in

LoveLove

Kita Semua Pernah Merasai Kehilangan yang Menyakitkan

Semakin dewasa semakin kita merasakan kehilangan. Kehilangan yang menyakitkan. Kehilangan orang yang tersayang—sama ada orang itu telah kembali ke rahmatullah ataupun telah pergi dari hidup kita tanpa sebarang khabar seolah-olah tidak pernah wujud—lesap begitu sahaja.

Saat itu, kita bagaikan terjaga daripada mimpi yang panjang. Seolah-olah tersedar daripada tidur yang lena. Menyedari bahawa kita telahpun kehilangan mereka. Hilang orang yang tersayang sangat menyakitkan.

Walau hubungan yang ada hanya sekadar pertalian yang terbina atas dasar kasih sayang semata-mata, ku akui kehilangan itu tetap memedihkan hati. Menahan sakit dan rindu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. 

Saat itu juga aku sedari bahawa kita akan menghargai betapa indahnya sebuah pertemuan setelah berasa pedihnya sebuah perpisahan. Apabila kita memahami erti sebenar kehilangan, maka kita akan mengetahui erti sebenar rindu. 

Namun apakan daya setiap pertemuan itu pasti akan ada perpisahan.

Setiap yang bertemu pasti akan berpisah. 

Setiap yang datang pasti akan pergi. 

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. 

Setiap yang hidup pasti akan mati.

“Cintailah sesiapa yang engkau kehendaki kerana sesungguhnya engkau akan berpisah dengannya.”

– HR Al-Hakim 7991.

Harus diingat supaya kita perlu sentiasa bersedia untuk perpisahan. Kita boleh untuk mencintai siapapun tetapi tanamkan dalam fikiran dan sematkan dalam hati bahawa tidak ada yang kekal di dunia yang sementara ini. Rela atau tidak, kita perlu tempuhinya juga. Bahkan kita pastinya tidak sanggup untuk melepaskan seseorang yang amat bermakna dalam hidup kita apatah lagi kehilangannya. Perasaan sayang itu tidak dapat digambarkan dengan perkataan semata, hanya hati sendiri sahaja yang tahu dan semestinya Tuhan yang Maha Mengetahui segala isi hati kita. 

Bukan semua perpisahan akan merasai kehilangan. Namun, setiap kehilangan pasti mengalami perpisahan. Seringkali kita takut akan sebuah perpisahan tetapi sebenarnya yang lebih mengerikan ialah sebuah kehilangan.

Dan pada akhirnya,

Ketiadaannya dicari, 

Kehadirannya dinanti,

Kebaikannya diteladani. 

Kepergiannya dirindui,

Dan, 

Kematiannya ditangisi.

Memang sukar untuk melupakan sesuatu peristiwa khususnya kenangan buruk yang pernah menghempap diri. Namun, kita tidak perlu berusaha untuk melupakannya kerana peristiwa yang melukakan itu hanya merupakan satu titik dalam hidup kita—maka yang perlu kita lakukan adalah dengan melepaskan titik tersebut. Biarkan ia berada di masa lalu kita. Usah bawa ia ke masa sekarang mahupun masa hadapan. Perlahan-lahan belajar untuk melepaskan.

Semua orang pasti mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Pahit, masam mahupun manis—segala rasa ada. Simpanlah setiap satu rasa itu kerana begitulah cara hidup mematangkan diri kita. 

Dalam hidup ini, 

Yang paling banyak mengajar kita erti kehidupan itu adalah pengalaman. Meskipun pengalaman itu pahit namun ia tetap telah menjadi ‘guru’ kita. Belajarlah daripada pengalaman.

Apa yang penting, kita perlu sentiasa perbaiki diri untuk jadi lebih baik daripada sebelum ini. Terus tumbuh dan mendewasa dengan luka dan bahagia.

Disediakan oleh:

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia. Beliau aktif berkongsi perihal agama Islam

di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl .

Status Muflis Bukan Penghalang Memajukan Diri

Hawa Bukan Sahaja Sebagai Pasangan Adam A.S.