in

Kenapa Kau Baca Buku Sejarah? Tak Bosan Ke?

Kenapa kau suka subjek Sejarah? Kenapa baca buku Sejarah? Tak bosan ke baca?

Soalan tersebut pernah ditanya oleh rakanku. Dan aku hanya tersenyum. Tak mampu membalas apa-apa. Persoalan itu membuatkan aku berfikir.

Orang disekelilingku berkata, sejarah itu membosankan. Tiada makna, dan boleh buat orang tertidur. Tapi tidak bagiku. Ianya menyeronokkan cuma mengambil masa untuk menelaah dan difahami. Seperti orang bercinta, harus disemai kasih, barulah cinta.

Bagiku, ianya sama dengan sejarah mengenai diri sendiri atau keluarga. Semestinya sukar untuk orang menghadam kisah-kisah yang berlaku dalam keluarga kita jika diceritakan kepada orang lain. Akan ada orang yang seronok dengar. Ada tidak ambil kisah. Barangkali saja menokok tambah cerita tersebut.

Begitu juga dengan sejarah yang ada di dunia. Ada yang tidak  pasti kesahihannya, ada yang ditokok tambah hingga hilang keasliannya. Maka, banyaklah rencana dalam buku sejarah yang memberi gambaran yang berlainan dan berbeza berkenaan dengan peristiwa yang sama kerana kepentingan negara masing-masing. (Chedet,2011)

Banyak sejarah yang boleh dipelajari seperti sejarah dunia, sejarah negara, sejarah setempat, sejarah perang, sejarah pendidikan, sejarah sosial dan sejarah ekonomi . Sejarah itu luas. Seluas laut terbentang. Pilih satu dan fahami.

Aku meminati sejarah di Tanah Melayu. Digabungkan dengan kisah-kisah mistik dan dongeng, institusi beraja, keadaan  masyarakat dahulu, penyebaran agama Islam di Tanah Melayu dan penggunaan Bahasa Melayu klasik. Secara dasarnya, untuk mengetahui fakta di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Tamim Ad-Dari dan Sulalatus Salatin.

Ilmu sejarah tetap aku cari untuk menambah pengetahuan. Melalui tayangan filem, dokumentari, buku dan laman sesawang.  Buku-buku sejarah juga banyak diterbitkan  dalam fiksyen atau bukan fiksyen. Secara tak langsung, menggalakkan golongan muda untuk membaca dan memahami sejarah.

Iklan dan promosi buku tidak kurang hebatnya terutama pada Pesta Buku Antarabangsa Online Kuala Lumpur yang berlangsung di Shopee. Tambahan pula, Kempen Dekad Membaca Malaysia sedang giat diperjalankan untuk membudayakan rakyat Malaysia agar membaca dan melahirkan masyarakat ilmu bertaraf dunia seterusnya menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang 2030. 

Tiba-tiba, kedengaran lirik lagu Doa Buat Kekasih daripada Ramli Sarip & Khatijah Ibrahim.

Andainya aku bertanya
Padamu tentang bahagia
Di mana nilai setia?
Di manakah puncak cinta?

Mahukah engkau mengerti
Harapan serupa mimpi
Ianya dapat terjadi
Atau hilang tak berganti

Sejarah mengajar kita
Menjadi lebih dewasa
Meniti arus angkara
Lupakan kisah yang lalu
Teguhkan tugu imanmu
Doaku buat kekasih

 

Ya, jujur aku pernah jemu membaca sejarah. Aku rasa penat kerana merasakan ia tidak memberi manfaat. Orang disekeliling seakan menyuruhku berhenti mencintai sejarah. Hati aku menjadi sayu. Terasa syahdu mendengar bait-bait lagu.

Aku lupa, lagu itulah menjadi inspirasi untuk aku menyayangi dan menghargai sejarah. Aku lupa, aku harus menjaga sejarah yang ada di Malaysia supaya tidak diputar belit oleh orang tak sepatutnya. Aku lupa, dengan mengetahui sejarah aku lebih matang dan memahami apa yang berlaku di masa lalu. Aku lupa, ilmu sejarah harus di simpan di dalam dada anak Malaysia.  

Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]

Kata- kata Pramoedya Ananta Toer membuatkan aku termenung sendiri.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah.”

Disediakan oleh,

Norhanan Binti Abdul Latip

Seri Kembangan, Selangor.

 


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave a Reply

Loading…

12 Keajaiban Al-Quran Yang Perlu Kita Tahu

Memahami Hak-Hak Tersangka & Saksi dalam Hukum Pidana