in

ISLAM MENJAMIN HAK ORANG BUKAN ISLAM

Sinergi dunia barat sejak dahulu cuba menonjolkan sisi pandang wajah Islam yang buruk dan tidak bertamadun, tidak berupaya menafikan hakikat sebenar intipati dalam ajaran Islam. Biarpun pelbagai slogan dan strategi memburukkan imej Islam dilakukan, namun pada dasarnya tidak sedikit pun dapat mengubah ajaran sebenar Islam yang dibawa dengan makna kerahmatan untuk seluruh alam semesta. Meskipun usaha untuk memburukkan Islam tidak pernah sunyi dan terhenti, Islam dalam makna sebenar telah menjamin hak mereka yang bukan Islam terus dipelihara dan dijaga.

Islam dengan membawa rahmat untuk sekalian alam, telah memerintahkan umatnya supaya memberikan perlindungan kepada mereka yang bukan Islam. Adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin Islam memberi perlindungan kepada mereka yang bukan Islam dan menjamin keamanan mereka. Hal ini sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Azza Wa Jalla menerusi surah al Taubah ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah SWT (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)”.

Dalam menghakimi sesuatu perkara juga, Allah telah memerintahkan agar kita bersikap adil pada mereka yang bukan Islam ketika mahu menghakimi mereka. Firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT, lagi menerangkan kebenaran ; dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Berdasarkan firman tersebut, Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Penyayang telah memerintahkan agar hamba Nya sentiasa bersikap adil dan telus dalam menghakimi sesuatu perkara tanpa mengira status agama dan kaum. Bahkan, Allah SWT dengan penuh ketegasan melarang umat Islam daripada tidak berlaku adil pada seseorang kerana kebencian pada mereka. Dalam makna yang lebih mudah difahami, Allah melarang kita bersikap tidak adil kerana sikap kebencian kita kepada mereka. Kerana sikap kebencian tersebut mampu mendorong kita untuk bersikap tidak adil dan telus.

Bagi menjamin hak orang bukan Islam, Allah SWT juga melarang orang Islam untuk memaksa mereka memeluk agama Islam. Walau atas apa nama sekalipun, kita sangat dilarang untuk memaksa mereka yang bukan Islam memeluk agama Islam. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 156, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Sebagai orang Islam, kita juga dilarang sama sekali mencederakan orang bukan Islam atau membunuhnya. Ini juga termasuk menyakiti dan mendatangkan kebinasaan kepada mereka yang bukan Islam. Hal ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Amru yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membunuh mua’had tidak akan dapat mencium bau syurga, walaupun sesungguhnya syurga itu dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan”.

Istilah “Mua’had” adalah merujuk kepada makna golongan orang bukan Islam yang berjanji untuk hidup secara aman dan tidak menentang Islam di negara Islam. Betapa besar dan hebatnya ancaman kepada orang Islam yang bersikap ganas dan melampau terhadap mereka sehingga mendatangkan kecederaan dan lebih teruk, membunuh mereka tanpa hak yang dibenarkan oleh Islam.

Dalam sistem hidup bernegara, hak orang bukan Islam di bawah negara umat Islam terus dijamin dan dipelihara sehingga suatu tahap, baginda Nabi SAW sendiri dengan penuh tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa baginda Nabi SAW sendiri akan menjadi pendakwa kepada orang Islam di hari kiamat akibat menipu, menindas dan menzalimi hak orang bukan Islam. Hal ini seperti dalam sebuah hadith Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud :

“Ketahuilah barangsiapa yang menzalimi mua’ahad, mengurangi haknya, memerintahnya melakukan sesuatu diluar kemampuannya atau mengambil sesuatu tanpa kerelaannya maka aku akan menjadi pendakwanya di hari kiamat”.

Demikianlah sikap dan pendirian tegas baginda Nabi SAW kepada orang Islam yang menindas dan menzalimi golongan bukan Islam yang tidak memerangi Islam dan hidup aman sentosa. Begitu juga dalam hal berbuat baik kepada jiran sekalipun jiran kita itu  bukan Islam. Berbuat baik dan bersikap kasih sayang sesama manusia adalah tuntutan Islam yang merentasi perbezaan agama dan kaum. Lebih-lebih lagi berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Jibril sentiasa berpesan kepadaku supaya memenuhi hak jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi (harta peninggalan) nya”.

Hadith ini bersifat umum. Maka dengan itu, Islam sangar menuntut supaya kita berbuat baik kepada jiran tanpa mengira apa agama dan kaumnya. Oleh yang demikian, bagi orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan takut jika berjiran dengan orang Islam kerana padanya ada hak berjiran yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Berbuat baik kepada jiran termasuklah amalan ziarah-menziarahi, bertegur sapa dan mengambil peduli jiran.

Demikianlah beberapa hak orang bukan Islam yang dijamin oleh Islam. Setelah melihat akan semua hak ini, bagaimana lagi boleh kita katakan Islam agama ganas dan suka berperang ? Barangkali ada segelintir umat Islam yang suka bersikap bengis dan rasis kepada orang bukan Islam, namun hal yang demikianlah bukanlah intipati sebenar ajaran Islam. Apa yang benar adalah apa yang diajarkan oleh Islam. Maka apa yang kita lihat dan dengar tentang Islam, seharusnya disemak semula dengan intipati sebenar ajaran Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Merawat ‘Anxiety’ Dengan al-Quran

Kisah di Sebalik Penulisan Poskad