in

LoveLove CryCry

Kisah Wanita yang Tidak Pernah Meninggalkan Tahajud

Rabiatul Adawiah merupakan nama yang cukup indah namun kisah hidupnya lagi indah kerana beliau menyerahkan diri sepenuhnya hanya kepada Allah azza wajalla. Beliau merupakan salah seorang wali Allah, dan Allah telah memberi ancaman untuk memerangi orang yang memusuhi para walinya. Ini mengisyaratkan betapa Allah amat menyayangi para walinya termasuklah Rabiatul Adawiah. 

Persoalannya, apakah yang telah beliau lakukan sehingga beliau menjadi wali Allah? Ayuh sama-sama kita hayati dan telusuri sedikit sebanyak tentang kisah hidupnya. Insan ini sangat popular dengan ibadahnya siang dan malam tanpa mengenal erti rehat bukan seperti kita yang sentiasa mahu berehat sahaja. Beliau mampu mendirikan solat sunat tahajud sehingga 300 rakaat dalam satu malam sedangkan kita nak dirikan solat sunat tahajud dua rakaat dalam 300 hari pun susah. 

Malah beliau juga sangat khusyuk ketika menunaikan solatnya sehinggakan rasa sakit tatkala atap rumah runtuh lalu menghentamnya tidaklah dirasakan sakitnya walau sedikitpun biarpun badannya berlumuran dengan darah. Khusyuknya ketika solat sehinggakan hal-hal yang lainnya tidak dihiraukan langsung. 

Benarlah kata-kata dalam sebuah hadis iaitu: 

الصَّلاةُ عِمادُ الدِّينِ

(Solat itu tiang agama) 

Kata orang juga, solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Betapa solat ini amat penting dan menjadi tunjang utama dalam kehidupan sebagai seorang muslim. 

Ada yang kata, 

“Alaa tahajud tu sunat je pun bukannya wajib nak kena buat”. 

Ya, benar. Ia hanya ibadah sunat namun itulah yang akan tampung segala kekurangan dalam ibadah wajib kita. Tidakkah kita fikir andai sahaja adanya kekurangan pada solat fardu kita lalu ia menjadi punca penghalang kita untuk masuk ke syurga kelak. Alangkah sayangnya apabila selangkah sahaja lagi untuk masuk ke syurga namun kemudian terjatuh pula ke dalam neraka akibat kekurangan pada solat fardu kita, na’uzubillahi min zalik. Itulah keperluannya ibadah sunat ini. Ia mampu menjadi muhasabah kepada diri kita juga  sebenarnya. 

Sebuah lagi kisah menarik mengenai Rabiatul Adawiah dan tahajudnya yang mahu saya kongsikan kepada kalian—Suatu hari, Rabiatul Adawiah jatuh dan patah tangannya jadi beliau tidak dapat menunaikan solat sunat tahajud seperti kebiasaannya pada awal pagi tersebut tetapi beliau gantikan tahajudnya itu dengan ibadah lain iaitu beliau banyak membaca al-Quran pada siang harinya. 

Kemudian, pada malam berikutnya beliau terus bermimpi bidadari syurga tidak mahu memberikan wangian kepadanya. Lalu wildan bertanya kepada bidadari tersebut kenapa tidak diberikan wangian kepada Rabiatul Adawiah, maka jawab bidadari bahawasanya dia telah memberi wangian itu kepada Rabiatul Adawiah akan tetapi Rabiatul Adawiah sendiri yang tidak menghargai wangian tersebut. 

Lalu, Rabiatul Adawiah pun terjaga daripada tidurnya, beliau faham bahawa wangian tersebut merupakan solat sunat tahajud. Jadi, bermula daripada detik itu Rabiatul Adawiah tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajud walaupun ketika sakit.

Sikap inilah yang seharusnya kita teladani. Tidak perlu untuk buat sehingga 300 rakaat tahajud satu malam tetapi memadailah sekadar dua rakaat satu malam asalkan ia dibuat secara berterusan—istiqamah. Semoga kita terus istiqamah dalam mendapatkan keredaan ilahi. 

Inilah kisah insan mulia yang bernama Rabiatul Adawiah iaitu seorang wanita yang mempersembahkan hatinya hanya untuk Allah SWT . Beliau tidak ingin menikah kerana dia terlalu takut jika cintanya kepada Allah berbelah bahagi. Bahkan beliau sentiasa menangis dek kerana perasaan rindunya terhadap kekasihnya iaitu Allah SWT. Beliau berkata, 

”Aku menyembah-Nya bukan kerana mengharap akan syurga tetapi kerana aku berharap kekasihku (Allah) sudi memperlihatkan wajah-Nya kepadaku kelak di akhirat.” 

Sungguh hebat wanita ini—beliau hanyalah seorang hamba yang tidak mempunyai apa-apa namun hatinya disembahkan hanya kepada Allah sahaja. Beliau juga telah banyak menolak lamaran daripada para lelaki yang ingin menjadikannya sebagai isteri. Alasannya menolak lamaran tersebut adalah kerana beliau ingin mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. 

Teringat pula saya kepada kisah Rabiatul Adawiah ini yang bertajuk ‘Jika Mencintai’ oleh Syeikh Dr. Rohimuddin Al-Bantani. Kisahnya ada seorang lelaki yang sangat mencintai Rabiatul Adawiah. 

Lalu ditanya oleh Rabiatul Adawiah kepada lelaki tersebut, 

“Apa yang engkau cintai dariku?” 

maka jawab lelaki itu, 

“Matamu, kesolehanmu”. 

Kemudian Rabiatul Adawiah mengatakan, 

“Kalau begitu aku mempunyai adik perempuan yang masih muda, cantik serta matanya pun sangat indah dan dia lebih solehah daripadaku, rasanya dia sesuai untukmu yang juga masih muda.”

 Rabiatul Adawiah kemudian berkata lagi, 

”Itu dia di belakangmu.” 

Maka lelaki tersebut terus menoleh untuk melihat gerangan adik perempuan yang digambarkan oleh Rabiatul Adawiah itu. 

Melihat lelaki itu terus menoleh maka Rabiatul Adawiah berkata kepada lelaki itu bahawa “Anda pendusta, adakah cinta itu menoleh kepada yang lain?”. 

Rabiatul Adawiah hanya menguji “itu dia dibelakangmu” dan lelaki itu terus menoleh dengan pantasnya. Padahal sebenarnya Rabiatul Adawiah tidak mempunyai adik perempuan pun. 

Kata Rabiatul Adawiah lagi, 

“Pergilah engkau pendusta, jika seseorang itu benar mencintai maka tidak mungkin ia menoleh kepada yang lain, engkau tidak patut di sini.”

Lihatlah bagaimana Rabiatul Adawiah sangat menjaga maruahnya dan ibadahnya seperti bagaimana beliau sangat menjaga tahajudnya biarpun ia hanyalah salah satu ibadah sunat sahaja namun kelebihan mengerjakannya sangat besar ganjarannya dan kita hanya akan dapat merasai nikmat tersebut andai kita yang melakukannya sendiri secara konsisten, insya-Allah.

Sikap yang baik itulah seharusnya dicontohi dan menjadi ikutan tetapi jangan pula kita simpan niat untuk tidak mahu berkahwin sebagaimana yang dilakukan oleh Rabiatul Adawiah. Soal itu biarlah ia menjadi urusan beliau dan pencipta-Nya sahaja. Tidak perlulah kita mempersoalkan itu kerana saya juga tidak punya jawapan jadi tak perlu dibahas. 

Menikah itu merupakan sunnah Rasulullah SAW dan kita sebagai umatnya hendaklah percaya pada ketentuan Ilahi bahawa jodoh dan pertemuan itu merupakan qada  dan qadar. 

Berbalik kepada soal tahajud—terkadang paksaan itu diperlukan terutamanya jika berkait soal ibadah solat. Jika mengenai solat fardu maka tidak boleh berlemah lembut lagi kerana itu merupakan perintah utama daripada Allah Taala. Sesiapa yang mahu memperbaiki hidupnya maka dia perlu perbaiki dahulu solatnya. 

Tahajud ini seandainya benar-benar berkeinginan untuk menunaikannya maka perlu kepada paksaan pada awalnya sehingga sudah terbiasa. Pada saat sudah terbiasa itu maka paksaan tidak diperlukan lagi kerana diri kita secara automatik akan sentiasa bangun malam menunaikan solat sunat tahajud. 

“ Tahajud itu perlu dipaksa sehingga kita merasai ia sebagai sebuah keajaiban. Tidak lengkap hidup tanpa tahajud dan pada akhirnya kita akan menemui rasa ikhlas yang sebenar-benarnya” 

Penting untuk menanamkan azam yang tinggi dalam diri serta perlu nekad untuk melakukannya maka insya-Allah akan dipermudahkan urusan buat kita agar dapat istiqamah menunaikan tahajud. 

Ayuh sama-sama kita jadikan kisah-kisah wali Allah ini sebagai pengajaran untuk kita terus berusaha mendapatkan redha Allah tanpa mengenal erti putus asa.

Disediakan oleh:

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia yang merupakan seorang pelajar pra-universiti dalam bidang Sains Sosial (Kesusasteraan Melayu Komunikatif). Beliau aktif berkongsi tentang agama Islam di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl .

Seksualiti Dari Sudut Pandang Islam

Adakah Tuhan Bersifat Sadistik?