Setiap manusia di muka bumi ini pasti mempunyai pekerjaan. Dengan bekerja, kita dapat menyara diri sendiri mahupun keluarga. Memang benar bahawa rezeki sudah dijamin oleh Allah tapi bukan bermakna kita hanya perlu berdiam diri menadah tangan tanpa ada ikhtiar untuk menjemput rezeki tersebut. 

Sudah menjadi rutin bagi kita setiap hari mempersiapkan diri untuk bekerja. Mandi, bersarapan pagi, dan seterusnya. Namun demikian, berapa ramaikah insan yang mengingati Allah Maha Pemberi Rezeki sebelum keluar rumah?

Adakah kita termasuk manusia yang lalai? Tepuk dada tanya selera. 

Betapa bersungguh-sungguhnya kita dalam mencari wang. Dengan dalih mencari rezeki daripada Allah tapi pada masa yang sama kita langsung tidak mengingati-Nya. Kita tidak berzikir, malah tidak berdoa meminta kepada Allah supaya diberi kemudahan dalam pekerjaan dan diberikan rezeki dari arah yang halal serta berkat. 

Apa yang menjadi keutamaan kita hanyalah mencari duit yang banyak semata-mata. Memenuhi kehendak nafsu tanpa ada keperluan. Apakah tidak malu kepada Allah? Dia memberikan kita rezeki yang begitu berlimpah dalam pelbagai cara dan keadaan tapi kita sedikit pun tidak menzahirkan sifat penghambaan kepada-Nya?

Dalam pandangan kita, pekerjaan hanyalah sebuah pekerjaan. Tiada kaitan dengan ibadah. Walhal jika kerjaya kita itu diniatkan kerana Allah, iaitu supaya kita dapat memenuhi keperluan hidup dengan cukup, menegakkan badan untuk mempertingkatkan lagi ibadah kepada-Nya, insyaAllah semua itu akan berbuah pahala yang besar daripada Allah. 

Apalagi rezeki yang kita perolehi itu dikongsikan dengan orang lain. Menyara keluarga dan seumpamanya, sudah tentu Allah akan lebih mengasihi dan mengangkat darjat kita. Bukankah selama kita membantu meringankan kesusahan hamba Allah semasa di dunia, selagi itu jugalah Allah akan  memudahkan segala urusan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. 

Apapun yang diusahakan oleh seorang Muslim itu, di sisi Allah tiada yang sia-sia. Termasuklah dalam hal pekerjaan. Selama kerja yang dilakukannya itu adalah halal, maka semua bernilai ibadah dan akan diberikan pahala oleh Allah. 

Oleh kerana itu, sebagai hamba Allah yang beriman, usah sesekali lupa mengingati Allah dalam apa jua aktiviti yang dilakukan. Kalau anda boleh bangun awal untuk pergi bekerja dan takut dimarahi majikan sekiranya terlewat, mengapa anda tidak merasa demikian terhadap Allah, Tuhan Semesta Allah. Tuhan yang menciptakan anda. Yang menentukan takdir dan nasib anda. Apakah seseorang manusia yang lemah itu lebih anda takuti berbanding Allah? Sedangkan Allah yang menjamin rezeki anda. 

Maka dari itu, bangkitlah awal untuk menunaikan kewajiban terhadap Allah terlebih dahulu.

  1. Bangun sebelum azan subuh untuk mandi.
  2. Selepas mandi, persiapkan diri untuk solat sunat fajar dua rakaat, seterusnya solat subuh.
  3. Berzikirlah semampu yang boleh. Kalau tak mampu lakukan semua, jangan tinggalkan semua. Ingatlah, Allah suka suatu ibadah walaupun kecil tapi berterusan. 
  4. Bersarapan pagi
  5. Membaca doa keluar rumah dan doa naik kenderaan. Kalau tidak hafal, membaca bismillah sahaja pun sudah memadai. 

Andai beginilah rutin awal pagi anda setiap hari, anda mesti menjadi lebih bersemangat, segar dan cergas di tempat kerja. Ini kerana anda telah mendahulukan Allah sebelum memulai segalanya berkaitan dunia. Dalam sebuah hadis berbunyi,

 “Jagalah Allah nescaya Allah pun akan menjagamu”.

Perlu juga diingatkan bahawa carilah rezeki yang halal dan elakkan perkara syubhat serta berlebih-lebihan kerana khuatir itu penyebab kelalaian. Apa gunanya kita berdoa supaya dilancarkan rezeki tapi kita mengambilnya dengan cara yang haram. Sebagai contoh duit dari hasil rasuah, perjudian, penjualan arak, pelacuran dan seumpamanya. Malulah kita kepada Allah. Ya, orang lain tidak melihat perbuatan buruk kita itu tapi bolehkah kita sembunyikannya daripada pandangan Allah?

Sebanyak manapun harta yang kita kumpulkan tapi sekiranya melalui jalan yang syubhat dan haram, maka hilanglah keberkahannya. Sungguh rugilah kita. Tampak kaya di dunia tapi berat hisabnya di akhirat.

Disediakan oleh: Shafiyyah Mei

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.