young muslim woman praying for Allah

“Bila kita nak bernikah dengan seseorang itu, dan keputusan itu diambil hasil daripada istikharah yang kita lakukan, namun akhirnya Allah SWT takdirkan untuk kita bercerai. Itu tidak bermakna jawapan yang Allah SWT berikan sebelum itu adalah jawapan yang salah. Kita tidak boleh menyalahkan jawapan istikharah yang Allah SWT berikan kepada kita.”

“Sebab, boleh jadi dengan penceraian itu, dia mempelajari sesuatu yang berharga untuknya, dan itu menjadikan perkahwinan yang seterusnya lebih baik. Dan perlu kita ingat, penceraian tidak semestinya membuktikan kegagalan seseorang itu dalam rumah tangga.”

Saya terdiam mendengar penjelasan daripada sahabat saya, ketika kami sedang melakukan talaqqi kitab dalam kumpulan. Penjelasan yang disampaikannya itu hanyalah huraian sampingan, namun bagi saya, penjelasan itu yang sangat membuka minda, kerana ramai dalam kalangan kita yang mungkin tersalah faham berkenaan perkara ini.

Istikharah adalah sesuatu yang sangat sinonim dengan perihal proses pemilihan keputusan-keputusan dalam hidup kita. Tidak mahu hanya disempitkan kepada hal pemilihan jodoh sahaja, kerana istikharah itu lebih luas perlaksanaannya. Segala perkara dalam hidup kita yang melibatkan pilihan, boleh saja menjadi asbab perlaksanaan istikharah. Selagi kita ingin meminta petunjuk daripada Allah SWT, maka laksanakanlah istikharah.

Jawapan kepada istikharah semestinya merupakan jawapan daripada Tuhan yang menciptakan, Tuhan yang Maha Mengetahui keadaan manusia lebih daripada diri manusia itu sendiri. Jadi, logik akal kita akan menjangkakan bahawa jawapan daripada Allah SWT itu pastinya baik; atau dalam erti kata lain, membuatkan hidup kita bahagia, mudah dan indah. Tidak pula kita terfikir untuk mempersiapkan diri kita bagi berhadapan dengan kesukaran apabila kita mematuhi jawapan istikharah yang diberikan Allah SWT. Yang difikirkan hanyalah,

“Oh ini jawapan daripada Tuhan, pastinya tiada kesukaran!”.

Pemikiran seperti ini yang bakal membuatkan kita terloncat apabila berlakunya sesuatu yang tidak tercapai logik akal fikiran. Seakan-akan kita tersalah membuat pilihan, akhirnya kita menyalahkan Tuhan atas jawapan yang diberikan. Benar, bukan?

Contohnya, seperti yang disebutkan sahabat saya tadi, apabila kita berkahwin dengan seseorang itu, sebagai mematuhi  jawapan daripada istikharah yang kita lakukan, namun akhirnya ditakdirkan kita bercerai dengan pasangan kita, kebiasaan kita dengan mudahnya akan berbisik, “Kalaulah aku tak kahwin dengan dia, semestinya takkan berlaku perkara ini” ataupun “Silap langkah la aku pilih berkahwin dengan dia”. Ibarat kita menyatakan, Tuhan telah memberikan jawapan yang salah kepada kita. Aduhai, kekeliruan apakah ini?

Suka saya mengaitkan hal ini dengan kisah Nabi Yusuf AS. Allah SWT menceritakan dalam surah Yusuf :

“(Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku! Sesungguhnya, aku (bermimpi) melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan; aku melihat semuanya bersujud kepadaku.”

Dia (ayahnya) berkata, “Wahai anakku! Janganlah engkau menceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakan)mu. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia.” 

[Surah Yusuf ayat 4 & 5]

Persoalannya adalah, bukankah rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf AS tetap berlaku selepas itu? Bagaimana pula itu boleh berlaku? Adakah Nabi Yusuf AS tidak mematuhi peringatan yang diberikan Nabi Yaakub AS, merangkap bapanya? Oh, semestinya Nabi Yusuf AS mendengar nasihat Nabi Yaakub AS. Nabi Yusuf AS merupakan anak yang soleh, dan baginda tidak menceritakan pun perihal mimpi itu kepada adik-beradiknya yang lain. Jadi, mengapa Allah SWT tetap mengizinkan perancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf AS untuk terlaksana?

Kisah ini jelas mengajarkan kepada kita bahawa, tidak semestinya kita akan dijanjikan dengan kemudahan, kesenangan dan kebahagiaan apabila kita memilih jalan kebenaran. Agama ini bukan agama magis. Nabi Yusuf AS mematuhi apa yang disuruh kepadanya, tetapi Allah SWT mentakdirkan kesusahan kepada Baginda. Tetapi, benarkah itu sesuatu yang buruk kepada Nabi Yusuf AS?

Jika kita melihat pengakhiran kisah Nabi Yusuf AS, kita akan mendapati bahawa episod-episod duka yang dihadapi Baginda ketika itu telah membawa Baginda kepada episod bahagia, bukan hanya kepada Nabi Yusuf AS, bahkan kepada rakyat Mesir seluruhnya. Namun, jangan kita lupa juga, sebelum sampainya Nabi Yusuf AS kepada pengakhiran yang membahagiakan itu, kehidupan Nabi Yusuf AS boleh dikatakan tidak jemu diziarahi kesedihan; dibuang oleh adik-beradiknya, diajak berzina, difitnah dan dipenjara. Bertubi-tubi yang menimpa Nabi Yusuf AS seakan dunia tidak mahu berpihak kepadanya langsung.

Tahukah anda apa komentar Nabi Yusuf AS untuk segala yang berlaku kepada baginda sepanjang hidupnya?

“…Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari pedalaman padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antara aku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya, Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya, Dia Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

[Surah Yusuf ayat 100] 

Lihatlah, Nabi Yusuf AS langsung tidak mengungkit atau menyebut kesusahan yang dihadapinya, bahkan lebih lagi memuji dan merasakan Allah SWT telah memberikan yang terbaik untuk baginda. Bukan itu sahaja, dalam ayat 101, Nabi Yusuf AS mengungkapkan kesyukuran di atas nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya, mengiktiraf Allah SWT sebagai Tuhan, dan mengakhiri dengan doa agar dimatikan dalam kalangan hambaNya yang soleh. Wahai, indahnya peribadi Nabi Yusuf!

Apa yang penting di sini, bukanlah apa yang akan berlaku kepada kita, tetapi apa yang kita mahu lakukan dalam hidup kita. Pilihan yang kita pilih. Adakah kita mahu memilih yang Allah SWT reda atau mahu mengikut keenakan citarasa kita sahaja? Bagi Nabi Yusuf AS, baginda tetap dan sentiasa memilih apa yang Allah SWT reda, walaupun itu akan memasukkannya ke dalam terowong gelap yang menyeramkan. Nahh, kita pula bagaimana?

Berbalik kepada perbincangan kita tadi, mematuhi jawapan istikharah tidak seharusnya kita iringi dengan bayangan indah dihamparkan permaidani merah, berlatar belakangkan taman bunga menuju istana megah. Sebaliknya persiapkan diri kita bersama alatan perang untuk mengharungi badai yang bakal menimpa. Biarpun kita memilih sesuatu yang Allah SWT redai, namun perlu juga kita ingati bahawa sahabat karib kehidupan adalah yang namanya ujian. Bahkan, ujian tanda sayangnya Tuhan, bukan?

Jika Allah SWT memudahkan jalan kita melalui jawapan istikharah itu, alhamdulillah, itu adalah satu rezeki. Namun, jika sebaliknya yang berlaku, itu juga adalah satu rezeki. Maka bersabarlah, pastinya Allah SWT sedang merencanakan sesuatu untuk kita. Yakini bahawa selagimana kita mencari redaNya, Dia semestinya tidak akan mengabaikan kita.

Apabila kita mengikuti apa yang Allah SWT lorongkan buat kita, ketahuilah bahawa kita sedang menggenggam redaNya. Jalannya mungkin tidak mudah, namun yakinlah di akhirnya kita akan temui kebahagiaan yang abadi. Tidak di sini, pastinya di syurga nanti.

“Sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang berakal. (Al-Quran) bukanlah cerita yang direka-reka, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk serta rahmat bagi orang-orang beriman.”

[Surah Yusuf ayat 111]

Ditulis oleh:

Amirah Mukhizad

Yang mahu mencari redhaNya.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.