Naskhah Ustazah Zaman Dulu-dulu ini pada asalnya diberi judul Wanita-wanita Merdeka kerana penulisannya berkisarkan tentang perjuangan memartabatkan serta memberi kebebasan daripada  segala bentuk penindasan kepada wanita pada pra dan pasca kemerdekaan Tanah Melayu.

Kisah yang seharusnya diketahui generasi muda masa kini, khususnya bagi para wanita agar  memberi kesedaran kepada mereka tentang peristiwa dan sejarah lampau terkait bermulanya perjuangan para tokoh wanita demi membanteras segala bentuk penghambaan dan penindasan yang meruntuhkan moral dan menginjak maruah diri para wanita. 

Antara nama-nama tokoh pejuang wanita yang perlu dikenali dan sejarah mereka seharusnya menjadi inspirasi juga diambil ibrah dan pengajaran.

 “..saya katakan dengan terus terang yang anak-anak  perempuan kita tiada patut sekali-kali diserahkan ke dalam asuhan atau pimpinan bangsa-bangsa asing.” – Ibu Zain

“…wanita tetap wanita, lelaki tetap lelaki di sisi Allah. Kedua-duanya sama penting dan saling memerlukan. Ada pekerjaan yang lebih sesuai dilakukan oleh kaum lelaki dan ada pula yang lebih sesuai dilakukan oleh kaum wanita. Walau apa pun ukurannya, keringat yang mengalir untuk pekerja yang sama dan syarat-syarat yang sama patutlah diberi upah yang sama, tidak kira sama ada pekerjaan itu dilakukan oleh lelaki atau perempuan.” – Aishah Ghani.

“Kemerdekaan tanah air adalah pertama pembebasan kaum wanita!” – Shamsiah Fakeh

“Bangun melur bangun melati, 

Kembang bunga petang dan pagi,

Biar lebur biar mati,

Namun tak mahu dijajah lagi.” – Khatijah Sidek

“Kalau kamu orang lelaki tidak mahu ikut serta menentang Malayan Union, biar kami srikandi sahaja yang pergi. Kamu orang lebih baik pakai sarung di rumah” – Sakinah Junid

Keberanian tokoh-tokoh wanita yang bangkit dan ikut serta mempertahankan  negara dari penjajah yang menzalimi kaum wanita, kerana itu kebangkitan mereka adalah disebabkan maruah mereka tidak diperjuangkan oleh kaum lelaki. Bahkan kebangkitan mereka menjadi ejekan dan bantahan kerana menyelisihi norma masyarakat pada ketika itu. 

Sejenak saya terfikir, bagaimana agaknya sekiranya kita berada pada zaman itu? Melihat kehormatan wanita diinjak-injak dan hanya dijadikan sebagai tempat melampias nafsu serakah kaum penjajah. Adakah kita mempunyai keberanian dan jati diri yang kental untuki membela kehormatan sesama wanita?

Memastikan kemaslahatan dan keselamatan kaum wanita sebagai insan yang perlu dihormati dan dilihat selayaknya sebagai seorang manusia. wanita seharusnya dihargai kerana wanitalah yang melahirkan zuriat, mendidik dan mengasuh generasi dari rumah-rumah mereka.

Naskhah ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pembaca betapa nikmat yang dikecapi wanita pada hari ini, terselit disebaliknya pengorbanan besar para tokoh wanita terdahulu.

Setiap tokoh mempunyai semangat dan persamaan dalam perjalanan perjuangan mereka. Iaitu wanita, ilmu dan maruah diri. Kerana tokoh-tokoh yang disebutkan di atas ini mempunyai taraf pendidikan walaupun ketika itu sulit bagi seorang wanita untuk bersekolah dan mendapatkan pendidikan yang tinggi. Namun asbab ilmu  yang menjadi jambatan bagi mereka untuk meningkatkan mutu dan kebolehan diri sekaligus membebaskan kaum wanita dari penindasan fizikal dan pemikiran serta menaikkan martabat wanita pada pandangan masyarakat umum.

Turut diselitkan pada bab ketiga, penulis berkongsi dengan pembaca tentang novel yang mengangkat tema wanita, bagaimana watak-watak dalam sesebuah karya memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat, tentu ramai yang tidak menyedari tentang inti sesebuah novel lebih-lebih lagi bagi pembaca yang kurang meminati novel seperti saya, namun penulis memberi saya satu kesedaran bahawa setiap penceritaan kisah mempunyai mesej yang mendalam yang seharusnya pembaca gali dan fahami dengan sebaiknya. 

Salah satu cara memberi kesedaran kepada orang awam sama ada pada zaman terdahulu ataupun pada zaman sekarang ini adalah dari buku yang gemar mereka baca. Melalui pembacaan secara tidak langsung orang awam mendapat mesej, kritikan atau bantahan mengenai suatu isu, perbuatan  ataupun peristiwa yang terjadi sama ada dalam dunia politik ataupun dalam kehidupan sejagat.

Sememangnya wanitalah yang lebih memahami tentang diri mereka, justeru dengan persamaan itulah kaum wanita saling memerlukan dan memahami peranan  mereka terhadap keluarga dan masyarakat sebagai madrasah pertama yang mendidik generasi masa depan.

Suka saya sarankan kepada setiap pembaca untuk memiliki naskhah ini sebagai “suatu kenang-kenangan” kepada para tokoh wanita yang telah memberi sinar kehidupan baharu kepada wanita zaman ini  menikmati udara segar kemajuan dan kebebasan mencapai impian dalam kehidupan.

Setiap peristiwa emas yang terjadi membuktikan bahawa  jasa wanita dalam peradaban bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Sejarah telahpun membuktikan peran dan jasa para wirawati tersohor negara mengerahkan usaha, masa, jiwa dan raga mereka demi memartabatkan wanita di tempat yang selayaknya.

Disediakan oleh: Aishah Nerina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.