Mungkin ada di antara pembaca yang pernah mendengar istilah ini.

“Nafsan Tawaqqah”

Sebenarnya saya mendengar istilah ini sekitar 10 tahun yang lalu melalui kisah Umar Bin Abdul Aziz. Bagi mereka yang tidak pernah mendengar, ada baiknya membuat sedikit kajian mengenai kisah ini kerana dua sebab. Pertamanya, ianya sangat masyhur dan keduanya saya tidak berniat untuk menceritakan kisah itu secara terperinci di dalam penulisan ini, cuma sekadar batu asas kepada apa yang saya cuba sampaikan. 

Memandangkan istilah ini berasal dari Arab, saya membuat sedikit carian makna perkataan ini. Apa yang dapat saya fahami, ianya boleh dimaksudkan dengan jiwa yang berkeinginan. Kalau ada guru Bahasa Arab dapat memberi definisi yang lebih tepat, amatlah saya hargai.

Sejak dari kecil lagi, kita telah diasuh untuk bercita-cita dan berusaha dengan bersungguh sungguh untuk mencapai apa yang dicitakan. Ada yang dapat dicapai, ada yang tidak. Ada yang dirancang menjadi, ada yang tidak. Ada yang lancar perjalanannya, ada yang terpaksa melalui pelbagai liku-liku. Apa pun yang manusia telah capai di dalam kehidupannya, kita pasti inginkan yang lebih baik. Lalu bagaimana harus kita lakukan untuk bergerak ke arah itu? Sejauh mana kita dapat menggapai?

Lihatlah petani zaman sekarang dan bandingkan dengan petani zaman dahulu. Dengan segala peralatan moden, dapat mengeluarkan hasil yang lebih banyak berbanding zaman dahulu. Perkembangan teknologi dalam pertanian tidak akan dapat diperoleh sekiranya tidak ada keinginan orang dahulu. Sama juga berlaku dalam bidang lain. Bertitik tolak kepada asas yang sama, keinginan untuk maju membuatkan manusia mengerahkan akal fikiran untuk mencipta peralatan yang canggih untuk mencapai kemodenan.

Jika kita lihat pengalaman peribadi setiap manusia yang berjaya, kita akan dapati perkara yang sama. Mereka bersusah payah untuk mencapai matlamat mereka. Dan apabila satu matlamat telah dicapai, mereka akan cuba capai satu lagi matlamat yang baru. Sebenarnya wang tidak patut menjadi ukuran untuk menilai kejayaan, tetapi untuk kali ini, ingin saya mengambil contoh mengenai orang yang paling kaya di dunia sekarang ini. Setelah dia telah memiliki segalanya yang ada di bumi, dia cuba pula untuk menguasai apa yang ada di planet lain. Dijalankan eksplorasi dengan tujuan cuba membuat penempatan manusia di sana. Selepas itu, apa pula?

Akan sampai suatu masa dimana setiap dari kita telah mencapai kemuncak dari kemahuan kita dan tidak ada apa lagi yang dapat kita capai dan tidak ada apa lagi yang dapat memenuhi kehendak kita. Setelah itu, kita akan bersandar dan bertanya kepada diri, apa sebenarnya yang aku nak dari hidup ini? 

Cubalah soroti kisah Umar Bin Abdul Aziz yang telah saya nyatakan. Setelah dia telah kecapi segala yang diinginkan di dunia, dia berkata, “Sekarang aku inginkan syurga, aku harap aku dapat memilikinya”. Kata-kata ini hanyalah potongan dari kata-katanya yang masyhur. Ada baiknya membuat carian sendiri bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut.

Sekalipun kita tidak capai kesemua apa yang kita hajati di dunia ini, kita mesti berhajat seperti mana kata-kata beliau. Apalah ertinya kita berjaya di dunia tetapi gagal di sana. Nauzubillah. Dan adalah lebih baik orang yang dilihat gagal di dunia tetapi berjaya di akhirat. Orang yang paling derita di dunia telah lupa mengenai deritanya hanya dengan satu celupan di syurga, sedangkan orang yang paling seronok di dunia ni terus lupa nikmat di dunia hanya dengan satu celupan di neraka. Nauzubillah.

Ingin saya menyeru kepada diri saya dan kepada sesiapa sahaja yang membaca, cuba hayati kisah ini, ambil iktibar dan cuba praktikkan di dalam kehidupan harian dan menjadikan syurga sebagai matlamat hidup kita.Mudah mudahan kita semua dapat mencapai kejayaan yang agung.

Disediakan oleh: Muhammad Al Mahdi Bin Abdullah.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.