in

Kemurungan Berpunca Daripada Kesedihan Semata-mata?

Jika disebut mengenai kemurungan, apakah yang terlintas di fikiran anda? Pasti imej seseorang yang sedang bersedih dengan wajah muram sambil memeluk tubuh sendiri atau mereka yang bersendirian di dalam bilik dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun. Sebenarnya, apa yang ada dalam fikiran mereka hanyalah bayangan takdir yang kejam dan perasaan tidak mahu meneruskan hidup kerana terlalu penat menghadapinya.

Ketika saya berkongsi mengenai kemurungan yang dialami dengan rakan sekerja kerana senang dan rapat dengannya, mereka memberi reaksi wajah yang risau dan kasihan. Mereka menasihati saya supaya banyakkan berzikir dan solat, jangan terlalu bersedih dengan apa yang berlaku. Saya tidak mengharapkan mereka memahami kemurungan yang saya hadapi kerana saya tahu pengetahuannya tidak mendalam mengenai isu ini.

Kebiasaan yang difahami orang awam adalah kemurungan berlaku kerana sesorang itu terlalu bersedih atau tidak dapat menerima takdir yang ditetapkan Tuhan. Tidak dinafikan ia turut menjadi penyumbang namun terdapat pelbagai lagi punca dan penyebab kemurungan. 

Sebelum itu penting untuk kita fahami bahawa terdapat banyak wajah kemurungan yang ada. Tidak semua penghidap kemurungan mempunyai wajah yang muram dan sugul sepanjang masa. Ada antara mereka yang masih mampu tersenyum riang dan bergaul dengan orang sekeliling seperti biasa walaupun sedang murung. Lupakah kita kepada wajah ceria Robin Williams yang sentiasa tersenyum dan menghiburkan orang ramai namun akhirnya tewas kepada kemurungan? Kebiasaannya mereka mampu meneruskan hidup seperti biasa namun dalam masa yang sama dapat merasakan rantai yang memasung kaki dan awan hitam yang sentiasa menyelubungi diri sepanjang masa.

Being Open About Depression at Work

Mitos utama yang dipercayai orang ramai adalah kemurungan disebabkan kesedihan semata-mata. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kemurungan seperti trauma, gangguan seksual, faktor persekitaran, kewangan, tekanan hidup yang berpanjangan atau disebabkan diagnosis penyakit berbahaya. Gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada kemurungan. Selain itu, keluarga dan rakan yang toksik juga menjadi punca seseorang itu kemurungan dan mungkin tanpa sedar kita sendiri menjadi punca ahli keluarga atau rakan kita kemurungan.

Kemurungan yang diketahui umum adalah merasa sedih semata-mata. Terdapat pelbagai perasaan lain yang dirasakan oleh mereka yang menderita penyakit kemurungan. Sebagai contoh, sudah tidak menikmati aktiviti atau makanan yang disukai selain rasa ‘numb’ atau tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap manusia atau aktiviti di sekeliling. Ada yang rasa ingin tidur sepanjang hari kerana tidak mahu berhadapan dengan masalah kehidupan. Perasaan bersalah yang menggunung kerana menyusahkan orang lain atau merasakan diri tidak berguna dan bernilai. Ada yang merasakan diri tidak mempunyai sebarang kelebihan kerana selalu membandingkan diri dengan orang lain. Rasa kecewa dan geram dengan diri mahupun orang sekeliling. Perasaan penat yang keterlaluan atau emosi yang tidak stabil. Perasaan marah turut wujud dan lebih malang lagi jika mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka rasa atau apa yang mereka mahukan dalam kehidupan.

Ada yang tidak sedar dan tahu bahawa kemurungan juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal seseorang. Boleh jadi selera makan anda bertambah atau berkurang. Ada dalam kalangan penderita kemurungan yang tidur terlalu banyak atau tidur terlalu sedikit. Mereka selalu kepenatan dan susah untuk fokus terhadap pekerjaan atau aktiviti seharian. Mereka mula hilang minat dan malas melakukan aktiviti yang diminati mahupun aktiviti fizikal. Ini adalah tanda bahawa bukan sahaja mental malahan tubuh seseorang itu juga sedang berada dalam tekanan yang perlukan rehat. 

Kemurungan yang lebih merisaukan adalah Major Depressive Disorder di mana si penghidap perlu mengambil ubat-ubatan dan menjalani terapi mahupun kaunseling. World Health Organization (WHO) mengiktiraf kemurungan sebagai penyakit yang dihidapi oleh 3.8% populasi dunia. Angka ini terus meningkat disebabkan oleh pandemik yang melanda dunia sekarang. Kemurungan boleh memberi kesan terhadap diri, kehidupan, pelajaran mahupun pekerjaan seseorang. Ia turut menjadi punca pada kes bunuh diri di seluruh dunia dan hampir 700 000 orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan kes bunuh diri. 

Angka dan dapatan ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan kesan buruk penyakit kemurungan jika dibiarkan dan tidak dirawat. Salah faham dan tanggapan mudah orang awam terhadap penyakit kemurungan menyebabkan mereka yang menderita sakit ini sukar mendapatkan bantuan yang diperlukan. Kita perlu memahami bahawa kemurungan adalah sejenis penyakit dan tidak mempunyai kaitan dengan tahap keimanan seseorang. Kemurungan adalah reaksi psikologi dan fizikal tubuh badan manusia terhadap sebarang trauma yang dihadapi. 

Jika anda merasakan diri anda menghadapi kemurungan, segera dapatkan bantuan yang diperlukan. Jika seseorang mengadu mengenai kemurungan yang mereka hadapi kepada anda, jangan sekali-kali menghukum bahawa mereka ini lemah iman atau memandang ringan pengaduan tersebut. Bantulah mereka dengan memastikan mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Kepada si penderita kemurungan di luar sana, apa yang anda hadapi adalah normal kerana tubuh anda memberi reaksi terhadap pelbagai ujian kehidupan dan sesungguhnya andalah pejuang terhebat kerana masih meneruskan hidup hingga ke hari ini. Teruskan berjuang kerana sesungguhnya dunia memerlukan anda!

Disediakan oleh,

Syafi Wai

Buya Hamka Ulama Di Hati Masyarakat 

HAKIKAT HIDUP YANG PALSU