Industri penerbitan dan media cetak merupakan jaringan media yang menghimpunkan bahan-bahan informasi untuk disampaikan kepada masyarakat. Informasi disampaikan melalui penulisan yang dikumpulkan dalam bentuk bertulis seperti akhbar, majalah atau buku. Industri penerbitan dan media cetak telah beroperasi sejak sekian lama dan masih bertahan sehingga kini.

Namun demikian, pada zaman era pembangunan dan teknologi ini sedikit sebanyak menenggelamkan peranan industri buku dan media cetak. Hal ini terjadi ekoran penciptaan pelbagai jenis dan bentuk teknologi baharu yang lebih menarik minat masyarakat. Tambahan pula, keadaan dunia yang tidak menentu pada saat ini menyebabkan industri penerbitan dan media cetak dipandang sepi. Keadaan ini memungkinkan industri penerbitan dan media cetak tidak lagi dianggap penting untuk tempoh beberapa tahun akan datang. 

Pada tahun 2019, seluruh dunia berhadapan dengan krisis penyakit berjangkit yang merebak melalui virus yang dikenali sebagai COVID-19. COVID-19 merupakan sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan. COVID-19 disebarkan melalui titisan cecair dari hidung atau mulut melalui batuk dan bersin. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa COVID-19 sebagai virus pandemik yang berbahaya dan mampu merebak dengan begitu pantas. Kewujudan varian-varian yang lebih ganas menyebabkan virus ini lebih mudah menular dan membunuh lebih banyak manusia.

Pandemik COVID-19 yang tidak terkawal mampu meruntuhkan sistem politik, ekonomi dan sosial bagi sesebuah negara. Lebih parah lagi, pandemik COVID-19 mampu menjejaskan sistem ekonomi global. 

Di Malaysia, kerajaan mengeluarkan perintah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha untuk membendung pandemik COVID-19 daripada terus menular. Industri penerbitan dan media cetak yang semakin hari semakin kurang mendapat perhatian bertambah goyah apabila berhadapan krisis pandemik COVID-19. Arahan kerajaan menyebabkan banyak premis dan industri perniagaan terpaksa ditutup. Malah, ada di antaranya terpaksa menutup premis dan industri perniagaan mereka sepenuhnya.

Begitu juga dengan industri penerbitan dan media cetak. Nasib kebanyakan industri penerbitan dan media cetak kini bagai telur di hujung tanduk. Terdapat diantara penerbit yang telah menutup premis sepenuhnya terutama yang menjalankannya secara kecil-kecilan. Pandemik COVID-19 menyebabkan industri ini semakin dipandang sepi dan dianggap tidak penting. 

Kesan COVID-19 kepada Industri Penerbitan dan Media Cetak

Pandemik COVID-19 memberi kesan yang besar kepada industri penerbitan dan media cetak. Industri ini amat memerlukan persekitaran yang terbuka untuk memasarkan produk kepada khalayak. Industri penerbitan dan media cetak berpotensi mengalami kelumpuhan sekiranya pandemik COVID-19 berterusan dalam jangka masa yang lebih panjang. Kerancakan sistem maklumat dan teknologi pada masa kini mengurangkan perkenalan masyarakat terhadap industri penerbitan dan media cetak.

Tidak mustahil, industri penerbitan dan media cetak berkemungkinan tidak lagi menjadi kepentingan dan perhatian daripada semua pihak. Hal ini juga memungkinkan industri penerbitan dan media cetak akan lumpuh sepenuhnya. Inilah senario yang perlu dihadapi oleh industri penerbitan dan media cetak hari ini. Kekuatan untuk bertahan bergantung kepada kerelevanan industri ini untuk terus berada dalam pasaran. 

Sebelum terjadinya krisis pandemik COVID-19, isu industri penerbitan dan media cetak telah banyak dibicarakan tentang kerelevanannya menuju arus kemodenan. Masyarakat dalam negara telah diperkenalkan dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat yang canggih. Masyarakat boleh mendapatkan bahan-bahan informasi dengan hujung jari tanpa perlu membuat pembelian akhbar, majalah atau buku secara fizikal.

Jika sebelum ini, ibu bapa atau golongan tua lebih gemar membeli surat khabar untuk dibaca pada waktu pagi sambil menikmati sarapan pagi. Namun kini, situasi ini tidak lagi berlaku kerana kebanyakannya kini lebih gemar mendapatkan maklumat dan informasi melalui laman sesawang yang disediakan. Sesetengah individu mungkin berpendapat ini adalah satu perkembangan yang positif untuk masyarakat, tetapi tidak bagi industri penerbitan dan media cetak. 

Malang buat industri penerbitan dan media cetak apabila pandemik COVID-19 melanda negara. Pandemik COVID-19 memberi kerugian besar kepada industri penerbitan dan media cetak terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung seperti pengarang, penerbit, pencetak dan pengusaha. Industri percetakan yang tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan proses penerbitan, cetakan dan keluaran bahan bertulis terhenti.

Terdapat pula segelintir penerbit yang bergiat aktif untuk mengadakan jualan buku secara atas talian. Namun begitu, stok bahan sedia ada akan mengehadkan proses jualan tersebut. Hal ini bergantung kepada stok bahan yang terdapat di kilang atau premis perniagaan. Nasib pengarang yang bergantung sepenuhnya kepada penulisan turut mengalami tempias akibat karya yang dihasilkan tidak dapat diterbitkan. Pengusaha premis menanggung kerugian ekoran tiada urusan jual beli dijalankan. Inilah kesan yang tidak terlihat oleh banyak pihak.

Kerelevanan Industri Penerbitan dan Media Cetak Pasca COVID-19

Umum mengetahui pandemik COVID-19 memberi cabaran besar kepada industri penerbitan dan media cetak. Namun begitu, keadaan ini tidak bermakna melumpuhkan industri ini secara terus. Pelbagai usaha dan inisiatif yang diambil oleh pihak industri penerbitan dan media cetak untuk kekal bertahan sepanjang pandemik COVID-19. Jika diteliti dari sudut pandangan yang terbuka, industri penerbitan dan media cetak adalah sangat penting pada masa kini.

Sebagai contohnya, peranan media cetak seperti surat khabar untuk menyajikan kepada masyarakat tentang keadaan semasa pandemik COVID-19. Begitu juga dengan peranan penerbit untuk menerbitkan karya masyarakat yang mulai berjinak dengan dunia penulisan untuk meluahkan perasaan sepanjang tempoh kuarantin atau perintah berkurung. Namun ironinya, kepentingan industri penerbitan dan media cetak tenggelam secara perlahan-lahan dalam pandemik. 

Kerelevanan industri penerbitan dan media cetak menjelang pasca COVID-19 bergantung kepada kemampuan pihaknya untuk bertahan dalam pasaran. Bermula dari sekarang, pihak industri penerbitan dan media cetak perlu meneliti dan merangka perancangan yang tersusun.

Melalui konteks ini, penelitian terhadap usaha dan keberkesanan strategi yang dibangunkan sepanjang pandemik COVID-19 perlu diberikan perhatian. Sekiranya strategi tersebut masih membawa keuntungan, maka layak untuk dipertahankan. Namun begitu, hal ini tidak bermakna pihak industri penerbitan dan media cetak perlu bergantung pada strategi itu sahaja, pembaharuan dan penambahbaikan strategi adalah amat diperlukan dalam pasca COVID-19. Keadaan ini dapat disokong apabila kerajaan mula membenarkan pembukaan premis-premis perniagaan dan industri secara berperingkat. 

  1. Penjualan Secara Atas Talian

Penjualan secara atas talian kini menjadi pilihan utama bagi industri penerbitan dan media cetak. Masyarakat kini lebih gemar untuk membuat pembelian secara atas talian berbanding mendapatkan terus di mana-mana premis perniagaan. Tambahan pula, kebanyakan premis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pandemik ini. Oleh hal yang demikian, penjualan secara atas talian mampu membantu penerbit dan pencetak untuk mengutip keuntungan melalui promosi yang diadakan.

Penjualan secara atas talian lebih menjadi tarikan masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan. Hanya dengan kemudahan internet dan membuka laman sesawang, masyarakat boleh membuat pembelian dengan mudah dan cepat. 

  1. Pasaran e-buku

E-buku dilihat sebagai salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak industri penerbitan dan media cetak pada zaman pandemik ini. Selain mengadakan penjualan buku secara atas talian, pihak penerbit juga boleh memperkenalkan e-buku kepada masyarakat. Penggunaan e-buku pada zaman pandemik ini adalah sangat relevan dengan situasi semasa. Hal ini berikutan masyarakat kini lebih banyak menghabiskan masa mereka di rumah dengan alat elektronik dan telefon pintar.

Bagi memulakan langkah yang produktif dan progresif, pihak penerbit dan media cetak perlu memberi peluang kepada penghasilan e-buku sebagai satu bentuk pembaharuan baru dalam industri penerbitan dan media cetak. Keadaan ini akan terus membina kerelevanan industri penerbitan dan media cetak menjelang pasca COVID-19. 

  1. Promosi Jualan

Promosi jualan merujuk kepada usaha untuk menarik minat dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan yang diterbitkan. Promosi jualan boleh dijalankan melalui pengiklanan yang diiklankan dalam media sosial dan laman sesawang penerbit. Tarikan iklan dan promosi tentang bahan bacaan yang diterbitkan mendorong permintaan yang tinggi dalam pasaran dan seterusnya mampu menggalakkan pertumbuhan industri penerbit dan media cetak.

Antara promosi jualan yang boleh diadakan adalah seperti memberi potongan harga kepada 10 pelanggan terawal, menyediakan cabutan bertuah dan mengadakan pertandingan berkarya. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada kestabilan industri penerbitan dan media cetak. 

Secara keseluruhannya, industri penerbitan dan media cetak adalah sangat diperlukan sehingga hari ini. Hal ini berikutan melalui bahan-bahan bacaan yang disediakan, masyarakat berpeluang untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan informasi terkini. Tambahan lagi, masyarakat juga berpeluang untuk mengasah bakat melalui penulisan.

Tidak dinafikan bahawa zaman kian berubah ke arah arus pembangunan dan teknologi. Namun, dalam situasi ini pihak industri penerbitan dan media cetak juga perlu turut sama membangun. Industri penerbitan dan media cetak perlu mengambil peluang ini sebaiknya untuk mendidik masyarakat supaya lebih gemar membaca. Secara konklusinya, industri penerbitan dan media cetak adalah relevan dalam apa jua keadaan. 

Disediakan oleh,

Norshahera binti Zulkifli

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.