Agama Islam merupakan agama yang menterjemahkan makna Islam itu sendiri. Perkataan “Islam” yang berasal dari bahasa Arab membawa makna selamat, sejahtera dan aman. Ini bermakna, Islam adalah suatu ajaran yang membawa mesej bertujuan untuk keselamatan, kesejahteraan dan keamanan. Hal ini sekaligus membawa maksud sebarang kekerasan, penganiayaan dan penindasan bukanlah terbit dan lahir daripada ajaran Islam sebenar.

Sebagaimana makna Islam itu sendiri, Islam disebarkan melalui semangat dan roh kesejahteraan, keselamatan dan keamanan itu sendiri. Adalah tidak benar tuduhan liar yang dilemparkan oleh sebahagian orientalis yang mendakwa Islam tersebar dengan kekerasan dan permusuhan. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa setiap tuduhan liar dan tidak berasas ini hanyalah sebuah teori yang tidak berpijak di atas fakta yang sebenar. Malah, lebih jelek lagi, segala tuduhan auta ini lebih kepada sentimen sangkaan jahat semata-mata.

Sepertimana dakwaan oleh Carl Brockelmann, seorang orientalis berbangsa Jerman, beliau yang pakar dalam bidang Sejarah dan Sastera Arab mendakwa setiap orang Islam telah mewajibkan dirinya mengisytiharkan permusuhan terhadap orang bukan Islam dimana saja mereka jumpa, kerana memerangi bukan Islam menurut mereka adalah kewajipan dalam agama. Beliau juga turut mendakwa bahawa antara perkara yang pasti ialah Islam tidak akan mencapai kejayaan melainkan jika ia mencetuskan peperangan.

Dalam catatan buku Sejarah Perancis, H. Guoman, V. Luster, mereka mendakwa sesungguhnya bangsa Arab ini telah menguatkuasakan agama mereka dengan kekerasan. Mereka berkata kepada manusia : “Masuklah ke dalam Islam atau kalian mati !” sedangkan para pengikut al Masih memenangi jiwa-jiwa manusia dengan kebaikan dan ihsan mereka. Ini antara tuduhan liar yang dilemparkan oleh orientalis kepada Islam. Tuduhan liar ini sudah pasti mencerminkan ketidakjujuran mereka terhadap fakta yang sebenar.

Sesungguhnya, setiap tuduhan liar dan tidak berasas ini telah memberikan hikmah yang besar kepada Islam. Hal ini demikian kerana lemparan tuduhan orientalis tersebut telah membangkitkan semangat kita untuk mengkaji dan meneliti setiap tuduhan ini dan mencari jawapan disebaliknya. Kita yakin dan percaya, sesuatu yang batil (tidak benar) tidak dapat bertahan dengan sesuatu yang hak (benar). Kerana kebenaran tidak akan pernah terpadam dengan kebatilan.

Bagi menjawab tuduhan ini, pertamanya kita harus memahami peperangan yang diperintahkan oleh Allah kepada para hamba Nya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Hajj ayat 39-40 yang bermaksud :

” Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata : Tuhan kami ialah Allah…”

Juga firman Allah SWT menerusi surah al Baqarah ayat 190 yang bermaksud :

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.

Berdasarkan firman Allah ini, dapat kita fahami bahwa pensyariatan peperangan di dalam tidak akan disyariatkan melainkan hanya untuk tujuan mempertahankan diri, maruah dan harta benda. Juga peperangan disyariatkan oleh Allah di ketika hak beragama dihalang. Jika kita semak dalam sejarah peperangan Badar al Kubra, punca tercetusnya peperangan bukanlah diatas kehendak baginda Nabi SAW. Baginda hanya mahu melancarkan perang ekonomi ke atas kaum Quraisy sebagai ganti terhadap harta umat Islam yang telah mereka rampas ketika mereka berada di Mekah.

Begitu juga apa yang berlaku ketika baginda Nabi SAW hendak memasuki Kota Mekah. Tujuan Nabi memasuki Kota Mekah bukanlah untuk mencari gaduh dan berperang dengan kaum Quraisy. Dalam Tarikh al Tabari, Imam at Tabari menyatakan :

“Sesungguhnya Rasulullah SAW mahu memasuki Mekah tanpa membunuh nyawa dan menumpahkan darah. Justeru ketika memasuki Mekah, baginda mengarahkan kepada semua ketua perang agar tidak membunuh mana-mana nyawa melainkan jika mereka yang memulakan serangan”.

Malah catatan sejarah juga menunjukkan Islam memasuki sesebuah negeri atau empayar dengan menawarkan mesej kesejahteraan, keselamatan dan keamanan. Dalam Futuh al Buldan yang dikarang oleh al Baladhuri, beliau merakamkan kata-kata penduduk Homs kepada orang Islam yang bermaksud :

“Wahai pemimpin Islam, kamu lebih kami sukai berbanding orang-orang Rom. Walaupun mereka seagama dengan kami, namun kalian lebih jujur, lebih berlemah lembut, lebih membela kami dan lebih bagus dalam menjaga kebajikan kami daripada mereka. Mereka hanya suka menguasai diri kami dan rumah-rumah kami”.

Dalam Al Da’wah Ila al Islam, dicatatkan bahawa harta-harta milik gereja di Mesir tidak pernah diganggu oleh Amru al Asr. Beliau tidak pernah mengambil atau merampas harta-harta milik gereja. Justeru, tidak ada sebarang bukti dan saksi yang menunjukkan perpindahan mereka dari agama lama kepada agama Islam disebabkan oleh paksaan, kekerasan atau penindasan yang dilakukan oleh pemimpin Islam. Bahkan kita boleh melihat kebanyakan orang-orang Koptik telah memeluk Islam sebelum sempurna urusan penaklukan keatas Mesir.

Terdapat banyak lagi fakta yang menunjukkan kedatangan Islam bukanlah dengan memaksa orang mengimaninya dengan kekerasan, penindasan dan kezaliman sepertimana yang telah didakwa oleh sebahagian para orientalis. Hanya mereka yang buta sejarah dan fakta sahaja yang boleh bercakap sedemikian rupa. Pelbagai peristiwa dan rentetan sejarah dunia yang telah menunjukkan Islam memasuki sesebuah negara atau empayar dengan membawa mesej kesejahteraan dan menawarkan keamanan dan kedamaian. Kerana itulah intipati dan ajaran Islam sebenar. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.