Syariah Islamiah bukanlah satu istilah yang asing bagi masyarakat melayu Islam umumnya, tetapi ia hanya terbatas di dalam ruang fardu ain sahaja. Menurut Iman al-Qurtubi dalam tafsirnya syariah Islamiah ialah: 

“لاحكام التي شرعها الله لعباده سواء أكان تشريع هذا الأحكام بالقران أم بسنة النبي محمد من قول أو فعل أو تقرير”

Ertinya: Hukum ahkam yang Allah telah tetapkan  pada hambanya samada hukum melalui al-Quran mahupun  dari as-Sunnah nabi dari sudut perkataan, perbuatan atau perakuannya. 

Maka menjadi satu persoalan besar, apakah tujuan syariah diturunkan kepada manusia? Imam al-Syathibi di dalam al-Muawaqat telah menjawab persoalan ini dengan menyatakan :

“الشريعة ما وضعت إلا لتحقيق مصالح العباد في العاجل و الآجل عنهم” 

   Ertinya: Syariah tidak diturunkan kecuali untuk melaksanakan maslahah (kebaikan) kepada manusia di dunia dan akhirat.

Bukan itu sahaja, Sultan Ulama Al-izz Ibn Abdus Salam juga menekankan hal yang sama di dalam Kitab beliau Qawaid  Al-Ahkam:

“إن الشريعة كلها مصالح إما درء مفاسد او جلب مصالح”

  Ertinya: Sesungguhnya  syariah kesemuanya mempunyai maslahah samada mengangkat kerosakan atau mendapat kebaikan .

Apa yang di maksudkan dengan maslahah?  Menurut Imam al-Syathibi maslahah ialah:

“…أعني  بالمصالح ما يرجع إلى قيام حياة الإنسان و تمام عيشه، و نيله ما تقتضيه أوصافه الشهوانية والعقلية “

   Ertinya: Aku (Imam Al- Syathibi) maksudkan maslahah sesuatu yang merujuk kepada  meneruskan dan melengkapkan kehidupan manusia dan mencapai sesuatu yang diperlukan manusia yang mempunyai syahwat  dan akal.

Kenapa Manusia Memerlukan Syariah?

Kehidupan dunia berbeda dengan kehidupan syurga.  Di syurga tidak berlaku sebarang konflik dan tidak kecukupan kerana kesemuanya diperolehi dengan keinginan petik jari, muncullah ia, tetapi di dunia makanan terpaksa diperolehi daripada tumbuhan dan juga binatang ternakan, makanan tidak datang dengan sendiri ke atas meja makanan.  Manusia memerlukan udara segar dan air yang bersih. 

Bolehkan manusia hidup aman damai tanpa undang-undang? Kerana tidak lama selepas manusia diturunkan kemuka bumi berlaku pertumpahan darah secara tidak sah iaitu kes pembunuhan salah seorang anak Nabi Adam oleh saudara kandungnya sendiri. Maka kita mengetahui motif jenayah sudah ada dalam diri manusia. Ini perlu diurus dengan baik kerana Kalau tidak nyawa tidak ada nilai.

 Atas sebab itu, Allah menekankan satu asas penting dalam Al-quran bagi manusia. Firman-NYA:

” وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا”   

   Ertinya: “Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seseorang manusia. Maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya”. ‏ [Al-Ma’idah:32]

Ayat ini mengarap satu mesej yang jelas bahawa sebarang usaha yang membantu memastikan kelangsungan hidup manusia ialah satu usaha murni untuk keseluruh manusia di muka bumi.

Menyediakan air yang bersih untuk minum dan dimiliki atau menyediakan ubat dan kelengkapan perubatan bagi mereka yang sakit atau menyediakan keadaan perkerjaan perumahan yang selamat berdasarkan tuntutan ayat di atas. 

Tidak keterlaluan juga menyifatkan penjagaan kualiti air sungai adalah sebahagian daripada maqasid syariah “hifzul nafs” kerana ini berkait secara langsung dengan ekosistem nyawa manusia dan manusia memerlukan air bersih untuk minum. 

Syariat di antara Kemanusiaan dan Kehidupan

Sebagai umat Islam kita mesti percaya bahawa Allah Maha Mengetahui setiap perkara itu baik atau buruk kepada manusia kerana Ia yang mencipta manusia. Maka manusia perlukan syariah sebagai panduan hidup kerana ia  Berteras kepada kebaikan. Selain itu, syariah sangat dekat dengan manusia kita boleh lihat bagaimana syariat mengambil berat aspek kemanusiaan, walaupun al-Quran diturunkan dari langit. 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ مِّن قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ الظَّهِيرَةِ وَمِن بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَّكُمْ

   Ertinya: “Wahai orang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang yang belum baligh antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali ( dalam satu hari ) iaitu:  sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaianmu pada tengah hari dan selepas sembahyang isyak. (itulah) tiga aurat bagi kamu.” ‏[An-Nur:58]

Lihat bagaimana Allah melihat ekosistem kehidupan manusia di atas muka bumi, malah ekosistem di dalam setiap rumah manusia. Bahkan ayat ini menerangkan secara terperinci mengenai adab bergaul di dalam rumah pada masa-masa tertentu (tiga waktu setiap hari) yang diperlukan manusia untuk bersendirian.

Nilai kemanusian ini juga Allah serap di dalam al-jidal. Al-jidal (perbahasan atau soal jawab) di dalam bahasa Arab membawa maksud al-hiwar (dialog) sepertimana yang difirman oleh Allah SWT:

“قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ”

   Ertinya: “Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab dengannya denganmu (wahai muhammmad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusuhkannya) sedang Allah sedia dengar dialog antara kamu berdua sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [Al-Mujaadalah:1]

Di dalam ayat lain, Allah menyuruh berdialog dengan cara yang lebih baik kerana tabiat manusia akan berlaku perselisihan di dalam perbagai ruang samada agama, politik dan masyarakat, maka perselisihan ini akan membawa kepada berdialog dan berbahas. Firman Allah:

“ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ”

Ertinya: Serulah ke jalan tuhanmu dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik. [An-Nahl:125]

Hatta Allah menyeru untuk berdialog dengan ahli kitab dendan cara yang baik: Seperti firman-NYA:

“وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ“

   Ertinya:  Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik, kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka.  ‏[Al-‘Ankabut:46]

Di dalam konteks ketaqwaan pula, Allah menyeru manusia untuk bertaqwa semampu mereka kerana darjat ketaqwaan berbeza mengikut individu, ketaqwaan nabi sudah tentu tidak sama dengan ketaqwaan yang lain kerana Allah Maha Mengetahui akan Kemampuan setiap makhluk ciptaanNYA. Firman-NYA:

   “فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ”

    Ertinya: ” Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah sebaik kemampuan kamu.” [At-Taghabun:16]

Keadilan Teras Syariah

Islam  dan adil  adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan bagaikan isi dan kuku. Prinsip ini dikategorikan sebagai prinsip teragung dalam syariah Islamiah, bahkan kerana keadilan juga diciptakan langit dan bumi. Syeikh Dr Yusuf al- Qaradhawi menyatakan keadilan ialah:

 “أن يعطي كل ذي حق حقه”

   Ertinya: “Memberi setiap empunya hak haknya “

Kalimat al-‘adl (adil) dan terbitnya diulang sebanyak 28 kali di dalam al-Quran. Al-Quran dan al-Hadith banyak menjelaskan kepentingan al-‘adl (adil), contohnya:

  1. perintah umum :

“إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ”

   Ertinya: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan membuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.  ‏[An-Nahl:90]

  1. Allah menyuruh manusia berlaku adil hatta dalam makan dan minum. Seperti Firman-NYA:

” وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ”

   Ertinya: Dan makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampau batas. [Al-A’raf:31]

Ibnu Abbas ra menafsirkan وَلَا تُسْرِفُوا:   jangan kamu makan sesuatu yang haram,kerana sesuatu yang haram itu adalah melampau batas. Sebahagian ulama tafsir menafsirkan jangan kamu memakan sesuatu yang halal melebihi keperluan kamu.  

  1. Melarang berpoligami jika akan membawa ketidakadilan. Firman Allah:

“أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً “

   Ertinya: Kemudian jika kamu bimbang tidak berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. ‏[Al-Nisaa:3]

  1. Keadilan ketika memakai kasut atau selipar, seperti hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam Muslim serta Imam Malik. Nabi bersabda:                            

” لا يمشي أحكم في نعل واحدة، لينعلهما جميعا أو ليخفهما جميعا”

   Ertinya: Jangan seseorang dari kamu berjalan dengan sebelah selipar, hendaklah dia memakai kedua-duanya atau menanggalkan kedua-duanya.

  1. Keadilan dalam menunaikan perintah Allah seperti diriwayatkan dalam hadith:

عن عمر الله بن عمرو: قال لي النبي “ألم أجبر أنك تقوم الليل و تصوم النهار؟” قلت إنني أفعال ذلك, قال” فإنك إذا فعلت ذلك هجمت عينك ونفهت نفسك إن لنفسك حقا و لأهلك حقا، فصم وأفطر وقم ونم

    Ertinya: Dari Umar bin Amru: Nabi telah bertanya kepadaku: “adakah benar berita sesungguhnya kamu mendirikan solat pada waktu malam dan berpuasa pada waktu siang?”, Aku berkata : “benar aku lakukan semua itu“, Nabi berkata “Sungguh jika kamu lakukan terus menerus maka matamu letih dan jiwamu lemah. Sungguh untuk dirimu ada haknya, juga keluargamu punya hak, maka berpuasa dan juga berbukalah, bangun untuk solat malam dan juga tidurlah.”

Nabi dan Peranannya

Sesungguhnya, Allah telah melantik nabi dan rasul dalam kalangan manusia dan bukan daripada golongan malaikat. Jika penghuni dunia ini terdiri daripada malaikat, maka Allah pasti mengutuskan nabi dalam kalangan malaikat.

Akan tetapi, pendudukan bumi ialah manusia atas sebab itu, nabi dan rasul diutus dalam kalangan manusia. Ini firman-NYA 

“قُل لَّوْ كَانَ فِي الْأَرْضِ مَلَائِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِم مِّنَ السَّمَاءِ مَلَكًا رَّسُولًا”

   Ertinya: “Katakanlah , seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami tutunkan dari langit mereka seorang malaikat menjadi rasul.” ‏[Al-Israa:95]

Peranan nabi menurut al-Quran dan as-Sunnah.

Peranan nabi sebagai ejen rahmatan lil alamin. Firman Allah:

“وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ”

   Ertinya: Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (Muhammad), melainkan mendatangkan rahmat ke semesta alam ‏[Al-Anbiyaa:107]

Ayat ini menerangkan soal rahmat yang memelihara maslahah(kebaikan) manusia dan menolak Segala bentuk mafsadah(kerosakan ) ke atas manusia.

Dalam konteks menrealisasikan konsep rahmatan lil alamin pada hari ini , umat islam terlebih dulu mengamalkan konsep ta’aruf (saling mengenali satu sama lain), firman Allah: “ wahai manusia , sesungguhnya Kami telah menjadikan di antara kalian lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan kabilah-kabilah untuk saling mengenali”[Al-Hujuraat:13] . iaitu mengenali ciri keistimewaan insan lain, kabilah lain, bangsa lain, penganut agama lain dan ideologi lain. Secara tidak langsung membawa kepada dialog yang diseru oleh syariat. Menjadi titik pergaduhan dalam pelbagai masalah berpunca daripada kejahilan kita terhadap orang lain.

Apabila konsep ta’aruf dapat dipraktiskan oleh kedua-dua pihak, maka akan tercapailah konsep kedua iaitu ta’amul(saling mengenali) kemudian ta’awun(saling berkerjasma) dalam kebajikan demi kebaikan seluruh manusia. Seterusnya takamul (saling melengkapi) untuk kesejahteraan manusia sejagat. Sehinggalah dapat merealisasikan rahmatan lil alamin.

Firman Allah SWT lagi berkaitan tugas Rasulullah SAW . 

“مَّا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ”

   Ertinya“Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada rasulallah selain daripada menyampaikan(perintah-perintah Allah) sahaja” ‏[Al-Ma’idah :99]

Seterusnya, ayat yang umum kepada Anbiyya’ termasuk Nabi Muhammad berperanan sebagai reformis(muslihun) . Firman Allah SWT melalui lisan Nabi Shuib AS:

 “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ”

   Ertinya: Aku hanya bertujuan hendak membaiki sedaya upadaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakan melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNYAlah aku kembali”  [Hud :88]

Selain itu, untuk mendidik manusia dengan makarumul akhlaq(akhlak-akhlak yang mulia). Sabda Nabi:

“إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق”

  Ertinya: sesungguhnya, Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia

Oleh kerana iman adalah ukuran kepada akhlak. Nabi diutuskan untuk menjadi guru bagi mengajar akhlak. Seperti sabda Nabi:

“إنما بعثت معلما”

    Ertinya: Sesunggunya, Aku telah diutuskan untuk menjadi seorang guru atau murabbi

Kesimpulan

Sesungguhnya, Allah tidak menurunkan syariat melainkan untuk kebaikan manusia sejagat. Bahkan, manusia diperintahkan untuk memakmurkan dunia dan mewujudkan ta’ayus silmi (hidup bersama dalam keadaaan sejahtera) termasuk bersama non-muslim.

Oleh Ridhwan Hussin

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.