in

LoveLove

Jika Bercinta itu Dosa, Mengapa Allah Hadirkan Perasaan Cinta Itu?

Apabila anak-anak muda berbicara soal cinta, pasti cinta yang didambakan oleh mereka seperti apa yang mereka telah saksikan di dalam kisah-kisah cinta yang romantik, walhal ia cuma sekadar kisah rekaan semata-mata, untuk meraih rating tertinggi di kaca televisyen. Kemudian, dipersembahkan apa yang sudah dilakonkan kepada setiap lapisan masyarakat. Ada filem yang dihasilkan daripada novel-novel tulisan sasterawan, dan ada juga filem yang dihasilkan mengikut pengalaman dan imaginasi si pengarah filem.

Akan tetapi, saya yakin bahawa tidak semua pihak mampu bersetuju dalam hal ini. Biarlah kita berbeza pandangan dalam hal ini, kerana ia tidak melibatkan hal ehwal agama yang berat seperti akidah dan ibadah, ia cuma soal perbahasan apa yang terdapat di dalam hati. 

Mengapa saya yakin akan ada pihak yang akan berbeza pandangan dalam hal ini? Hal ini demikian kerana terdapat segelintir agamawan yang agak syadid dalam hal ini. Seolah-olah apabila anak-anak muda bertanyakan soal cinta yang wujud di dalam hati mereka, maka ‘haram’ jawabnya tanpa syak lagi. Tidak hairanlah jika jiwa yang baru mengenal hakikat fitrah itu, meronta-ronta ingin bebas dan keluar dari suasana agama atau tidak keterlaluan jika dikatakan mereka tidak mahu mendekati agamawan atau golongan yang kelihatan ‘alim dan soleh’ kerana mereka akan menyangka bahawa pasti mereka akan dijauhi oleh golongan tersebut, kononnya mereka telah melanggar perintah Tuhan iaitu dengan mendekati zina. Waiyyazubillah!

Jangan lah kita terlampau lajak apabila menghukum. Saya tidak menyentuh soal berdua-duaan, berpegangan tangan, berpelukan dan lain-lain. Hal ini sepakat haram, dan sememangnya salah satu daripada pintu ke arah zina yang keji. Namun, saya hanya mengajak berfikir tentang hakikat cinta yang terdapat di dalam hati setiap insan. 

Adakah salah apabila timbul perasaan cinta di dalam diri anak muda? Bukankah setiap insan itu diciptakan dengan perasaan yang beraneka rasa? Antaranya adalah perasaan cinta, kasih dan sayang kepada lawan jenis. 

Pada hari ini, kita berhadapan dengan isu-isu semasa yang sangat mencabar, lebih-lebih lagi apabila muncul sepsis yang mengaku sebagai ‘jantina ketiga’ dan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan pro-LGBTQ (Lesbian Gay Bisexual Transgender and Queer). Walaupun saya bukan lah pelajar lepasan sekolah berasrama penuh, namun saya sering mendengar kisah-kisah benar daripada rakan-rakan yang pernah menjadi pelajar asrama di sebuah sekolah dan institusi yang mana lelaki dan perempuan dipisahkan. 

Tidak dinafikan bahawa agama menyuruh kita menundukkan pandangan. Namun, agama tidak pernah menafikan rasa tertarik insan terhadap lawan jenisnya. Bagaimana mungkin mereka ingin mengenali perempuan, jika setiap hari mereka hanya melihat susuk tubuh lelaki yang sejenis dengannya sahaja? Apabila ketahuan mempunyai rasa cinta dan minat terhadap perempuan sahaja akan dihukum dan ditakut-takutkan dengan balasan akibat menyimpan perasaan cinta dan minat terhadap perempuan itu. Bukankah al-Quran menyatakan hakikat fitrah manusia itu berpasangan, lelaki dan perempuan? Firman Allah SWT,

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan isteri-isteri untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu perasaan kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

[Surah al-Rum: 21]

Dalil di atas bukan lah menjadi rujukan saya bahawa keharusan ‘bercinta’ sebelum nikah, namun ia hanya sekadar menyatakan bahawa perasaan kasih dan sayang itu telah diciptakan oleh Allah SWT dalam diri lelaki terhadap perempuan (dan perempuan terhadap lelaki), sehingga apabila mereka mempunyai rasa kasih dan sayang tersebut, mereka akan merasa nyaman dan tenteram. 

Imam Ibnu Katsir (w.774H) rahimahullahu taala menyebut di dalam tafsirnya berkenaan dengan ayat di atas bahawa:

وَلَوْ أَنَّهُ جَعَلَ بَنِي آدَمَ كُلَّهُمْ ذُكُورًا وَجَعَلَ إِنَاثَهُمْ مَنْ جِنْسٍ آخَرَ [مِنْ غَيْرِهِمْ] (3) إِمَّا مِنْ جَانٍّ أَوْ حَيَوَانٍ، لَمَا حَصَلَ هَذَا الِائْتِلَافُ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْأَزْوَاجِ

Maksudnya: “Seandainya Allah menjadikan semua Bani Adam terdiri dari jenis lelaki (sahaja), dan menjadikan pasangan mereka dari jenis lain yang bukan dari jenis manusia, misalnya jin atau haiwan, maka pastilah tidak akan terjadi kerukunan dan kecenderungan di antara mereka dan tidak akan terjadi pula perkahwinan.”

[Rujuk kitab Tafsir Ibnu Katsir, 309/6]

Sekiranya kita berfikir semula kenyataan Imam Ibnu Katsir (rahimahullah taala) ini, ada benarnya juga. Bayangkan, jika lelaki dipadankan hanya dengan jin atau haiwan yang betina sekalipun, tetap ia tidak akan menimbulkan sebarang kecenderungan di antara mereka, apatah lagi berlaku perkahwinan di antara mereka. Ini kan pula jika sesama jenis, yang mana setiap apa yang terdapat pada diri mereka, terdapat juga pada diri pasangan mereka. 

Apabila berbicara soal perasaan cinta dan kasih di dalam jiwa insani, teringat dengan kisah yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari tentang cinta seorang lelaki kepada bekas isterinya. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.anhuma,

أَنَّ زَوْجَ بريرة عبد أسود يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ، كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: (يَا عَبَّاسُ، ‌أَلَا ‌تَعْجَبُ ‌مِنْ ‌حُبِّ ‌مُغِيثٍ ‌بَرِيرَةَ، وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا). فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ رَاجَعْتِهِ). قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ). قالت: لا حاجة لي فيه

Maksudnya: “Bahawa suami kepada Barirah r.anha (sahabat perempuan – sahabiah) adalah seorang hamba budak yang bernama Mughits r.anhu. Seakan-akan aku melihatnya bertawaf di belakangnya dia menangis sehingga air matanya membasahi janggutnya. Maka Nabi SAW pun bersabda (kepada Abbas – bapa saudara baginda – r.anhu): ‘Wahai Abbas, tidakkah engkau berasa takjub dengan cinta Mughits terhadap Barirah r.anha , dan kebencian Barirah terhadap Mughits?’. Kemudian baginda melanjutkan (pergi kepada Barirah): ‘Adakah engkau mahu kembali (rujuk) kepadanya (Mughits)?’. Barirah pun bertanya: ‘Adakah engkau memerintahkan aku wahai Rasulullah (SAW)?’. Rasulullah SAW pun bersabda: ‘(Tidak) aku hanya ingin membantu (Mughits)’. Barirah r.anha pun menjawab: ‘Aku tidak mahu (kembali) padanya (lagi)’.”

[HR Bukhari, no. 4979]

Meskipun hadis ini mengenai kisah cinta seorang lelaki dengan bekas isterinya, bukan cinta seorang lelaki yang belum bernikah, namun ia tetap juga memberi isyarat bahawa perasaan cinta yang terdapat di dalam diri insan yang normal. Islam tidak melarang hal ini. Buktinya, tidak ada larangan daripada Rasulullah SAW tentang cinta Mughits kepada Barirah tersebut. Jika benar memiliki rasa cinta dan kasih kepada perempuan itu salah, pasti Rasulullah SAW terlebih dahulu melarang Mughits daripada menangis dan Mughits akan dihalang untuk teringat akan Barirah. Bahkan apa yang tercatat di dalam Sahih Bukhari, bukan lagi syafaat (pertolongan) Rasulullah SAW buat Mughits, namun tegahan atau sikap berdiam diri Rasulullah SAW terhadap situasi yang berlaku terhadap Mughits. 

Tokoh yang penulis gemari juga banyak menghasilkan novel-novel cinta, iaitu Buya HAMKA. Kemuncak kepada sangkaan masyarakat kepada Buya HAMKA sehingga diberi gelaran ‘Ulama Roman’, yang membawa maksud ulama yang suka kepada kisah-kisah cinta yang romantik. Buya HAMKA telah menghasilkan beberapa novel mengenai kisah cinta seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah, Cinta Terkalung, Margaretta Gauthier dan lain-lain. 

Jika kisah yang menggambarkan situasi dan perasaan yang fitrah bagi manusia ini salah, mengapa Buya HAMKA menulisnya? Saya tidak lah menjadikan setiap penulisan Buya HAMKA sebagai paksi di dalam beragama, namun tidaklah seorang ulama semisal Buya HAMKA ini begitu jahil soal hati, perasaan dan had di dalam beragama. Hal ini demikian kerana perasaan cinta itu tidak salah, kerana jiwa ini diciptakan oleh Allah SWT, yang menghadirkan perasaan cinta, kasih, sayang dna tertarik kepada lawan jenis itu juga Allah SWT. 

Cinta tidak salah, memendam rasa cinta terhadap insan tidak salah, namun yang salah dan menjadi masalahnya adalah kepada siapa kita tujukan cinta tersebut, jika kepada sesama jenis, tentunya salah. Jika cinta itu ditujukan kepada lawan jenis, maka hal demikian cinta yang benar. 

Walaupun di akhir penulisan ini, kita dapati sebenarnya perasaan cinta itu tidak salah, namun agama Islam telah meletakkan garis panduan yang ketat agar kita tidak terjerumus ke lembah perzinaan setelah timbul perasaan cinta. Antaranya ialah dengan menjaga pandangan, menjaga batas pergaulan, tidak berdua-duaan di tempat yang sunyi, tidak melakukan sebarang sentuhan fizikal, tidak mengucapkan perkataan-perkataan yang mendatangkan syahwat dan lain-lain. Namun begitu, tidak ada yang lebih baik solusinya daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW selain daripada menikah. Sabda Rasulullah SAW:

لَمْ ‌نَرَ ‌لِلْمُتَحَابَّيْنِ ‌مِثْلَ ‌النِّكَاحِ

Maksudnya: “Kami tidak melihat sebarang solusi terhadap dua orang yang saling mencintai (antara satu sama lain) selain nikah.”

[HR Ibn Majah, no. 1847]

Bercinta lah apabila kita  serius dengan pasangan yang kita kasih dan sayang dengan ikatan perkahwinan. Jika kita belum mampu untuk menikah, ikatlah diri kita dan pasangan kita dengan pertunangan, sekurang-kurangnya kita masih mengambil masa untuk saling mengenali hati pasangan yang bakal bersama kita hingga ke hari tua kelak. 

Sebelum penulis menamatkan penulisan pada kali ini, penulis ingin berkongsi puisi yang bertajuk ‘Tentang Cinta’.

Ramai yang suka berbicara tentang cinta,

Namun, tidak faham hakikat cinta yang dibicarakan.

Ramai yang tersalah anggap tentang cinta,

Sehingga ramai yang diperdaya oleh cinta.

Ramai yang suka berbisik tentang cinta,

Sehingga telinga sudah jemu mendengar perkataan cinta.

Jangan dilayan cinta yang palsu,

Kelak diseksanya badan sehingga lesu.

Jangan mudah bermain dengan cinta,

Sengatan cinta tersangatlah berbisa.

Jangan tawarkan diri menjadi hamba kepada cinta,

Kelak diseksanya sehingga diri hampir binasa.

Muhammad Hamzani al-Kanowiti,

26 November 2021, Kuching Sarawak.

Disediakan oleh, 

Muhammad Hamzani al-Kanowiti. 

Tingginya Keyakinan Para Nabi dalam Berdoa

HAMKA Menulis untuk Perempuan yang Berasa Rendah Diri dan Merasakan Lelaki Sering Dilebih-lebihkan dalam Segala Hal