Dalam sekuel kisah perjuangan hidup B.J Habibie,  ada dua watak laki-laki dan perempuan yang menjadi masa lalu Habibie dan Ainun sebelum mereka saling disatukan dengan satu sama lain. Rudy sempat bertemu Ilona ketika tempoh studinya di German dan Ainun pula sempat didampingi Ahmad sewaktu kuliah perubatannya di Bandung.

Jika diamati, ada persamaan antara keempat-empat sosok ini, iaitu setiap dari mereka memilih mengorbankan cinta demi cita-cita yang lebih besar.

Cinta mungkin sukar dicari ganti tapi tidak perlu terlalu khuatir, hati sering tahu tentang masa dan untuk siapa kesempatan baru harus diberikan.

Cita-cita yang berbeza kerana ia soal impian yang menghidupi tubuh, fikiran dan hati seseorang dalam apa jua keadaan.

Rudy, Ainun, Ilona mahupun Ahmad, kesemua mereka digambarkan sebagai sosok yang berwawasan jauh dan bercita-cita besar. Ilona, meskipun akhirnya tidak bersama dengan Rudy, gadis manis ini memainkan peran kuat sebagai wanita cerdas yang percaya juga mendukung cita-cita Rudy ketika dunia sekeliling berkata sebaliknya. Dia masih tetap berkeras untuk memahami dan mendukung Rudy dengan caranya sendiri.

Peranan Ilona bukan lah kecil, malah dia digambarkan pada awalnya rela pindah negara juga agama demi Rudy. Tapi naluri dan pertimbangan gadis ini menimbulkan ragu samada Rudy berhak atau tidak menerima segala pengorbanannya itu. Pertimbangannya juga akhirnya menyedarkan bahawa cintanya kepada Rudy tidak akan seutuh cinta Rudy kepada Indonesia.

Pada akhirnya, ketika di suatu persimpangan, Rudy dan Ilona harus memilih samada tetap bersama atau berpisah demi cita-cita masing-masing, mereka mengambil jalan yang kedua. Ilona cuba mengajak Rudy untuk memulakan hidup baru di Eropah kerana baginya di Eropah lah cita-cita dan hidup dibangun. Ilona percaya Rudy mampu mengalirkan kebaikannya ke Indonesia, menjadi mata air seperti yang diimpikan. Sebenarnya, Ilona mahupun Rudy berkongsi mimpi yang sama iaitu untuk menjadi manusia tanpa batas, tetapi mereka berbeza soal dari mana mimpi mereka harus dimulai.

 Oleh kerana cintanya kepada ibu pertiwi melebihi apa pun di dunia ini, Rudy nekad dengan keputusannya, iaitu dia harus kembali ke Indonesia, membangun mimpi dan bangsanya seiring. Ilona juga memilih untuk menyambung kareer dan cita-citanya di bumi Eropah. Perpisahan mereka lewat filem digambarkan dengan suasana keharuan, apabila Rudy menyatakan bahawa dia banyak belajar mencintai Indonesia melalui cara Ilona mencintainya. Jadi, faktor mereka berpisah bukanlah remeh, melainkan demi menghidupi mimpi masing-masing.

Sama juga seperti kisah Ainun dan Ahmad, mereka bahkan seperti merpati dua sejoli yang begitu serasi. Banyak waktu-waktu indah sewaktu zaman muda dan tempoh kuliah yang mereka lewati bersama. Tapi apabila tiba di simpang yang menjadi titik yang akan menentukan Langkah seterusnya untuk masa depan, mereka juga memilih untuk mendahulukan mimpi masing-masing.

Ketika Ainun bertanya kepada Ahmad soal perancangan seterusnya, Ahmad menjawab bahawa dia ingin membawa Ainun pergi dari Indonesia. Baginya, Ainun berhak mendapat yang lebih baik dari Indonesia yang mungkin akan mensia-siakan potensi Ainun. Mungkin sewaktu itu baginya suasana Indonesia kurang siap untuk menerima orang-orang berpotensi seperti Ainun. Mimpi Ahmad sebenarnya juga besar, kerana dari sudut pandangnya, itu akan meluaskan lagi dunia Ainun dan langkahnya bisa lebih jauh lagi. Ahmad ingin mereka membangun dunia sendiri di luar negeri.

Tapi rupanya tidak bagi Ainun. Buat Ainun, tanah air adalah segalanya. Di tanah air lah dia tumbuh dan dari situ lah dia ingin melangkah jauh. Baginya, baktinya harus kepada tanah air. Walaupun Ahmad sempat ingin melupakan cita-citanya dan menyetujui Ainun, segera Ainun mengingatkan Ahmad untuk mengejar mimpinya.

Demikian kata-kata Ainun kepada Ahmad,

‘Cita-cita itu bukan soal siapa, tapi soal mengapa. Soal rasa yang lebih besar daripada semua ini.’

Ainun

Berujung perpisahan dan berbayar patah hati, mereka mengambil haluan masing-masing menyambung cita-cita.

Dalam semua situasi tersebut, tiada satu orang atau satu keadaan pun yang perlu dipersalahkan. Hal-hal terjadi bersama konsekuensinya adalah wajar dan disedari oleh watak-watak tersebut. Situasi sebegitu berkisar tentang pilihan dan apa yang selayaknya diutamakan. Sebenarnya, watak-watak di dalam filem ini membawa lebih daripada sekadar mesej ini. Masih banyak sudut pandang lain yang boleh ditafsir daripada filem-filem ini. Tapi kali ini, penulis memilih untuk menyudutkan pandangan daripada satu perspektif, iaitu sepertimana yang dijelaskan.

Dalam melewati pasang surut hidup, mungkin kita semua pernah bertemu sosok yang memainkan peranan yang sama, iaitu menyedarkan kita bahawa perjuangan mewujudkan mimpi mungkin memerlukan pengorbanan, termasuk mengorbankan keberadaan sesetengah orang daripada hidup.

Mungkin, suatu hari nanti, hidup akan mempertemukan kita dengan orang yang berkongsi mimpi dan tujuan yang sama. Dan orang ini akan berjalan seiring melewati fasa-fasa hidup sambil menghidupi mimpi-mimpi. Hal yang terpenting, walau orang datang dan pergi, kita lah yang perlu paling percaya kepada mimpi kita sendiri.

Disediakan oleh,

Siti Nursyakirah Yuslan

Penuntut UIAM Gombak

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.