi Berbagi Buku telah melancarkan beberapa projek pembinaan perpustakaan bagi memenuhi keperluan tersebut.

Terbaru, Akademi Berbagi Buku melancarkan sebuah projek membina perpustakaan mini di Sekolah Kebangsaan Labong yang terletak di Kampung Orang Asli Labong, Endau, Mersing, Johor. Perpustakaan sekolah ini hanya mempunyai tiga rak buku kecil dan buku-bukunya juga sudah koyak serta lusuh. Hal tersebut menyebabkan anak-anak orang asli di sekolah ini tidak tertarik untuk membaca buku di perpustakaan. Kekurangan buku-buku yang membantu pembelajaran 3M (menulis, membaca, mengira) memperlahankan lagi usaha ke arah penguasaan tiga teras tersebut dalam kalangan pelajar.

Bagi menjayakan projek perpustakaan ini, Akademi Berbagi Buku memerlukan sumbangan sebanyak RM3000 untuk kegunaan berikut:

  1. Membeli rak-rak buku
  2. Membeli komik-M
  3. Membeli buku cerita kanak-kanak

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Jejak Tarbiah Resources : 8602028349 .

Pihak Akademi Berbagi Buku turut berbesar hati menerima sumbangan buku-buku baru dan terpakai yang sesuai untuk bacaan pelajar sekolah rendah. Sumbangan buku boleh dihantar ke alamat:

No 25, Jalan Sentosa 13, Taman Desa Sentosa, Teras Jernang, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Iman Danial Hakim: 017-2084915 atau Zahrah Yunos: 013-2836920.

Jom sama-sama menyumbang dan memberi harapan kepada anak-anak ini. Semoga suatu hari nanti, Malaysia juga dapat mencapai tahap negara maju seperti Jepun. In shaa Allah.

Oleh: Zahrah Yunos, pencinta buku dan peminat Jepun.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.