Mahkamah Syariah telah ditubuhkan di Mesir sejak kedatangan Islam ke bumi Mesir dan ianya telah bertahan selama 500 tahun lamanya dan telah dimansuhkan secara rasmi melalui satu pengisytiharan undang-undang pada tahun 1955. Namun, pemansuhan institusi mahkamah Syariah di Mesir tidak berlaku dalam sekelip mata bahkan secara berperingkat-peringkat.

Menurut catatan sejarah, langkah ke arah pemansuhan telah bermula seawal 1805M iaitu ketika pemerintahan Muhammad Ali Basha. Beliau telah melakukan satu rombakan sistem kehakiman secara besar-besaran dengan mengetepikan prinsip-prinsip hukum Syarak dan menggantikannya dengan undang-undang Barat.

Di samping itu, Ali Basha telah menubuhkan majlis-majlis khusus bagi mengadili kes melibatkan kehakiman, komersial, pentadbiran dan ketenteraan. Kesannya, bidang kuasa Mahkamah Syariah menjadi terhad kepada kes-kes seputar isu kekeluargaan.

Pada tahun 1856M, keadaan menjadi semakin parah apabila satu undang-undang diluluskan bagi penubuhan suatu majlis khas bagi mengadili kes-kes kekeluargaan yang melibatkan penduduk bukan Islam.

Bermula pada tahun 1875M, sebuah mahkamah bercampur telah ditubuhkan bagi mengadili kes-kes yang melibatkan penduduk asing dan pada tahun 1883M, mahkamah nasional telah ditubuhkan bagi mengadili kes-kes melibatkan penduduk Mesir dimana bidang kuasanya tiada pada mahkamah bercampur.

Kedua-dua mahkamah tersebut mengguna pakai kod sivil, prosedur, dan jenayah yang tidak tertakluk kepada undang-undang Islam bahkan undang-undang Perancis. Namun wujudnya mahkamah yang pelbagai ini mengakibatkan sering berlakunya konflik percanggahan kuasa dan menimbulkan banyak kekeliruan. Maka pada tahun 1949M mahkamah bercampur tersebut telah dimansuhkan dan semua bidang kuasanya dipindahkan ke mahkamah nasional.

Pada tahun 1955M, berlaku peristiwa penangkapan secara kejam ke atas dua orang Qadhi Syarie di wilayah Iskandariah, iaitu Syeikh Abdul Qadir al Fil dan Syeikh Abdul Fattah Saif atas tuduhan khalwat bersama Syafiqah Hamid Syakir dan seorang rakannya sedangkan mereka adalah pihak yang mahu menuntut penghakiman terhadap hak nafkah daripada bekas suami mereka. Dua orang Syeikh tersebut telah dikambinghitamkan dalam sebuah tangkapan di sebuah villa atas alasan menerima suapan rasuah daripada perempuan tersebut.

Pada asalnya, Syeikh Abdul Qadir al Fil dan Syeikh Abdul Fattah Saif sedang mencari rumah sewa untuk saudara terdekat mereka yang mengunjungi mereka pada musim panas. Pada masa yang sama, salah seorang pekerja di firma guaman syarie telah mengkhabarkan kepada dua perempuan tersebut bahawa mereka boleh berjumpa dengan dua orang Hakim Syarie bagi mendapatkan hak mereka tanpa melalui perbicaraan di Mahkamah.

Akhirnya, Syeikh Abdul Qadir al Fil dan Syeikh Abdul Fattah Saif beserta perempuan-perempuan mereka serta peguam telah ditahan. Mahkamah memutuskan bahawa dua orang syeikh tersebut didapati bersalah atas mengambil rasuah dan dadah dan mereka dijatuhkan hukuman penjara dengan melakukan kerja berat seumur hidup dan denda EGP1000, peguam dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan denda EGP500 dan perempuan-perempuan tersebut dibebaskan.

Antara punca penangkapan Syeikh Abdul Qadir al Fil dan Syeikh Abdul Fattah Saif adalah kerana keputusan Syeikh Abdul Qadir yang telah memutuskan penghakiman bertentangan dengan kehendak seorang tokoh berpengaruh iaitu Solah Salim untuk membayar nafkah bulanan kepada isterinya yang diceraikan.

Rentetan dari peristiwa penangkapan dua orang Qadhi Syarie itu, maka akhirnya pada tahun 1955M, melalui satu pengisytiharan undang-undang, sebanyak 137 buah Mahkamah Syariah telah dimansuhkan secara rasminya di bumi Mesir dan bidang kuasa mereka juga telah dipindahkan ke mahkamah nasional.

Namun kes-kes kekeluargaan akan diputuskan menurut hukum Syarak. Para hakim mahkamah Syariah dipindahkan ke mahkamah sivil bagi memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka sehingga mereka bersara dan tiada lantikan baru setelah persaraan mereka.

Disediakan oleh,

Fathi Anwar,

Setapak, Kuala Lumpur

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.