oleh Mardhiyyah Nor Azizan

            Jika ditanya kepada saya apakah yang membuatkan saya begitu meminati Khoo Kay Kim, barangkali jawapan paling jujur ialah “ketidakjujuran” beliau. “Ketidakjujuran” itulah yang membuatkan saya berjalan bersama-sama adik saya Jannah ke Menara Ilham, Kuala Lumpur petang itu.

            Petang itu Khoo Kay Kim akan berkata-kata tentang Kuala Lumpur, itulah sangkaan saya berdasarkan tajuk seminar petang itu. Saya ingin tahu apakah “ketidakjujuran” Khoo dalam hal itu. Dan saya yakin saya pasti dapat tahu apakah “ketidakjujuran” Khoo Kay Kim kerana perbualan (conversation) petang itu bakal diketuai oleh seorang lagi “Khoo” iaitu anaknya, Eddin Khoo!

            Kami datang agak lewat (kerana berjuta alasan yang tidak patut). Sampai-sampai sahaja Profesor Khoo sedang “berbual-bual” dengan anaknya di pentas – dan penonton khusyuk mendengar perbualan mereka. Beliau sudah bertaraf Profesor Emeritus (profesor “pencen”) yang sepatutnya ditulis “Prof. Emer.” tetapi orang lebih gemar memanggilnya “Prof. Khoo” sahaja.

            Prof. Khoo terkenal dengan kerjanya mengubah penceritaan sejarah Asia khususnya Malaysia daripada sudut penceritaan Asia-Eropah kepada Asia itu sendiri. Barangkali ada hadirin yang nakal yang bertanyakan soalan kepada beliau, “Tidakkah ada langsung kebaikan yang British berikan kepada kita?”

            Jawab Prof. Khoo, “Ada,” hadirin tertunggu-tunggu jawapan seterusnya.

            “Terutamanya dalam sukan,” sambung beliau lagi.

            Sebelum Merdeka, 1953 – 1957, Eddy Choong menjuarai empat pertandingan perseorangan All England dan menaikan nama Malaya. Itulah antara apa yang disebut oleh Prof. Khoo selain beliau turut menyebut bagaimana orang Tanah Melayu handal bermain bola sepak sebelum menjadi pathetic seperti sekarang.

            Itulah “ketidakjujuran” Prof. Khoo yang sering mengkritik cara kita menulis sejarah tentang diri kita sendiri.

Kata Prof. Khoo lagi, sistem Pendidikan kita bermasalah sedangkan banyak permasalahan boleh selesai melalui pendidikan yang baik. Seorang anak muda yang hadir bertanya kepada Prof. tentang apakah yang boleh dilakukan oleh anak muda sepertinya atas kapasiti individu setelah “dirosakkan”oleh sistem pendidikan? Prof. Khoo terus menjawab, “Tiada,” dan beliau berhenti di situ.

            Semua yang hadir tergelak dan terkejut sebelum Eddin menyambung agar hadirin tidak begitu pesismis. Beliau memberitahu “ketidakjujuran” ayahnya itu sebab, apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya sekarang adalah atas kapasiti individu. Ayahnya sangat gemar bersembang dan mendengar cerita berbanding membaca buku. Ayahnya sangat gemar menganjurkan wacana dan bersembang ilmiah yang dekat masyarakat. Dan memang begitulah ayahnya sejak dahulu.

            Saya tergelak mengenangkan “ketidakjujuran” Prof. Khoo ini, sama seperti tersengeh-sengeh semasa membaca buku autobiografi tulisan beliau sendiri iaitu I, KKK: The Autobiography of a Historian. Prof. Khoo dan ayahnya bukanlah ahli berdaftar Khoo Kongsi, namun anaknya Eddin ingin terlibat dengan Khoo Kongsi. Beliau menulis bahawa Eddin pulang dengan kekecewaan kerana Eddin menjangkakan ritual yang lebih “garang” berbanding hanya mengisi borang keahlian Khoo Kongsi.

            Dan sepanjang petang itu, saya rasa perbualan antara Eddin dengan ayahnya itu sangat menarik tetapi tersalah tajuk! Barangkali mereka ada bercerita tentang sejarah Kuala Lumpur tetapi sebelum saya datang kerana selepas saya datang, saya mendengar kisah-kisah sejarah yang lebih luas daripada “Kuala Lumpur”. Adakah ini dikira “ketidakjujuran” juga?

Mungkin saya harus gantikan perkataan “ketidakjujuran” Prof. Khoo ini dengan perkataan yang lebih tepat iaitu “berterus-terang tetapi tetap bekerja”. Tapi biarlah saya terus menggunakan “ketidakjujuran” kerana segelintir orang Melayu sering menyalahgunakan “kejujuran” dan “keimanan” dengan tujuan mengambil kesempatan pula. (Haha)

MARDHIYYAH NOR AZIZAN merupakan penulis separuh masa selepas beliau pulang daripada Istanbul Fellowship Mac 2019 yang lalu. Beliau boleh dihubungi melalui Facebook: Mardhiyyah Nor Azizan, dan beliau tidak suka meminjamkan buku I, KKK itu kepada orang lain.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.