1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,.

2.  Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

3.  Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah.

4.  Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam.

5.  Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Surah Al-‘Alaq (96):1-5

Kenapakah kita harus membaca? Satu persoalan yang mudah untuk dijawab iaitu kerana perintah Allah S.W.T. Tidakkah wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Rasulullah berkaitan dengan membaca? Ini bermakna membaca itu adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam sebenarnya dan ia adalah ibadah. Lebih-lebih lagi membaca bagi tujuan mengenali Allah S.W.T., ajarannya-Nya dan ingin mendekatkan diri dengan-Nya.

As-syahid Sayyid Qutb dalam Fi Zilalil Quran telah menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa aktiviti membaca itu sebenarnya bermula dengan menyebut nama Allah Azzawajalla. Itulah segmen pertama yang dibangkitkan dalam surah ‘Alaq.Surah yang mengangkat kedudukan Rasulullah S.A.W. dari seorang manusia biasa kepada pembawa Risalah Nubuwwah.

Sebenarnya, membaca dapat menajamkan akal dan menguatkan ingatan. Sekiranya bahan bacaan yang dibaca itu merangkumi kepelbagaian bidang, maka potensi minda seseorang dapat diperkembangkan. Seolah-olah dia menjadi ensiklopedia yang bergerak. Pokoknya bacalah apa sahaja bahan-bahan yang boleh dibaca. Pasti nanti anda akan merasai kenikmatannya (Ahmad Jais (2002), Majalah Haluan. Bil. 3, hlm. 56).

Membaca juga adalah sebagai anak kunci kepada ilmu. Tidak dinafikan bahawa ilmu juga boleh dimiliki melalui pemerhatian dan kajian. Namun jalan yang terbaik untuk medapatkan ilmu ialah dengan membaca. Ibnu Sina diusia yang muda sudahpun menguasai kepelbagaian ilmu di waktu itu hanya dengan pembacaan. Beliau dibenarkan untuk menggunakan perpustakaan istana kerana berjaya mengubati raja Nuh b Mansur di Bukhara (Sulaiman Fayyad (1998), Siri Tokoh Cendekiawan Islam : Ibnu Sina. Abdul Karim Mustafa (terj.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka. hal. 17). Tahukah pembaca sekelian berapa jumlah buku yang terdapat dalam perpustakaan tersebut? Terdapat 30 000 buah buku dalam perpustakaan raja Nuh itu.

Kepentingan membaca juga ialah dapat menambah perbendaharaan kata. Ini sudah pasti mengkayakan penggunaan istilah-istilah atau kalimah-kalimah tertentu. Adakalanya kalimah itu dialek daerah sendiri tetapi atas faktor sudah kurang kepenggunaannya, maka ia dianggap asing oleh generasi kemudiannya. Sebagai contoh perkataan cempera, telangkai, galau, pugai, sogit dan lat. Mungkin ada di kalangan kita pernah mendengarnya dan mungkin juga tidak. Jadi dengan membaca kita akan jadi seorang yang kaya dengan perbendaharaan kata yang luar biasa.

Setiap muslim sepatutnya memiliki motivasi diri untuk terus membaca. Jika kita membaca bahan-bahan  yang berkualiti, ia juga boleh mencetus motivasi dalaman kepada pembaca. Lebih-lebih lagi membaca buku-buku autobiografi, sejarah sesuatu bangsa atau politik sesuatu zaman. Lebih penting dari itu ialah membaca kisah manusia yang paling sempurna sifat kemanusiaannya iaitu Rasulullah S.A.W. 

Shaharom TM Sulaiman, pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah menulis dalam akhbar Utusan Malaysia mengenai ulat buku dan cara melahirkannya. Beliau berkata, “untuk melahirkan ulat buku, sikap menghayati perlu dibentuk dan apresiasi pembacaan yang mendalam serta melihat budaya pembacaan itu sebagai satu nikmat, seni estetika atau sesuatu yang indah dan menyeronokkan dalam hidup.”

Jadilah pencinta ilmu dengan menerokanya melalui pembacaan. Jangan ditunggu masa yang terluang untuk kita membaca. Kata saudara Ahmad Jais, seorang kolumnis Majalah Haluan, “membaca bukan aktiviti masa lapang, namun masa yang lapang perlu diisi dengan membaca. Sekiranya mencari masa yang lapang untuk membaca, pasti kita tidak jadi seorang pembaca. Orang yang berjaya tetap membaca walaupun sibuk. Lebih baik lagi sibukkan diri dengan membaca. Sibuk juga bukanlah alasan untuk tidak membaca. Cumanya membaca sewaktu sibuk perlu pengubahsuaian berbanding membaca semasa santai. Pokoknya mesti membaca (Ahmad Jais (2002), Majalah Haluan. Bil. 3, hlm. 56).

Oleh itu tanamlah semangat dalam diri supaya sentiasa membaca dan ingat bahawa membaca adalah ibadah.


ASWADY BIN MOHAMED atau nama penanya QalbiNada’. Beliau menetap di Kuala Perlis, Perlis.Kecenderungan penulisan beliau dalam menghasilkan artikel-artikel dan kertas kerja melibatkan agensi kerajaan dan institusi pengajian. Selain itu, beliau juga pernah menghasilkan beberapa modul bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara modul yang pernah dihsilkan ialah “Modul Guru Pengasih” pada tahun 2015 bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan “Iman dan Takwa Asas Pembinaan Modal Insan” 2010. Beliau juga banyak menghasilkan puisi dalam pelbagai genre seperi sajak, syair dan gurindam Karya puisi yang pernah diterbitkan ialah Antologi Bintang Utara bersama penulis-penulis Persatuan Penulis Perlis (3P). 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.