in

Jangan Terjerat dengan Fitnah

Dilaporkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim Nabi Muhammad ﷺ bersabda yang bermaksud: “ Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”

Begitu berat ingatan Nabi kepada mereka yang suka menyebarkan fitnah, tidak dapat masuk syurga. Jika tidak dapat masuk syurga sudah pasti penyebar fitnah tersebut akan ke neraka.

Mengapa hukumannya pemfitnah ini begitu berat? Sehingga tidak boleh masuk syurga. Jika kita fahami dengan begitu mendalam, biasanya fitnah ini berlaku melibatkan manusia dengan manusia lain. Tidak berlaku fitnah di kalangan haiwan dan tumbuhan.  Jika dosa ini berlaku antara manusia, hanya manusia yang difitnah itu sahaja yang boleh mengampunkan dosa si pemfitnah. Allah tidak akan mengampunkan dosa sesama manusia. 

Namun apakah maksud fitnah yang sebenarnya.? Adakah sebagaimana yang difahami oleh orang Melayu iaitu fitnah ialah menuduh seseorang secara dusta dan tidak mempunyai bukti, atau pengertiannya lebih dari itu.?

Erti Fitnah

Mengikut bahasa Arab fitnah bermaksud ujian dan cubaan, namun pengertian fitnah ini sebenarnya lebih luas lagi.

Mengikut Ibnu Manzur fitnah bermaksud “al-ibtila” (cubaan), al- imtihan dan al-iktibar (ujian). Ibnu hajar pula menjelaskan bahawa makna asal fitnah ialah al-ikhtibar, al-imtihaniaitu ujian. Manakala jurjani mendefinisikan fitnah sebagai “perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu. ”

Manakala al-Quran pula membawa lebih banyak pengertian bagi maksud fitnah ini. Antaranya, dalam surah Al-Baqarah ayat 193 fitnah membawa maksud syirik, “ Dan perangilah mereka supaya tidak berlakunya syirik.” Fitnah juga dimaksudkan ujian dan cubaan sebagaimana dalam surah Taha ayat ke 40 dan al- Ankabut ayat ke 3. Dosa (at Taubah:49), kekufuran (at-Taubah:48 dan ali-Imran:7), berpaling dari kebenaran (al-Maidah:49 dan al-Isra:73), gila (al-Qalam:6), dan kebinasaan (an-Nisa:101 dan Yunus:8)

Jika dirujuk dalam kitab hadis pula fitnah ini  ianya diletak khusus di bawa bab “Fitan” antaranya sebagaimana sabda Nabi ﷺ “akan berlaku perselisihan dan peperangan, orang yang melihatnya lebih baik daripada orang yang menyebabkannya ia berlaku.” HR Bukhari dan Muslim). 

Nabi ﷺ bersabda “Ilmu akan diangkat dan akan tersebar kebodohan dan fitnah bermaharajalela serta banyak timbul kekacauan.” Ditanya kepada Rasulullah ﷺ “ wahai Rasulullah apa yang dimaksudkan dengan kekacauan?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab “ Begini” Nabi ﷺ memberi isyarat dengan tangannya lalu memiringkannya. Seakan yang dimaksudkannya adalah pembunuhan. (HR bukhari).

Kesimpulannya fitnah ini boleh diertikan sebagai ujian dan cubaan, penyeksaan dan pembunuhan,kemungkaran dan kemaksiatan, melalaikan dan melekakan serta dipaksa supaya kembali kepada kekufuran, menjauhkan diri dari agama serta berlakunya kezaliman.

Bermulanya fitnah

Fitnah telah bermula semenjak Nabi Adam diciptakan, apabila Allah memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam a.s. Semua malaikat melakukannya kecuali iblis, dengan kesombongan yang membusung di dadanya iblis telah mengingkari perintah Allah lantas dia menjadi kufur dan terlaknat, daripada makhluk yang taat telah menjadikan dia makhluk yang terkutuk, lalu akibat dendamnya maka dia berikrar untuk menyesatkan seluruh anak cucu Nabi Adam a.s .

Akibat dendamnya, Nabi Adam telah menjadi mangsa fitnah iblis yang pertama, kejayaanya mempengaruhi Nabi Adam a.s menyebabkan Nabi Adam telah mendekati dan memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah  yang akhirnya menyebabkan Nabi Adam dihukum oleh Allah keluar dari Syurga dan diturunkan ke dunia.

Gelombang Fitnah Yang Menggila

Fitnah bagi seseorang individu ialah ujian keduniaan seperti nafsu syahwat yang liar, harta benda, isteri dan anak-pinak jika tidak diurus mengikut syariat maka ianya akan membawa bencana yang besar.

Fitnah dalam masyarakat pula ialah berlakunya perbalahan, perpecahan dan peperangan antara umat Islam sendiri yang akhirnya membawa kepada kelemahan dan kemunduran lalu umat Islam menjadi hidangan istimewa buat musuh-musuh Islam. Tidak puas dengan itu masyarakat, terutamanya remaja di sogok dengan keseronokkan yang melampau yang akhirnya mereka lupa perkara yang lebih utama yang perlu dilakukan. Lebih parah lagi ialah fitnah yang berlaku ke atas sarjana Islam. Perdebatan serta  pergeseran pandangan yang tidak diurus dengan akhlak yang baik membawa masyarakat awam juga bertelagah sesama sendiri. Malah kini, media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan lain-lain medium mempercepatkan lagi tersebarnya fitnah yang akhirnya meruntuhkan sesebuah masyarakat Islam itu sendiri.

Bagaimana Mengelak Fitnah

  • Mencontohi Nabi ﷺ

Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dan menjadi “qudwah hasanah” atau contoh ikutan yang terbaik. Oleh itu sesiapa yang mengharapkan keredaan Allah dan Rasulnya dan berjaya mengharungi ujian dan fitnah dunia hendaklah mencontohi sikap dan cara hidup Nabi Muhammad ﷺ. Maka menelusuri sirah baginda adalah satu kewajipan.

  • Memperkuatkan persaudaraan Islam.

Ambillah pengajaran dari Quran Allah swt berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 91 yang bermaksud “ Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” Maka elakkanlah diri daripada bermusuhan sesama saudara Islam.

  • Jadikan diri sebagai orang berilmu

Teruslah belajar al-Quran dan As Sunnah daripada para alim ulama yang sebenar, daripadanya kita akan memahami Islam sebagai ad-Din, Bila kita berilmu mudah bagi kita untuk memahami sesuatu perkara itu baik atau buruk serta bagaimana dapat mengelakkan diri dari fitnah.

Oleh itu sebagai umat Islam, Umat yang membawa agama yang penuh dengan kasih sayang dan persaudaraan seharusnya kita perlu mengelakkan diri daripada melakukan fitnah atau terjerumus ke lembah fitnah itu sendiri. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang tidak dibenarkan memasuki syurga kerana dosa fitnah.

Disediakan oleh,

 Mohamad Rizal B Rejab, bertugas sebagai seorang guru di sebuah Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor. Mempunyai pengalaman hampir 18 tahun dalam dunia pendidikan serta memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. 

Kaya di Mata Orang, Miskin di Mata Sendiri

Adakah Tuhan Bersalah?