Bilamana perkataan kebenaran dibincangkan, apakah  gambaran yang akan bermain di fikiran kita? Ada yang mengatakan kebenaran itu sebagai prinsip hidup. Ada juga yang mengatakan bahawa kebenaran itu adalah jalan untuk mencapai keadilan. 

Tetapi apa yang paling utama di sini, kebenaran tidak akan pernah berada dalam satu jalan bersama dengan kejahatan atau kebatilan. Islam adalah agama yang sentiasa mengangkat kebenaran. Kebenaran ini sangat sinonim dengan Islam kerana terdapat sebilangan ayat al-Quran yang menyebut tentangnya, contoh seperti berikut:

وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Terjemahan:

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

(al-Baqarah, 2:42)

ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ

Terjemahan:

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

(al-Baqarah, 2:147)

وَمَا لَنَا لَا نُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَمَا جَآءَنَا مِنَ ٱلۡحَقِّ وَنَطۡمَعُ أَن يُدۡخِلَنَا رَبُّنَا مَعَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلصَّٰلِحِينَ

Terjemahan:

“Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh”

(al-Maidah, 5:84)

Jika kita fahami dan hayati betul-betul mengapa Islam mengangkat kebenaran, maka kita akan rasakan kepentingan untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Kefahaman ini akan membawa kita untuk percaya bahawa elemen kebenaran itu menjangkaui sosok tubuh individu tertentu. Manusia hanya mampu mengamalkan kebenaran, tetapi akan ada suatu masa yang menzahirkan kesilapan mereka. Kesilapan merupakan satu fitrah yang tidak boleh dielak. 

Elemen kesilapan ini sebenarnya yang mampu membawa manusia mengenal diri sendiri. Apabila sudah kenali diri, maka langkah seterusnya adalah mereka juga mampu sampai tahap mengenali Tuhan dengan lebih mendalam. Hal ini kerana dalam penciptaan manusia terdapat perkara-perkara menakjubkan yang hanya mampu diciptakan oleh Allah SWT sahaja. 

Kefahaman akan kebenaran ini juga penting supaya kita dapat menanamnya dalam diri sendiri hingga ia dapat menjadi salah satu prinsip yang penting dalam kehidupan. Antara prinsip yang penting dalam Islam ialah, “Amar ma’ruf, Nahi munkar”. 

Bagi mencapai prinsip ini, kebenaran menjadi alat untuk kita melakukan navigasi supaya ia menjadi titik tolak kepada kesedaran beragama. Oleh itu, Islam sangat mementingkan supaya umatnya menjadi contoh. Maka dengan itu, Islam mementingkan kebenaran supaya ia menjadi tonggak utama dalam membentuk prinsip umat Islam yang kuat lagi bermanfaat.

Sejarah telah mengajar kita bahawa kebatilan itu dapat dilawan dengan kebenaran. Walau sepahit manapun kebenaran, ia tetap mampu membawa kebaikan yang berpanjangan. Agama Nasrani merosot kerana mereka menyembunyikan kebenaran. Mereka sanggup untuk hidup dalam penipuan semata-mata untuk memenuhi kehendak hawa nafsu mereka. 

Contoh bentuk penipuan mereka adalah mereka telah mengingkari akan kenabian Nabi Muhammad SAW. Walaupun mereka sudah tahu awal akan tentang kedatangan Nabi Muhammad, tetapi mereka tetap tidak mahu beriman semata-mata mahu menjaga kedudukan dan kehormatan paderi-paderi mereka. Hal ini adalah suatu bentuk penipuan yang sangat rugi. Bukan sahaja rugi di dunia, malah mereka akan rugi di akhirat juga. Begitu juga terjadi dengan orang-orang Yahudi. 

Mereka bukan sahaja menyorok kebenaran Nabi Muhammad, bahkan mereka memerangi baginda. Sesungguhnya tindakan kedua-dua kelompok Yahudi dan Nasrani ini hanyalah tindakan yang bodoh lagi angkuh. 

Natijah yang kita boleh dapati daripada tindakan mereka ini adalah apabila ramai penganut mereka yang keluar daripada kedua-dua agama ini. Sebabnya sudah diketahui, kebenaran bukan berada di pihak mereka. Oleh itu, mereka yang menentang kelompok ini adalah bukan kerana menentang ajaran mereka sahaja, akan tetapi juga menentang penipuan dan pendustaan yang dilakukan. 

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ

Terjemahannya:

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

(al-Baqarah, 2:146

Hasilnya, perpecahan yang besar-besaran boleh dilihat dalam agama mereka. Mazhab yang terlampau banyak sehingga tidak tahu mana satu yang mereka mahu ikut. Ketua-ketua agama mereka telah menyorok kebenaran sebenar yang telah tercatat di dalam kitab Injil dan Taurat. Akan tetapi kerana ketaasuban mereka terhadap individu tertentu, maka mereka dikaburi dengan ajaran yang batil. Jikalau mereka membuka minda dan mengelakkan ketaasuban, nescaya mereka akan jumpa kebenaran sebenar. Kebenaran itu ialah:

“Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.”

Oleh itu, kita perlu memandu diri kita supaya meletakkan kebenaran sebagai prinsip utama dalam kehidupan. Agama mengajar kita supaya tidak melihat kepada individu semata-mata, tetapi menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah untuk mencari kebenaran. 

Jangan kaburkan akal fikiran kita dan mencampurkannya dengan kebatilan dan ketaasuban. Cukuplah kita mengambil pengajaran daripada sejarah  Yahudi dan Nasrani tentang impak yang buruk jika menyorokkan kebenaran. 

Ya benar, kebenaran itu kadang-kadang pahit. Tetapi dengan kepahitan itu kita dapat menguatkan diri  untuk menghadapi hidup yang penuh dengan ujian. Bukankah hidup di dunia ini hanya bersifat sementara? Walaupun sementara, kita memerlukan panduan yang menolong kita untuk selamat di dunia dan akhirat. Semoga kita berada dalam kalangan mereka yang sentiasa mengangkat kebenaran. 

Disediakan oleh,

Hazmi Azman

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.