Permulaan para anbia diutuskan kepada semua manusia adalah untuk mengajak seluruh kaum mereka kembali mentauhidkan Allah termasuklah Nabi Muhammad SAW, penutup segala nabi dan tidak akan ada lagi nabi setelah itu.

Segala ajaran nenek moyang hatta berhala yang membiak di merata-rata, kepercayaan yang pelbagai kerana menyembah selain daripada Allah SWT turut dihapuskan kerana semua ini tidak mendatangkan maslahat melainkan kemudaratan yang membawa kepada dosa-dosa besar dan menduakan Allah SWT.

Peranan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama tauhid ini tiada bezanya sebagaimana tanggungjawab para anbia pada zaman dahulu meskipun didatangkan mengikut syariat yang berbeza-beza.

Selain membawa rahmat kepada seluruh umat manusia, terdapat hikmah-hikmah lain Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada manusia, antaranya:

1. Memberi khabar gembira dan peringatan.

Seorang Rasul yang diutuskan sebagai ketua bagi memimpin urusan manusia di muka bumi bukan cuma memberi khabar gembira buat orang-orang yang taat mengerjakan kebaikan di dunia. Akan tetapi, Nabi Muhammad SAW juga diutuskan bagi memberi peringatan kepada manusia yang berbuat kemungkaran.

Firman Allah SWT,

وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.” [Surah Al-Isra’:105]

Mengenai penjelasan ayat ini disebutkan dalam Tafsir As-Sa’di bahawa,

“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira,” bagi orang-orang yang mentaati Allah dengan balasan pahala di dunia dan akhirat “dan pemberi peringatan,” bagi orang yang bermaksiat kepada Allah dengan hukuman di dunia dan akhirat.”

2. Memperbaiki akhlak manusia.

Nabi SAW mempunyai akhlak yang disamakan seperti al-Quran. Oleh kerana itu, baginda juga diutuskan kepada manusia bagi menyempurnakan akhlakul karimah. Masalah akhlak yang timbul dalam kalangan sesetengah umat Islam pada ketika ini ialah nipisnya adab dalam berkata-kata. Orang yang berjanji, berkhianat, yang jujur mulai berdusta. Sedangkan orang yang diminta memegang amanah membocorkan dengan sengaja. Demikian, banyaknya cacat cela akhlak manusia yang menyebabkan umat Islam wajib mencontohi sikap luhur baginda.

Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya aku hanyalah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang luhur.” [Shahih Al-Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 273. Sahih menurut penilaian Syaikh Al-Albani]

3. Memberi contoh teladan.

Di dalam kehidupan Rasulullah SAW itu terdapat petunjuk yang banyak bagi memandu kita dalam apa jua bentuk situasi. Baik dari sudut cara baginda bermuamalah, perkahwinan dan gaya baginda menguruskan isteri-isterinya, soal pentadbiran negara dan lain-lain.

Disebutkan melalui Firman-Nya,

ﻟَّﻘَﺪْ ﻛَﺎﻥَ ﻟَﻜُﻢْ ﻓِﻲ ﺭَﺳُﻮﻝِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺃُﺳْﻮَﺓٌ ﺣَﺴَﻨَﺔٌ ﻟِّﻤَﻦ ﻛَﺎﻥَ ﻳَﺮْﺟُﻮﺍ ﺍﻟﻠﻪَ ﻭَﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺍْﻷَﺧِﺮَ ﻭَﺫَﻛَﺮَ ﺍﻟﻠﻪَ ﻛَﺜِﻴﺮًﺍ

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (aitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah Al-Ahzab: 21]

Syaikh Abdul Razzaq bin Muhsin Al-Badr berkata dalam Syarah Syama’il,

“Telah maklum bahawa meneladani beliau merupakan cabang iman dari mengetahui sifat-sifat beliau. Demikian seseorang tidak dapat meneladani beliau dan konsisten dengan petunjuk beliau kecuali mengetahui sirah dan sifat-sifat beliau yang agung.”

Membaca kisah perjalanan beliau sepanjang baginda hidup dapat mendorong seorang muslim mengetahui akan beratnya tanggungjawab seorang Rasul dalam menyeru mengimani Tuhan yang satu.

Lalu, apakah tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin yang mengangkat baginda ini sebagai utusan Allah? Tidak lain, melainkan meninggikan semula tiang agama ini yang semakin runtuh dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW yang ditinggalkan tanpa mencampur adukkan antara yang benar dan batil.

Sesungguhnya, baginda telah melalui fasa-fasa menyakitkan apabila kehilangan orang-orang terpenting yang menjadi penyokong setia baginda dalam menegakkan syiar Islam.

Nabi Muhammad SAW bertaruh nyawa demi umatnya meski ditentang ahli keluarga dan diperangi oleh musuh dalam keadaan bilangan umat Islam amat sedikit. Jumlah bukan penentu kekalahan namun kekuatan dan semangat kesatuan melawan pihak musuh itulah yang membawa pada kemenangan.

Perangai kesukuan oleh sesetengah kaum muslim kebelakangan ini, tiada bezanya seperti sifat jahiliah yang mengakar kerana sanggup berpecah belah atas dasar kepentingan golongan.

Dengan meyakini hikmah baginda diturunkan, mudah-mudahan semakin kuat tekad seluruh umat Islam menyebarluaskan agama ini dan menjauhi perpecahan yang membinasakan di akhir zaman. 

Semoga kita termasuk dalam kalangan yang merasai tegukan air daripada telaga al-Kautsar baginda, yang mana hanya mereka yang terpilih sahaja dapat merasai kenikmatannya kerana berada di atas jalan Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda,

“Aku akan mendahului kamu di al haudh (telaga). Dinampakkan di hadapanku beberapa orang di antara kamu. Ketika aku akan mengambilkan (minuman) untuk mereka dari al haudh, mereka dijauhkan daripadaku. Aku lantas berkata, 

‘Wahai Rabbku, ini adalah umatku.’

Lalu Allah berfirman, ‘Engkau sebenarnya tidak mengetahui bid’ah yang mereka buat sesudahmu.” [Shahih al-Bukhari no. 7049]

Rujukan:

  1. Quran Tadabbur, Susunan Bekal Islam dan Tim UFA Official.
  2. Syarah Syama’il Nabi Muhammad SAW Imam At-Tirmidzi, hal. 2. Syarah oleh Syaikh Abdul Razzaq bin Muhsin Al-Badr. Pustaka Al-Kautsar. Cetakan Pertama, Tahun 2000.

Disediakan oleh: Syuhara Suriati

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.