Setiap tahun, 16 September mengingatkan kita pada hari penubuhan Malaysia iaitu gabungan di antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kita juga pasti teringat akan sebuah negara yang dahulunya pernah bersama-sama kita dalam Persekutuan Malaysia, yakni Singapura. Tetapi penulisan ini bukanlah tentang penubuhan Malaysia secara umumnya. Sekadar ingin menjentik para pembaca tentang sebuah topik yang mungkin ramai tidak tahu.

Apabila disebut negeri Sarawak, pasti akan teringat akan kelazatan kek lapis, kan? Atau jika masih ingat ketika di bangku sekolah, kita mengenali gambar sosok Rosli Dhobi yang terpapar dalam buku teks Sejarah.

Rosli Dhobi adalah sejarah besar, sebuah lambang perjuangan rakyat Sarawak menentang jahatnya penjajah yang meragut kedaulatan tanah air kita. Kali ini, mari kita tinjau beberapa tahun ke belakang sebelum Rosli Dhobi menikam Sir Duncan Steward.

Gerakan Anti Penyerahan Sarawak

Pada tahun 1917, Rajah Sarawak terakhir iaitu Charles Vyner Brooke telah naik takhta dan memerintah kerajaan Sarawak sehinggalah Jepun datang menyerang. Kemudian, selepas Jepun menyerah kalah, Charles Vyner Brooke kembali semula ke Sarawak dan ingin menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British.

Akan tetapi, keputusannya ini dibuat tanpa persetujuan Rajah Muda iaitu Anthony Brooke yang sepatutnya menggantikan tempatnya. Dari sudut rakyat pula, keputusan ini mendapat bantahan ramai. Maka, tertubuhlah Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak. Malah, penyerahan Sarawak juga bertentangan dengan Perlembagaan Sarawak 1941 yang menjanjikan pentadbiran Sarawak oleh rakyat tempatan.

British ternyata tidak senang duduk dengan bantahan ini. Maka, keluarlah Surat Pekeliling No. 9 yang mengharamkan para pegawai kerajaan menyertai gerakan Anti-Penyerahan Sarawak ini. Tetapi, Surat Pekeliling No.9 ini tidak berjaya menakutkan rakyat Sarawak, khususnya pegawai kerajaan yang terdiri daripada guru-guru Melayu pada ketika itu.

Anda tahu apa mereka buat? Mereka tidak mengendahkan ancaman itu lalu meletakkan jawatan beramai-ramai! Kerana terlalu ramai guru-guru yang meletakkan jawatan mereka, maka banyak sekolah kerajaan di seluruh Sarawak telah ditutup kerana tiada tenaga pengajar.

Walaupun sekolah-sekolah kerajaan telah ditutup, tetapi anak-anak masih dapat menyambung pelajaran mereka di sekolah rakyat yang ditubuhkan secara sukarela oleh para guru yang meletakkan jawatan. Betapa besarnya semangat juang mereka, mereka tidak mengambil satu sen pun daripada anak-anak murid mereka. Mereka mengajar secara percuma! Inilah kehebatan pejuang pada waktu itu! Mereka tidak akan biarkan anak-anak Sarawak tercicir dalam pelajaran sama sekali!

Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak benar-benar menggugat pihak koloni British. Masakan tidak, berbondong-bondong rakyat Sarawak bangkit menentang penyerahan Sarawak kepada British! Lihatlah gambar-gambar ini…

Dan lebih menariknya, cuba perhatikan betapa ramainya kaum wanita turut serta dalam bantahan ini!

Kaum Ibu Sarawak

Pastinya anda tertanya-tanya, dari manakah datangnya semangat perlawanan para wanita ini? Bukankah pada zaman dahulu, tidak ramai wanita yang berpendidikan apatah lagi untuk keluar dari kepompong sebagai ‘orang rumah’ saja?

Sejarah Sarawak telah membuktikan sebaliknya!

Mari kita telusuri sejarah Kaum Ibu Sarawak pula. Pada 16 Mac 1947, Kaum Ibu Sarawak telah ditubuhkan dengan penyertaan 1000 orang wanita Sarawak dan telah dipengerusikan oleh Cikgu Lily Eberwein. Kebanyakan ahli Kaum Ibu Sarawak terdiri daripada para guru wanita dari Kuching dan Sibu yang telah meletakkan jawatan setelah keluarnya Surat Pekeliling No.9. Berikut merupakan gambar Kaum Ibu Sarawak dan pengerusinya, Cikgu Lily.

A picture containing text, old, black, white

Description automatically generated
A picture containing text, newspaper

Description automatically generated

Peranan Kaum Ibu Sarawak

Menariknya dalam perjuangan nasionalis di Sarawak ini, ia tidak sama dengan perjuangan nasionalis tempatan di negeri-negeri lain. Di Sarawak, mereka menuntut supaya Sarawak tidak diserahkan kepada kerajaan British, tetapi mereka mahu dinasti Brooke diteruskan. Mereka mahu tahkta Rajah Sarawak diturunkan kepada Anthony Brooke. Tetapi Rajah Sarawak pada waktu itu, Charles Vyner Brooke enggan lakukan.

Dalam memoir Anthony Brooke, beliau mengenang jasa Kaum Ibu Sarawak dalam Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak. Tulisnya;

“A new impetus was given to the movement due to the initiative of Chegu (head teacher) Lily Eberwein, who formed a women’s branch of the movement.”

Dalam hal ini, Cikgu Lily Eberwein mewakili Kaum Ibu Sarawak telah menjemput isteri Anthony Brooke, Kathleen Brooke untuk menyertai Gerakan Anti Penyerahan Sarawak ini. Beliau bersama dua orang lagi wakil daripada Kaum Ibu Sarawak membawa masuk Kathleen Brooke sebagai wakil Anthony Brooke yang telah diharamkan masuk ke Sarawak pada waktu itu.

Cikgu Lily, Kathleen Brooke dan beberapa  pemimpin lelaki dan perempuan dengan gigih berjalan kaki dan menaiki bot keluar masuk kawasan pedalaman dan kampung-kampung untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap ancaman Penyerahan Sarawak kepada British. Kempen ini telah berjaya mendapatkan sokongan 52 orang penghulu Iban.

Menurut Hafsah Harun iaitu anak cikgu Lily, beliau mengenang perjuangan ibunya dalam gerakan Anti-Penyerahan Sarawak dengan berkata;

“Sampai satu tahap, Cikgu Lily terpaksa mengorbankan masanya dengan anak-anak yang masih kecil.”

Wanita Melayu di Sarawak pada waktu itu telah diasuh dengan kemahiran menenun dan mengait kain sarong. Mereka sepatutnya tinggal di rumah sahaja menjaga anak. Walau bagaimanapun, penglibatan mereka dalam Gerakan Anti Penyerahan Sarawak adalah satu pengecualian untuk Cikgu Lily dan wanita Melayu pada waktu itu.

Mereka menyertai gerakan dan berdemonstrasi bersama-sama kaum lelaki. Malah, mereka juga mempunyai gerakan sendiri, iaitu Kaum Ibu.

Walaupun gerakan Anti Penyerahan Sarawak ini tidak berjaya menghalang penyerahan Sarawak kepada kerajaan British, tetapi sejarah telah mencatatkan bahawa wanita juga menyumbang kepada perjuangan nasionalisme. Sayangnya, generasi hari ini tidak didedahkan dengan jasa dan bakti pejuang-pejuang wanita seperti Kaum Ibu Sarawak.

Disediakan oleh,

Maisarah Mohd Pauzi

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.