Penulisan poskad mungkin sudah dianggap satu aktiviti yang lapuk. Manakan tidak, kepesatan teknologi pada zaman sekarang membolehkan interaksi sesama manusia berlaku dengan lebih cepat dan meluas. Ibarat kata-kata dalam Bahasa Inggeris yang menyebut, everything is just one click away. Mahu hantar mesej kepada sesiapa, taip dan terus sahaja hantar melalui mana-mana aplikasi yang ada. Cepat dan mudah. Menulis dan menghantar poskad pula memerlukan masa yang lebih kerana melibatkan banyak perkara untuk berlaku sebelum mesej yang ditulis pada poskad dapat dibaca oleh penerima. Namun, di celah-celah “kelambatan” aktiviti penulisan poskad, ada di situ pelbagai kisah yang menarik. Apabila dunia bergerak dengan terlalu pantas, eloklah jika kita dapat memperlahankan beberapa perkara agar kita dapat mengamati keindahannya dengan lebih jelas.

Terdapat beberapa platform yang membolehkan kita menghantar dan menerima poskad, dan salah satu daripadanya ialah Postcrossing (https://www.postcrossing.com/). Melalui Postcrossing, kita boleh mendaftar akaun sendiri dan meminta alamat bakal penerima poskad kita. Alamat penerima akan diberi secara rawak. Setelah menerima alamat, kita perlulah menulis dan menghantar poskad tersebut kepada penerima berdasarkan alamat yang diberikan. Penerima poskad tersebut pula haruslah mendaftar poskad tersebut mengikut ID yang diberikan kepada kita yang mana wajib ditulis dalam poskad tersebut. Kita juga akan diberitahu bahawa poskad yang kita hantar telah sampai setelah ia didaftar melalui platform Postcrossing. Seterusnya, giliran kita pula untuk menerima poskad daripada individu lain yang mana diberi alamat kita kepada mereka. 

Sepanjang tempoh poskad itu dalam perjalanannya kepada kita, kita hanya boleh mengagak yang kita bakal menerima poskad, tetapi kita sama sekali tidak akan tahu ia daripada siapa atau dari negara mana, apatah lagi bila ia akan tiba. Elemen surprise itulah yang membuatkan kita sentiasa teruja dan berharap setiap kali membuka peti surat.

Poskad itu sendiri boleh dijadikan koleksi simpanan, seperti mana kita juga biasa mengumpul setem. Istimewanya, poskad yang dikumpul dengan cara ini bukanlah poskad kosong yang baru dibeli di kedai, tetapi tertulis padanya ucapan yang khas ditujukan kepada kita. 

Bayangkan, seorang individu di atas dunia ini, yang tidak mengenali atau pernah bertemu dengan kita, memperuntukkan sedikit masa dalam kehidupannya untuk menulis satu mesej istimewa kepada kita. Untuk satu tempoh dalam kehidupannya, masa itu diisi untuk memilih poskad, menulis nama dan alamat kita, melekatkan setem, dan menghantarnya ke pejabat pos. Tidakkah kita merasa untuk satu tempoh yang diri kita telah menjadi satu subjek tumpuan (being the object of someone’s attention) oleh seseorang yang berada entah berapa ribu batu jauhnya dari kita? Bukankah ia satu kenikmatan dan kepuasan menerima sesuatu yang memang ditujukan khusus kepada kita (gratification for being addressed)? 

Kita sedar di sebalik poskad itu ada usaha yang bukan kecil oleh bukan sahaja pengirim, malah entah berapa ramai lagi manusia agar memastikan mesej ringkas yang tertulis pada poskad itu dapat kita baca.

Kisah perjalanan poskad

Banyak waktu, poskad yang kita hantar menempuh perjalanan yang sangat jauh merentasi lautan dan daratan. Jika kita sendiri yang menempuh satu perjalanan akan ada waktunya menghadapi cabaran, begitulah juga kisahnya dengan perjalanan poskad. Cuma, kita mungkin tidak mengetahui secara terperinci kisah perjalanannya.

Perjalanan poskad turut terkesan dengan apa yang berlaku di dunia ini. Contoh yang masih segar dalam ingatan kita adalah saat berlakunya pandemik COVID-19. Banyak negara, termasuk Malaysia, mengenakan penggantungan dan tidak menerima penghantaran antarabangsa untuk dibuat ketika awal-awal pandemik bermula. Banyak poskad yang dihantar sebelum seluruh dunia berkurung telah terhenti perjalanan mereka. Tidak dapat dipastikan jika terdapat poskad yang berjaya dihantar setelah negara membuka semula ruang sempadan. Namun, oleh sebab tempoh masanya yang sudah melepasi satu had tempoh, sistem Postcrossing tidak membenarkan sesuatu poskad itu untuk didaftar walaupun ia telah selamat tiba.

Jika kita kembali pula ke tahun 2014, kita masih ingat akan apa yang berlaku terhadap kapal terbang Malaysia Airlines iaitu penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Dalam kapal terbang yang dijadualkan bertolak dari Amsterdam ke Kuala Lumpur tersebut, terdapat bungkusan mel antarabangsa yang turut dihantar melalui penerbangan komersial. Poskad daripada seorang individu di Belanda yang mahu ditujukan kepada seorang individu di Malaysia turut berada dalam penerbangan pada 17 Julai 2014 tersebut. Alamat pengirim pada poskad tersebut tidak dapat dibaca, manakala alamat penerima pula masih dalam keadaan baik. Maka, pihak PostNL International Mail (penyedia servis mel di Belanda) telah mengambil inisiatif untuk menghantar poskad tersebut ke alamat penerima di Malaysia. Mereka juga menulis sepucuk surat yang disertakan sekali dengan poskad tersebut untuk menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku. Setelah setahun poskad itu ‘mengembara’ dan menempuh pelbagai halangan dalam perjalanan, ia tiba dengan selamat kepada penerima. 

Kisah yang dikirim

Apabila kita diberi profil dan alamat penerima poskad kita, biasanya kita akan membaca dahulu apa yang ditulis dalam profil tersebut. Mesej yang ditulis dikarang khas buat bakal penerima, mengikut profil mereka. Contohnya, jika mereka berminat untuk mengetahui tentang tempat tinggal kita, kita pun boleh menulis tentang hal itu. Kita juga boleh mencari persamaan minat yang boleh dibuat modal untuk menulis sesuatu di atas poskad.

Menjadi kebiasaan juga, kita akan menulis serba-sedikit perihal diri kita dalam poskad tersebut seperti hobi, pekerjaan atau cita-cita, makanan kegemaran, dan harapan masa hadapan. Tidak kurang juga yang menceritakan kisah semasa atau perkembangan diri masing-masing, persis mengutus surat kepada kawan lama.

Kita juga dapat perhatikan sesetengah pengirim yang begitu bersungguh-sungguh menghias poskad untuk dihantar. Corak, pelekat, tulisan yang berwarna-warni—itu semua menambah rasa kemesraan ketika kita membacanya. Malah ada juga yang menghadiahkan pelekat dan poskad tambahan yang dihantar di dalam sampul surat. Ia adalah satu usaha yang wajar kita hargai sebagai penerima.

Text, whiteboard

Description automatically generated
Poskad dari Perancis.

Hadiah pelekat yang dihantar bersama poskad yang dikirim dari Amerika Syarikat.

Kisah pemilihan poskad

Ada juga individu yang meletakkan ciri-ciri poskad yang diidamkan oleh mereka dalam profil. Bukanlah menjadi satu kewajiban untuk menghantar poskad mengikut jenis atau tema yang diidamkan. Namun, ramai sahaja pengirim yang bermurah hati untuk memilih poskad yang menjadi idaman bakal penerima. Atau, pengirim akan memilih tema poskad yang menepati profil yang ditulis oleh pengirim.

Saya sendiri pernah menerima dua poskad dari Jerman, yang mana kedua-dua pengirim memilih untuk menghantar poskad bertemakan ahli psikologi iaitu Sigmund Freud dan Mamie Phipps Clark kerana saya ada menulis dalam profil yang saya ialah pelajar dalam bidang psikologi. Saya sungguh berbesar hati menerima poskad-poskad tersebut. Ini menunjukkan yang pengirim benar-benar mengambil kira siapa bakal penerima ketika memilih poskad yang sesuai untuk dihantar.

Text, letter

Description automatically generated
Text, letter

Description automatically generated
Dua poskad dari Jerman yang bertemakan ahli psikologi.

Kisah dalam kelas

Idea penulisan poskad sebagai satu aktiviti dalam kelas Bahasa Inggeris bertitik tolak daripada beberapa hantaran blog yang disiarkan di platform Postcrossing. Dalam siaran blog tersebut, pengguna Postcrossing bercerita tentang bagaimana guru-guru menggunakan poskad untuk melatih murid menulis dalam Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama dapat mengenali negara-negara lain di dunia. Saya menggunakan idea aktiviti tersebut dalam kelas Bahasa Inggeris yang saya kendalikan sebagai sukarelawan dalam program The Academy di Centre for Excellence and Development (CEDev), Perlis.

Antara tujuan saya memperkenalkan aktiviti menulis poskad dalam kelas Bahasa Inggeris itu adalah untuk mendedahkan kepada murid bahawa penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris bukanlah semata-mata untuk memenuhi keperluan pembelajaran di sekolah. 

Pada peringkat umur mereka, agenda sekolah mungkin memenuhi kebanyakan ruang masa dan fikiran mereka. Mereka didedahkan yang mereka boleh menggunakan kemahiran berbahasa Inggeris dengan menulis cerita mereka dalam bahasa tersebut dan menghantarnya kepada seseorang di negara lain. Pada awalnya, mereka sendiri tidak percaya yang poskad-poskad itu memang akan dihantar mengikut alamat yang diberikan dan akan ada seseorang yang akan membaca poskad yang mereka tulis.

Aktiviti menulis poskad ini juga memberi ruang kepada murid untuk menulis tanpa terikat dengan topik yang telah ditetapkan. Murid hanya diterangkan tentang tatacara penulisan poskad yang asas iaitu pengenalan, isi, dan penutup. Saya juga menunjukkan poskad-poskad yang saya sendiri terima sebagai contoh. Kemudian, mereka diberi kebebasan untuk menulis apa-apa sahaja yang mereka fikirkan sesuai. Perkara yang saya tekankan kepada murid adalah untuk memiliki idea untuk menulis. Idea tersebut boleh sahaja datang daripada bahan pembacaan atau kisah kehidupan mereka seperti hobi, cita-cita, dan mata pelajaran kesukaan. Idea yang mereka cetuskan boleh sahaja dalam Bahasa Melayu. Perkara yang penting bagi saya adalah kemampuan mereka untuk berfikir bagi membuahkan idea. 

Soal bahasa, di sinilah peranan guru untuk membimbing mereka membentuk dan menterjemah ayat ke Bahasa Inggeris. Walaupun ayat-ayat mereka tidak sempurna dari segi tatabahasa dan ejaan, perkara yang saya hargai adalah kemahuan mereka untuk menulis dan berkongsi cerita dengan seseorang yang mereka sendiri tidak kenali. Ini adalah peluang mereka untuk meningkatkan keyakinan diri untuk menulis dalam Bahasa Inggeris dan tidak takut untuk melakukan kesilapan. Hal ini kerana bahasa ialah medium; yang penting adalah mesej itu difahami. Kemahiran berbahasa boleh ditambah baik apabila kita aktif menggunakan bahasa tersebut. Itulah yang saya cuba sampaikan kepada murid di dalam kelas.

Text, letter

Description automatically generated
Text, letter

Description automatically generated
Antara poskad yang pernah dihantar oleh murid di CEDev.

Selain itu, aktiviti ini adalah peluang untuk saya sendiri mengenali murid melalui apa yang ditulis oleh mereka. Beberapa kali saya mengetahui banyak perkara mengenai murid saya daripada poskad yang mereka tulis. Sedikit sebanyak, pengetahuan tersebut boleh dijadikan modal untuk berbual dengan murid.

Di dalam kelas, murid selalu bertanya jika poskad mereka sudah tiba ke destinasi. Apabila poskad yang dihantar telah tiba, penerima poskad itu boleh menghantar mesej peribadi kepada murid. Apabila saya memberitahu ada poskad telah tiba, murid begitu teruja untuk membaca mesej yang disampaikan daripada penerima dalam sistem Postcrossing. Mereka juga teruja melihat peta untuk mengetahui betapa jauh jarak negara tersebut dari Malaysia.

Mesej yang dihantar oleh penerima poskad kepada murid.
Antara mesej yang dihantar oleh penerima poskad kepada murid.

Apabila giliran murid pula menerima poskad, kami membacanya di dalam kelas. Murid mencari negara asal poskad tersebut di atas peta. Murid juga menyemak perkataan yang tidak difahami di dalam kamus. Melalui proses itu, sedikit sebanyak mereka mengetahui apa yang ada di negara tersebut. Contohnya, mereka belajar yang Belanda terkenal dengan terompah, bunga tulip, keju, dan kincir angin. Murid juga dapat melihat gambar bangunan dan pemandangan cantik di Latvia dan Republik Czech menerusi poskad yang diterima.

Text, letter

Description automatically generated
Poskad dari Finland yang diterima oleh murid di CEDev.

A picture containing graphical user interface

Description automatically generated
Poskad dari Belanda yang diterima oleh murid di CEDev.
A picture containing text, mammal, squirrel

Description automatically generated
Poskad dari Lithuania yang diterima oleh murid di CEDev.

Saya berharap murid mendapat manfaat daripada aktiviti penulisan poskad ini dari segi keyakinan dan kemahiran untuk menulis dalam Bahasa Inggeris, dan pada masa yang sama, berasa seronok untuk membaca poskad dari pelbagai negara. Siapa tahu, dengan mengenali negara-negara lain, mereka menyimpan cita-cita besar untuk mengembara di dunia yang luas ini.

Kisah di luar poskad

Penulisan poskad—zahirnya kelihatan hanya sebagai aktiviti menulis sesuatu di atas poskad dan menghantarnya kepada mana-mana individu. Namun, di sebalik aktiviti tersebut punya kisah yang istimewa, iaitu kisah yang menyerlahkan pelbagai dimensi kehidupan.

Menerusi sekeping kertas kecil ini, kita membuka sedikit ruang bagi individu lain mengenali kita. Dan menerusi kertas kecil ini juga, kita diberi ruang untuk menyedari bahawa, walaupun kehidupan sesama manusia punya pelbagai perbezaan dari segi geografi, budaya, agama, cara hidup, dan cara fikir, akan tetap ada titik persamaan yang menemukan kita di dunia ini. Nilai kemanusiaan, walau diamal dalam suasana berbeza, menjadi tali penghubung yang dapat mudah difahami tanpa perlunya berkongsi seribu satu perkara lain yang serupa.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.