Tafsir al-Azhar merupakan karya agung seorang ulama yang dikagumi dan jujur dalam tulisannya iaitu HAMKA (1908-1981) atau nama sebenar beliau Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah.

Tafsir al-Azhar mula dihasilkan secara tidak formal iaitu pada penghujung tahun 1958 sehingga Januari 1964 dan diterbitkan dalam majalah Panji Masyarakat. Tafsir al-Azhar ini sendiri telah diberi nama bersempena nama Masjid al-Azhar iaitu tempat HAMKA mengadakan kuliah tafsir al-Quran setiap pagi selepas subuh.

Pada 27 Januari 1964, berlakunya peristiwa atau kisah sedih yang tidak dijangka oleh HAMKA sendiri namun, menjadi asbab terbitnya sebuah kitab tafsir al-Quran yang lengkap dalam bahasa Melayu iaitu Tafsir al-Azhar.

Usai mengadakan kuliah Subuh iaitu perbahasan tafsir tentang Ayatul Qursi surah al-Baqarah ayat 255 di Masjid al-Azhar, kira-kira pukul 11 pagi, HAMKA pulang ke rumah. Kemudian, anaknya memberitahu beliau bahawa terdapat empat orang yang ingin bertemu dengannya kerana ada hal mustahak. 

Pertemuan mereka itu menyebabkan HAMKA, seorang ulama yang dipandang tinggi telah jatuh hingga berada di kelas manusia yang paling bawah iaitu menjadi seorang banduan. HAMKA membaca surat perintah penahanan yang dihulur oleh salah seorang daripada empat orang itu dengan tenang. Beliau dituduh sebagai pengkhianat besar negara (melanggar undang-undang Anti-Subversif Pempres 11), iaitu terlibat dalam rapat atau pertemuan gelap (secara haram) di Tangerang, Indonesia pada Oktober 1963.

Pertuduhan ini kononnya merupakan usaha untuk membunuh menteri agama Indonesia pada ketika itu dan seterusnya, merampas kuasa (kudeta) pemerintah Indonesia iaitu Soekarno yang merupakan rakan baik kepada HAMKA sendiri. HAMKA juga didakwa telah mendapatkan bantuan kewangan daripada Tunku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu sebanyak 4 juta dolar dan pelbagai pertuduhan lain lagi. 

HAMKA berada dalam tahanan selama empat hari, dan dilanjutkan sehingga empat bulan kerana tidak ada bukti kukuh yang boleh mensabitkan HAMKA ke atas dakwaan-dakwaan tersebut.

Hal ini menyebabkan HAMKA dipaksa mengaku atas segala pertuduhan, dan menimbulkan rasa pelik dalam diri HAMKA sehingga beliau menulis dalam pengenalan Tafsir al-Azhar iaitu,

“Menurut peraturan akal sehat, polisi yang memeriksa itulah yang mesti mengemukakan bukti-bukti kesalahan yang dituduhkan, tetapi ini sebaliknya.”

Penahanan HAMKA di Pusat Tahanan Sukabumi dilanjutkan sehingga dua tahun empat bulan berdasarkan Undang-undang Penetapan Presiden yang dikeluarkan oleh Presiden Soekarno. Undang-undang ini merupakan undang-undang khas terhadap orang yang dituduh terlibat dengan unsur-unsur pengkhianatan negara walaupun tanpa usul periksa dan bukti yang jelas.

Ketika berada dalam penjara, HAMKA mula fokus dalam menghasilkan Tafsir al-Azhar secara formal untuk diterbitkan. Pernah terdetik di dalam hati HAMKA dan beliau berdoa kepada Allah untuk menyiapkan Tafsir al-Azhar secara komprehensif, dan beliau menganggap bahawa masa di dalam penjara adalah jawapan daripada Allah kepadanya. Sepanjang waktu itu juga, HAMKA menumpukan Tilawah al-Quran sehingga beliau khatam al-Quran lebih daripada 100 kali.

HAMKA mengatakan bahawa Tafsir al-Azhar ini memfokuskan kepada dua golongan manusia. Pertama, golongan masyarakat yang berkeinginan yang kuat untuk tahu tentang agama Islam namun terbatas akibat kekangan kemampuan berbahasa Arab. Kedua, golongan mubaligh (iaitu golongan yang menyebarkan ajaran agama) untuk mereka memperkuatkan lagi kefahaman dan hujah tentang agama Islam dan pengetahuan umum yang lain seperti ilmu sejarah, dan sains.

Hal ini demikian kerana golongan mubaligh ini akan berhadapan dengan masyarakat yang akan sentiasa mempersoalkan tentang pelbagai isu, daripada sudut duniawi ataupun akhirat.

Walau bagaimanapun, pada akhirnya, Tafsir al-Azhar ini dikarang demi memudahkan masyarakat dalam rumpun Melayu membaca dan mendalami agama Islam yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Secara harfiahnya, melalui Tafsir al-Azhar, HAMKA menyampaikan mesej penting kepada manusia bahawa untuk mencari erti kehidupan sebenar adalah dengan menjadikan al-Quran sebagai teman karib.

Al-Quran adalah sumber primer yang perlu dirujuk dalam banyak perkara yang akan, sedang, atau sudah terjadi- keresahan, musibah, kebahagiaan, kemewahan, kesedihan, dan sebagainya.

Disediakan oleh,

Inawani Suir

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.