Kekayaan harta dan kemewahan dunia adalah antara sebahagian nikmat Allah SWT yang dikurniakan untuk hamba Nya. Kesenangan hidup dengan memiliki harta yang banyak bukanlah sesuatu yang salah dan bercanggah dengan agama. Sejarah telah merakamkan kisah bagaimana kekayaan yang dimiliki oleh Uthman bin Affan RA, seorang tokoh korporat yang telah banyak menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT. Kekayaan yang dimiliki beliau telah membuatkan dirinya membeli telaga air yang asalnya kepunyaan seorang Yahudi, dan menjadikan telaga tersebut sebagai wakaf umat Islam.

Kisah ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW riwayat Muslim, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

“Wahai Sahabatku ! Sesiapa sahaja diantara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat syurga Allah”

Apabila perkara tersebut diketahui oleh Uthman bin Affan, dengan segera beliau telah bertindak membeli dan mewakafkan telaga tersebut untuk kegunaan umat Islam sehingga ke hari ini. Berdasarkan kisah ini, jelas pada kita bahawa sesungguhnya Islam bukanlah suatu agama yang memusuhi harta kekayaan. Malah, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk berusaha bekerja mencari rezeki dan nafkah kehidupan. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumuah ayat 10 yang bermaksud :

“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi ; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung”

Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan hamba Nya tentu sudah mengetahui akan kecenderungan para hamba Nya yang suka akan harta kekayaan. Oleh kerana itu, berdasarkan firman tersebut, Allah membenarkan para hamba Nya setelah selesai solat jumaat untuk keluar menyambung kembali apa jua pekerjaan halal dan Allah mengingatkan hamba Nya dalam usaha mencari rezeki yang halal, jangan pernah kita melupakan akhirat. Ingatlah Allah kerana ingatan tersebut akan menyelamatkan kita daripada tenggelam di dalam keasyikan kekayaan dunia.

Harta kekayaan bukanlah sesuatu yang dibenci atau dimusuhi oleh Allah, sebaliknya yang diperangi adalah sikap melampau, tamak dan sebagainya. Sebenarnya harta kekayaan merupakan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa asas ini, kehidupan umat akan menjadi mundur ke belakang, jatuh dalam kemiskinan, hidup melarat dan kerja hanya menagih simpati manusia lain. Allah SWT telah mengiktiraf harta sebagai suatu asas dalam pembangunan hidup umat manusia. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Nisa’ ayat 5 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu sebagai asas pembangunan kehidupan kamu, dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik”.

Selain itu, Islam juga mengajar umatnya untuk mencari harta sebagai usaha mencari nafkah untuk keluarga. Berusaha mencari harta kekayaan dengan jalan yang baik adalah lebih mulia dan bermakna daripada kerja meminta-minta menagih simpati manusia lain. Walaupun dengan kerja sekadar memungut kayu api lalu dijual untuk mendapat hasil, perkara itu lebih baik berbanding hidup merempat meminta-minta semata-mata. Hal ini seperti yang telah diriwayatkan oleh Bukhari, dalam sebuah hadith daripada Zubair bin Awwam, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar diatas belakangnya, kemudia dia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang lain, sama ada mereka memberinya atau tidak memberinya”.

Tanggapan bahawa Allah mencemuh kehidupan di dunia dengan Allah menyatakan bahawa dunia ini suatu tempat penuh tipu daya, dunia sekadar tempat permainan senda gurau dan sebagainya, bukanlah bermaksud Allah melarang hamba Nya untuk meraih kekayaan dan kesenangan hidup di dunia. Namun sebaliknya Allah SWT menjelaskan kepada kita batasan dan limitasi hidup dunia ini hanyalah sementara dan bukanlah tempat kekal selamanya. 

Oleh itu, carilah harta kekayaan sesuai dengan hakikat dunia yang tidak kekal ini. Berusaha lah menjadi kaya kerana dengan kekayaan tersebut juga, kita akan dapat memberi manfaat semula kepada umat. Imam al-Ghazali berkata dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin yang bermaksud :

“Ini adalah satu kesalahan yang berlaku bagi segelintir manusia yang menyangka maksud daripada bersungguh-sungguh meninggalkan dunia adalah menyekat manusia daripadanya (dunia) secara keseluruhan. Lantas mereka mengabaikan kehidupan dunia. Sesungguhnya syahwat itu diciptakan untuk memberi manfaat kepada kehidupan dan ia adalah perkara penting dalam tabiat manusia. Jika tiada syahwat kelamin, maka akan pupuslah sistem kehidupan. Jika tiada perasaan marah secara keseluruhan, maka manusia tidak akan mempertahankan hak dirinya walaupun dia dianiaya oleh orang lain. Bukanlah satu tuntutan di dalam Islam untuk menolak dunia secara keseluruhan”.

Sedarlah kita bahawa betapa besarnya nikmat kebaikan yang boleh dilakukan dengan harta kekayaan yang kita miliki. Dengan kekayaan harta dan kesenangan hidup yang kita nikmati ini, bukan sahaja untuk diri dan keluarga kita, nikmat ini juga boleh memberikan kita ganjaran yang lebih besar seperti ibadah zakat, wakaf, amalan bersedekah dan selainnya. Betapa mulianya jika kekayaan yang kita miliki ini dengan cara dan usaha yang halal, dikongsikan pula dengan mereka yang memerlukan. Pasti besar ganjarannya oleh Yang Maha Kaya. Apa yang pasti, Islam sangat memerangi dan memusuhi harta kekayaan yang diraih melalui jalan yang batil dan haram seperti rasuah, riba, judi dan seumpamanya.

Sekiranya hendak dihitung banyaknya manfaat dan kelebihan andai kita menjadi orang kaya, sudah tentu tidak terhitung nilainya di sisi Allah SWT. Kerana kekayaan harta ini jika diusahakan dengan keimanan pada Nya, sudah pasti akan dikembalikan diatas jalan Nya jua. Kerana yang memiliki kekayaan itu hanyalah Allah. Kita sekadar hamba Nya yang diberi pinjaman nikmat untuk menjadi kaya. Oleh itu, berusaha mencari harta kekayaan bukanlah sesuatu yang dibenci atau dilarang oleh Islam. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.