Penghargaan dalam tesis yang diterhadkan satu muka surat tidak cukup menggambarkan betapa besar dan dalamnya kesyukuran dan penghargaan aku untuk setiap daripada kamu sepanjang mengharungi jerih payah menghabiskan lagi dua semester di kala pandemik ini. Maka, penghargaan ini adalah untuk kamu.

Bermula dari membuat keputusan untuk menyambung pelajaran, tidak ada siapa yang mengerti, orang-orang di sebalik keputusan yang dibuat dan kemudian menyokong akan keputusan ini, sudah pun cukup berjasa untuk aku. Sewaktu masa hadapan masih lagi samar dan tidak jelas, namun hati tekad dengan keputusan dibuat untuk terus bergerak meneruskan langkah kehidupan, dengan harapan, Tuhan akan menunjukkan kejelasan. Tetapi mereka dan kamu tetap juga memberi sokongan. Bukankah itu pengorbanan yang sudah cukup besar untuk diri ini? Kamu mungkin merasa tidak menyumbang pada kejayaan yang dicapai hari ini, tetapi kamu ada di permulaan perjalanan ini. Ini sudah cukup besar untuk aku. 

Izinkan aku Ya Tuhan membalas jasa-jasa mereka ini.

Di saat semua orang terkejar-kejar, memastikan diri masing-masing terlebih dahulu kehadapan dan cemerlang berbanding yang lain, kita semua tetap sudi toleh ke belakang, kiri dan kanan melihat kawan sekeliling dan menghulurkan bantuan kerana takut ada yang ketinggalan. Kadang belum bersuara pun lagi untuk meminta tolong, pertolongan sudah pun dihulurkan. Mungkin bukanlah besar, tapi pertolongan kecil sudi menjelaskan semula, sudah cukup besar nilainya. Kerana tidak semua orang ingin menjelaskan semula kepada yang selalu ‘terbelakang’. Dan tidak semua ingin membantu orang lain. 

Jujurnya, aku masih tetap kagum dengan mereka. Nilai ini tidak pernah lagi aku jumpa pada pengalaman sebelum ini. Dan mungkin nilai ini pelik untuk peringkat pengajian yang lebih tinggi. Kadang-kadang, orang memandang rendah terhadap kita, tapi kita tetap kuat bersama mengharungi segala persepsi manusia kerana kita lebih kenal niat dan kemampuan kita.

Terima kasih juga buat kamu yang banyak jujur dan berkongsi perasaan susah kamu kepada aku. Aku sangka aku keseorangan untuk melalui semua ini. Mendengar keluhan kamu, buatkan aku lega yang kita dalam satu kasut yang sama. Itupun sudah cukup membantu aku untuk melalui perjalanan yang aku sangka aku mampu seorang diri, rupanya tidak. Kita mengadu, kita bergelak juga, kita saling tolong juga kalau salah seorang ketinggalan. Kita punya kebimbangan yang sama, keresahan yang sama, kegembiraan yang sama juga. 

Perjalanan yang aku kira bukan mudah, kelihatan sedikit kurang terbeban adanya kamu bersama sepanjang perjalanan ini. Tak sangka, kita berbeza jarak umur, kita berbeza bangsa, kita berbeza agama, kita berbeza status bahkan. Rupanya sokongan emosi menghilangkan jurang perbezaan kita. Tidak ternilai penghargaan aku kepada Tuhan kerana mentakdirkan pertemuan dengan kamu dalam perjalanan ini juga. Tidak semua orang keliling kita hadir mendatangkan kelegaan. Kerana itu, sejak kita berkongsi rasa kesusahan bersama-sama, aku sangat bersyukur dan menghargai adanya kamu bersama aku dalam perjalanan ini.

Izinkan aku Ya Tuhan membalas jasa-jasa mereka ini.

Mereka rasa mereka hanya datang sekali-sekala penyeri hari. Tidak ada makna apa pun. Bagi aku, itu sangat membantu aku meneruskan dan menghabiskan perjalanan ini. Beban perasaan ditanggung sepanjang pandemik ini, benar-benar melelahkan diri. Terdetik juga, adakah perjalanan aku ini bakal membuahkan hasil akhirnya atau akhirnya akan membebankan orang sekeliling saja? 

Orang lain mungkin hanya ingin tahu adakah kita punya masalah dari segi kesihatan, masalah-masalah fizikal, atau masalah-masalah yang berat. Tetapi masalah beban perasaan, adakah mereka sudi peduli? Adakah mereka merasakan aku ini lembik, lemah dan manja? 

Kerana itu, sekali-sekala kedatangan kamu walaupun hanya sekadar berjalan sana-sini, berbual pelbagai perihal tanpa tajuk dan pelbagai aktiviti rawak tanpa perancangan, seolah-olah memberi ruang kepada diri ini untuk menghargai keindahan masa sekarang berbanding merisaukan masa akan datang. Juga kamu buat aku memahami untuk lebih menghargai orang-orang di sekeliling aku. Beban perasaan mungkin tidak hilang, tapi dengan ruang yang diberi, mengajar aku untuk bertenang dan berbahagia dengan hari ini. 

Buat kamu, yang tidak pernah putus kirimkan ucapan teks, yang setia sudi untuk mendengar luahan perasaan tanpa menilai, yang sudi banyak memberi walaupun diri belum mampu membalas semula banyaknya pemberian, yang ingat peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam hidup ini, yang memberi juga ruang apabila diminta, terima kasih yang teramat sangat.

Aku tahu aku tidak pandai dalam menzahirkan penghargaan aku kepada kamu. Tetapi jauh dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa aku sangat menghargai kesudian kamu meluangkan masa dan pengorbanan yang kamu berikan. Perasaannya terlalu dalam sehinggakan tidak ada ayat yang mampu mengungkapkan dengan sempurna. 

 Oh Tuhan, izinkan aku membalas jasa-jasa mereka ini.

Kita jarang bersua muka. Kita jarang bertanya khabar. Kita juga seperti sudah ketinggalan banyak peristiwa yang berlaku dalam hidup masing-masing. Tapi, setiap kali kita berbual, kita saling tahu masing-masing mengharapkan doa satu sama lain. Kita tidak perlu sembang panjang untuk menguji ukhuwah kita. 

Kita juga tidak perlu kira berapa kali pertemuan fizikal kita untuk membuktikan ukhuwah kita. Kita hanya perlukan doa yang saling dikirim merentas negeri. Jauh dan tidak mengikuti secara langsung perkembangan diri dan kesusahan diri tidaklah mengapa. Aku tidak perlukan perhatian sehingga ke tahap itu. 

Mengetahui doa kamu yang selalu mengiringi aku dalam menempuhi perjalanan ini yang hujungnya samar, cukup memberi kekuatan dan membuat diri ini begitu mensyukuri akan adanya doa-doa kamu. Dan perjalanan ini juga diakhiri dengan doa-doa kamu bersama sejambak bunga. Semoga doa-doanya terus mekar segar bersama bunga yang baru nak berkembang. Harumnya bau bunga yang dikirim, masih lagi tidak hilang. Harapnya begitulah doa-doa yang dikirim ikut terbang bersama harumnya bau bunga ini di udara mengelilingiku.

Buat kamu semua,

Perjalanan ini dimulakan dengan ketidakpastian. Cabarannya bertambah dengan beban pandemik. Jerih payah sepanjang perjalanan ini mustahil untuk aku lalui tanpa kamu semua. Penghargaan yang tersangat dalam daripada aku di atas segala pemberian yang telah diberikan, pertolongan yang dihulurkan, sokongan yang tidak berhenti, terus mempercayai diri ini di atas keputusan ini dan kiriman doa yang tidak pernah putus. 

Jujur aku katakan, tidak ada kata-kata yang lebih baik untuk mengungkapkan perasaan ini. Tidak ada balasan yang lebih baik dan lebih layak melainkan hanya Allah swt sahaja yang mampu memberi ganjaran yang setimpal dengan kebaikan kamu semua. Setiap mereka yang membaca ini, wajar mengetahui bahawa setiap dari kamu semua adalah berharga.

Perjalanan ini baru saja berakhir. Namun kesan pandemik menyebabkan jarak dengan impian yang ingin dicapai sedikit menjauh. Semoga perjalanan ini membuahkan hasil dan berjaya mencapai apa yang diimpikan. Berilah aku peluang ya Tuhan. 

Izinkan aku Ya Tuhan membalas jasa-jasa mereka ini.

Nukilan,

DB, 30 November 2021

Baru selesai menamatkan Sarjana Sains Kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 2021. Mula kembali kepada hobi asalnya iaitu membaca sejak 2020 sebagai terapi diri dan sedang berjinak untuk mula menulis.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.