Sebenarnya dari kejauhan sanubari kebanyakkan manusia pada hari ini sudah kecewa, letih dan penat melihat perkembangan politik semasa. Tidak kira di mana pun tempat di seluruh dunia ini, manusia sentiasa berperang memperjuangkan agenda politik masing-masing. Umpama suci dalam debu, sukar untuk dinilai siapa yang benar dan siapa yang salah. Lebih dahsyat lagi, sebahagian mereka menunggang agama bagi membenarkan apa sahaja kepercayaan dasar politik mereka.

Kita seringkali mendengar keluhan dikalangan masyarakat yang kecewa dengan politik hari ini.

“berhentilah berpolitik”

“politik memecah belahkan umat”

 “sudah-sudahlah main politik” 

Sekiranya benar berpolitik ini membawa kepada kebinasaan umat manusia, memecah belahkan rakyat dan merugikan ramai pihak, maka mengapa Islam mengajar kita untuk berpolitik? Tidak kah berpolitik itu sia-sia, lalai dan membawa perpecahan semata-mata? Keserabutan ini timbul dek kerana kita sebenarnya gagal untuk memahami makna dan kerangka sebenar politik.

Perkataan politik adalah berasal daripada kata akar polis yang asalnya di ambil dari bahasa Greek. Polis menurut bahasa Greek bermaksud negara, kota dan kemajuan. Secara literalnya, politik membawa maksud suatu ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan, dasar-dasar kerajaan, ilmu berkaitan hidup bernegara dan seumpamanya. 

Dalam kesempurnaan agama Islam, perbincangan berkenaan politik juga dibincangkan dan dibahaskan menurut syarak dibawah bidang fiqh. Perbahasan berkenaannya disebutkan dengan pelbagai nama seperti al-Siyasah al-Syar’iyyahFiqh al-Siyasahal-Ahkam al-Sultaniyyah dan lain-lain.

Istilah politik ini telah dipopularkan oleh Plato dan anak muridnya Aristotle. Plato menerusi karya agungnya, Republic atau tajuk asalnya Politea telah membahaskan berkenaan politik itu sendiri. Dalam karya tersebut, beliau juga membincangkan tentang sifat ahli politik. Kemudiannya perkataan politikos ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebagai politikus.

The Republic-Plato

Dalam Islam, politik juga disebutkan dengan beberapa istilah lain selari menurut syariat Islam seperti al-Khilafahal-Imamahal-Qiyadahal-Riyasah dan al-Siyadah.

Islam sangat menuntut umatnya untuk berpolitik bagi tujuan mengurus hal ehwal dan memimpin umat, mempertahankan agama dengan menjalankan hukum syariat, sekaligus membawa rahmat kepada sekalian umat manusia. Kewajiban melantik pemimpin untuk menguruskan hal ehwal umat adalah penting dan menjadi keutamaan bagi umat Islam. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin”.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitab al-Hisbah : “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai”.

Tokoh sejarawan Islam, Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah menyatakan bahawa melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat ketika wafatnya baginda Nabi, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan urusan mereka kepadanya. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.

Selain itu, bagi menunjukkan betapa pentingnya kita melantik pemimpin bagi menjalankan fungsi politik, iaitu menguruskan hal ehwal umat manusia, Imam Mawardi, antara tokoh yang seringkali dijadikan rujukan oleh gerakan politik Islam berkenaan penulisannya dalam soal politik, beliau pernah menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, bahawa imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.

Secara asasnya, tuntutan berpolitik itu sangat penting dan mustahak melantik pemimpin bagi memastikan hal ehwal umat manusia terjaga dan terpelihara. Dengan berpolitik, pemimpin yang dilantik dan dipilih bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan hal ehwal umat manusia seperti aturan jalan raya, percukaian dan sebagainya bahkan beliau sendiri bertanggungjawab memelihara agama Islam. Sekiranya pemimpin yang dilantik tidak berpegang dengan asas agama, maka runtuhlah sesebuah umat tersebut.

Seperti kata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Iqtisad fi al-I’tiqad, beliau menyatakan bahawa :

“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang”.

Namun begitu, amat malang sekali, apabila politik yang pada dasarnya menjadi wadah untuk mengurus umat bertukar menjadi alat untuk kepentingan peribadi. Dunia politik hari ini yang majoritinya bersistemkan demokrasi, diragut dan dicabul oleh tangan-tangan ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Demokrasi yang pada asasnya tidak bercanggah dengan syarak, kini dirobek prinsipnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menunggang politik demi keuntungan tertentu. Maka hasilnya, episod perebutan kuasa, tikam-menikam dari belakang, korupsi, politik murahan dan jijik terus menjadi tatapan kita yang semakin jauh dengan makna sebenar berpolitik.

Inilah bahana apabila sebahagian dari kita telah memperalatkan politik demi mengaut keuntungan untuk kepentingan tertentu. Lebih menjengkelkan lagi, bukan setakat politik yang diperalatkan, malah agama juga ditunggangi dan hasilnya terbitlah fatwa-fatwa politik demi menghalalkan apa yang pada mereka benar dan mengharamkan apa yang pada mereka salah. Tidak lagi berpegang kepada wahyu Allah SWT. Kemelut politik yang dilihat hari ini bukanlah cerminan sebenar berpolitik dalam Islam. Sebahagiannya telah disalah fahami dan sebahagiannya lagi telah ditunggangi oleh mereka yang cerdik pandai pak pandir.

Oleh yang demikian, umat manusia perlu lah sedar akan kebobrokan acuan politik hari ini dan bangkitlah untuk memperbetulkannya kembali. Adalah perlu bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan politik ini wajar dipertahankan. Kancah politik hari ini benar-benar memerlukan transformasi politik, perlu kepada usahanya yang lebih segar dan matang, mesti dipupuk budaya sihat berpolitik, tidak lagi sekadar retorik dan janji. Bukan lagi sekadar laungan di bibit mulut semata-mata.

Buya Hamka pernah berpesan : 

“Tugas kita bukanlah untuk berhasil, tugas kita adalah untuk mencuba kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan kesempatan untuk berhasil”. 

Maknanya, sekiranya umat manusia yang kecewa dengan politik hari ini, memboikot dan menolak politik, tanpa berusaha untuk memperbaikinya, maka sedarlah bahawa tanpa kita berusaha memperbaikinya, kita tidak akan menemui politik yang sihat lagi. Teruskan berusaha memperbetulkan semula politik ini dengan kemampuan yang ada. Semoga Allah merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.