Pernahkah kita terfikir, realitinya pada hari ini, sebahagian golongan manusia yang ingkar akan perintah Allah SWT lebih senang dan mewah hidupnya berbanding mereka yang mentaati perintah Nya.

Dalam erti kata lain, mereka yang melakukan maksiat kadang kala lebih baik hidupnya, kaya-raya, ramai pengaruh dan sebagainya berbanding mereka yang saban hari taat dan junjung perintah Nya, namun hidup dibelenggu kesusahan, dicemuh dan dibenci. Logik akal akan bertanya, mengapa keadaan itu boleh berlaku ? Apakah Allah lebih mengasihi hamba Nya yang kufur berbanding yang beriman ?

Pertamanya, kita harus akui bahawa setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Azza Wa Jalla bukan semestinya tanda Allah kasih dan sayang terhadap hamba Nya. Hal ini kerana nikmat Allah itu, sebahagiannya adalah berbentuk istidraj. 

Perkataan Istidraj menurut Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah dari sudut bahasa membawa maksud naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Dari sudut syarak pula, istidraj bermaksud pemberian Allah terhadap hamba difahami sebagai hukuman yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah Azza Wa Jalla membiarkan seseorang ditenggelami dengan nikmat berbentuk tipu daya dunia.

Firman Allah SWT dalan surah al-Qalam aya 44 yang bermaksud :

“Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya”

Menurut al-Hasan dalam kitab al-Jami’ li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan bahawa betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya. Hal ini bermaksud, para manusia pada zahirnya dilihat memiliki nikmat yang banyak, dipuji dan dipuja, dilihat soleh dan baik perilakunya, namun semuanya itu tipu daya untuknya merasa bangga diri, sombong dan angkuh dengan segala macam yang dimilikinya.

Dalam kitab al-Tafsir al-Kabir, al-Razi menyatakan bahawa istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar. Berdasarkan kenyataan ini, dapat kita fahami bahawa sebahagian nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba Nya yang kufur lagi ingkar terhadap Nya adalah bertujuan bagi menambahkan lagi kemurkaan , dosa dan kesesatan pada diri hamba tersebut.

Selain itu juga, Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, menyatakan bahawa :

“Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipu daya. Benarlah firman Allah : “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya”.

Sesungguhnya setiap pemberian Allah yang dianggap oleh kita sebagai nikmat Nya, bukan semestinya menjadi bukti dan petanda Allah kasih dan sayang terhadap hamba Nya. Sebagai pengajaran bagi orang yang beriman, lihatlah kisah hamba Nya yang tenggelam dalam istidraj, yang Allah rakamkan menerusi kalamNya seperti kisah Firaun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan kerana tidak pernah sakit seumur hidup. Lihatlah juga bagaimana kisah Qarun, yang padanya Allah kurniakan limpahan harta kekayaan yang banyak, akhirnya tenggelam dengan keangkuhannya pada Allah. Semuanya diberikan nikmat. Malangnya, nikmat tersebut diikuti dengan kemurkaan Allah SWT.

Dalam hal ini, baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita akan perihal istidraj ini. Sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Uqbah bin Amir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT”.

Demikianlah peringatan Nabi SAW kepada kita semua akan bahayanya istidraj, nikmat dalam kemurkaan Allah. Maka tidak perlulah kita bersifat cemburu akan nikmat yang dimiliki oleh mereka yang kufur dan ingkar perintah Allah. Kerana pemberian tersebut tidak sedikitpun membawa manfaat bahkan sebaliknya mengundang kemurkaan dan kebencian Allah Azza Wa Jalla. Nikmat yang dinikmati tersebut bukan tanda kasih dan sayang Allah sebaliknya tanda Allah menjauhkan diri mereka dari mendapat rahmat Allah SWT.

Istidraj, bukan sahaja berlaku kepada mereka yang kufur, bahkan boleh terjadi juga kepada mereka yang bergelar ilmuwan dan golongan cerdik pandai. Hal ini boleh terjadi apabila kita mula membangga diri dengan keilmuan yang dimiliki, bangga akan pengikutnya yang ramai, sombong dan angkuh dengan kelebihan yang diberikan oleh Nya. Semakin tinggi ilmunya, semakin besar diri mendabik dada, merendahkan orang yang tidak setaraf dengannya. Ini juga dinamakan sebagai istidraj. Allah berikan kelebihan padanya namun malangnya kelebihan tersebut menenggelamkan dirinya ke lembah kebinasaan. Sebagai orang yang beriman, kita seharusnya lebih berwaspada dengan kelebihan yang dimiliki.

Allah SWT berfirman dalam surah al-An’am ayat 44 yang bermaksud :

“Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan”.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya ada golongan manusia yang kerjanya melakukan maksiat saban hari, ingkar dan kufur akan perintah Allah, tetapi diberikan pelbagai nikmat untuk menambahkan lagi kesesatan. Cukuplah dengan nikmat yang walau nilainya kecil namun membawa rahmat dan kasih sayang Nya kepada diri kita. Tidak solat, tetapi kaya-raya bukanlah jaminan untuk selamat dunia dan akhirat. Semoga Allah Azza Wa Jalla menjauhkan kita daripada istidraj ini.

Disediakan oleh: Fadhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.