Apabila bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 yang lalu, pasti ramai yang mengambil kesempatan untuk mengisi masa lapang di rumah dengan aktiviti pembacaan. Saya juga tidak terkecuali. Beberapa syarikat penerbitan buku juga membuat jualan buku atas talian bagi menggalakkan pembelian buku, dan seterusnya menambah senarai buku untuk dibaca sepanjang tempoh PKP yang, pada ketika itu, masih tidak tahu bila penghujungnya.

Masa lapang yang banyak diisi di rumah juga membuatkan saya terfikir perihal pembacaan. Ia bukanlah aktiviti yang asing bagi saya. Setiap hari saya membaca, jika bukan buku sekalipun, saya membaca artikel di Internet yang saya tetap klasifikasikan sebagai aktiviti pembacaan.

Namun, apabila sesuatu aktiviti itu dibuat selalu, ada beberapa waktu ia menjadi hambar. Pembacaan dilakukan seakan-akan sekadar aktiviti menggerakkan anak mata pada setiap patah perkataan. Minda dan hati entah ke mana. Tahu-tahu sahaja, satu bab sudah dihabiskan. Tambahan pula, senarai buku untuk dibaca seperti sudah menggunung, dan rasa pencapaian pula hanya apabila menyenaraikan buku tersebut sebagai Read dalam akaun Goodreads. Apabila itu berlaku, saya tahu saya perlu lakukan sesuatu untuk mewujudkan kembali rasa ghairah dan cinta pada aktiviti pembacaan.

Titip Pesanan Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang

 Datuk Seri Dr Zaini Ujang 

Sepanjang PKP lalu, kita bertuah kerana terdapat banyak peluang mendapatkan manfaat daripada webinar yang disampaikan oleh tokoh-tokoh dan individu-individu dalam pelbagai bidang. Antara tokoh yang giat melakukan webinar pada waktu tersebut adalah Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air dan juga seorang penulis buku.

Ada beberapa pesanan Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang yang saya dapati amat menarik untuk dikongsikan.

Membaca bukan merupakan satu hobi tetapi tuntutan dalam agama Islam

Ayat Al-Quran pertama diturunkan, “Bacalah”. Walaupun kita sedar akan hakikat kewajiban untuk umat Islam membaca seiring dengan tuntutannya dalam Al-Quran, peringatan Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang yang pembacaan bukan satu hobi itu seakan-akan memberi tamparan untuk melihat semula kepada hakikat aktiviti tersebut.

Pembacaan tidak wajar dianggap dan ‘dilayan’ seperti satu hobi kerana ia akan membuka ruang kepada kita menghukum ia sebagai harus, dan bukan wajib. Apabila pembacaan itu wajib, seperti wajibnya kita solat dan berpuasa, mahu tidak mahu kita akan menguruskan kehidupan kita supaya aktiviti pembacaan dapat berlaku dengan baik. Kita akan mencari buku-buku dalam genre yang diminati, meluangkan masa dalam kalendar untuk membaca, menyediakan ruang khas yang selesa di rumah, melengkapkan pembacaan dengan perkara sampingan seperti makanan ringan berserta teh dan kopi, alat tulis untuk menulis nota dan menggariskan isi penting, dan wangian atau bunyi putih jika bersesuaian. Seperti mana kita menyediakan telekung dan sejadah serta berwudu dahulu sebelum solat, dan menyediakan juadah bersahur sebelum berpuasa, aktiviti pembacaan juga menuntut beberapa persediaan untuk dilakukan dahulu.

Tujuan persediaan tersebut dibuat adalah supaya menyediakan minda kita bahawa kita mahu membaca dan menerima ilmu baru, dan agar aktiviti tersebut dapat dilakukan dengan selesa dan menyeronokkan. Hal tersebut membuatkan kita tertunggu-tunggu masa untuk membaca kerana kita menjadikannya sebagai satu aktiviti yang sacred. Dan dengan izin Allah, jika kita sentiasa ingat bahawa aktiviti tersebut adalah ibadah, ia akan mendapat pahala daripadaNya.

Menulis nota kejadian yang berkaitan dengan buku yang dibaca

Menulis nota tentang apa-apa kejadian yang berlaku yang berkaitan dengan buku yang kita baca itu. Contohnya, jika buku itu dibeli ketika majlis bertemu dengan penulis, kita boleh mencatatkan lokasi, waktu, dan cerita tentang kenangan bergambar dan berbual dengan penulis dalam mana-mana ruang kosong di dalam buku tersebut. Jika buku itu dihadiahkan atau diberi secara percuma, kita boleh menulis nama yang menghadiahkannya dan sempena apakah buku itu dihadiahkan.

Bagi saya, ia adalah satu pesanan yang amat menarik. Sebelum ini, saya hanya menulis tarikh pembelian sahaja. Saya juga sudah mula mengeluarkan kembali buku-buku teks semasa zaman ijazah sarjana muda dahulu untuk ditulis nama subjek, nama pensyarah, semester, dan lokasi kelas untuk subjek tersebut. Jika mahu, boleh juga ditulis gred yang kita perolehi untuk subjek tersebut. Ada juga resensi buku atas talian untuk buku “Seni Berfikir Yang Hilang” yang ditulis dan dibincangkan oleh Tuan Hasrizal Abdul Jamil, yang mana maklumat resensi seperti tajuk, masa, dan Facebook page juga saya catatkan dalam buku tersebut sebagai peringatan.

Apabila kita membuat catatan peribadi pada buku tersebut, buku itu tidak lagi sama seperti buku yang kita ambil di rak di kedai buku. Buku itu adalah milik kita, hasil idea penulis dan pasukannya, dan tercatat juga sejarah kehidupan kita. Apabila kita membelek semula buku tersebut 10 tahun lagi, kenangan yang kita mungkin sudah lupa bertandang kembali dalam benak fikiran. Ia juga mengingatkan kembali siapa kita ketika membaca buku itu. Seorang remaja yang masih keliru dengan identiti diri? Seorang pelajar psikologi di sebuah universiti di Iowa? Seorang individu yang dirindui rakannya?

Membelek buku-buku lama membuatkan kita bukan sahaja membaca kembali fakta di dalamnya, tetapi memberi peluang kita menelusuri perjalanan hidup kita. Ia juga menjadi pendorong untuk kembali membuka buku-buku yang sudah bertahun-tahun dihabiskan pembacaannya. Kita melihat dan menilai kembali adakah masih relevan apa yang dibaca dengan keadaan sekarang? Adakah kita lebih faham sekarang akan sesuatu pandangan penulis yang pada awal pembacaan dahulu, kita tidak langsung faham?

Penulisan haruslah bergerak seiringan dengan pembacaan.

Penulisan haruslah bergerak seiringan dengan pembacaan. Ini adalah satu perkara yang harus ditanam dalam minda pembaca, atau bukuwan, iaitu istilah yang digunakan oleh Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang. Dengan mengambil kira dua aktiviti ini serentak, ia mengubah cara fikir kita ketika membaca. Kita tidak lagi membaca secara pasif.

Apabila kita membaca dengan tujuan mahu menulis, pembacaan berlaku secara lebih aktif. Kita membaca pandangan seseorang penulis, dan pada masa yang sama kita juga membentuk pandangan kita sendiri yang menyokong, mengkritik, atau menambah sisi pandang akan sesuatu perkara berdasarkan bidang kita sendiri. Mungkin juga penulisan artikel ini adalah satu percubaan saya untuk menulis.

Kesimpulannya, sebagai pencinta buku dan aktiviti pembacaan, elok juga kita sekali-sekala membuat refleksi tentang aktiviti tersebut. Aktiviti wajib ini tidak wajar dilakukan ikut suka hati dan sambil lewa. Bagi mengembalikan rasa ghairah dan cinta pada pembacaan, baguslah juga diingatkan sentiasa tentang hakikat kewajiban membaca dan mengamalkan beberapa tips sampingan bagi menambah keseronokan dan keasyikan membaca.

 

Penulis,
Syamim Binti Hashim
Pelajar PhD dalam bidang Psikologi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.