Agama Islam memandang perkahwinan sebagai sunnah yang dituntut kepada umatnya apabila telah melepasi syarat. Bahkan terdapat banyak hadis menyebut tentang kelebihan mendirikan rumah tangga.

Merujuk akhbar Sinar Harian pada 2 Mei 2020 lalu telah melaporkan kes penceraian dalam kalangan orang Islam di Malaysia telah mencecah 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Hal ini amat membimbangkan dan memberi satu gambaran buruk terhadap agama Islam di mata orang bukan Islam. Walaupun Islam membenarkan penceraian namun ia bukanlah satu galakan kepada umat Islam.

Penceraian (talak) merupakan kuasa yang ditentukan oleh suami untuk membubarkan ikatan perkahwinan. Perkataan talak sudah digunakan sejak zaman Jahiliah yang bermaksud penceraian antara pasangan suami isteri. Berdasarkan definisi di atas, jelaslah bahawa cerai adalah satu jalan atau cara untuk berpisah atau memutuskan hubungan antara suami dan isteri.

Pensyariatan cerai atau talak adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

Maksudnya: Wahai Nabi, apabila engkau (dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya. (Surah At-Tolaq:1)

Seterusnya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah Taala ialah Talaq.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa Islam membenarkan penceraian atau pembubaran perkahwinan. Namun penceraian merupakan perkara halal yang dibenci oleh Allah SWT. Allah SWT menghalalkan cerai kerana terdapat hikmah bagi memelihara manusia daripada dizalimi dan sebagai penyelesaian kepada konflik rumah tangga. 

Tujuan asal perkahwinan adalah kehidupan yang berterusan di antara suami dan isteri. Oleh itu, Allah SWT mensyariatkan beberapa hukum hakam dan adab-adab demi mengekalkan hubungan di antara suami isteri. Walau bagaimanapun, kadangkala suami dan isteri atau salah seorang daripada keduanya tidak mengikuti hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Misalnya, suami tidak memilih isteri berdasarkan tuntutan syarak. Maka hal ini yang menyebabkan timbulnya masalah. Bahkan, masalah tersebut boleh menjadi besar dan sukar untuk diperbaiki apabila tidak ada lagi persefahaman dalam rumah tangga. Maka, Islam mempunyai peraturan dalam mendepani masalah tersebut. 

Oleh yang demikian, ikatan perkahwinan boleh dileraikan tanpa mengabaikan kedua-dua belah pihak apabila tidak mampu lagi untuk hidup bersama. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغۡنِ ٱللَّهُ كُلّٗا مِّن سَعَتِهِۦۚ وَكَانَ ٱللَّهُ وَٰسِعًا حَكِيمٗا

Maksudnya: Dan jika mereka berdua bercerai, maka Allah akan mencukupkan (keperluan) masing-masing daripada limpah kurniaNya. Allah SWT amatlah luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisa’: 130)

Sekiranya suami menggunakan penceraian sebagai penyelesaian terakhir dalam menyelesaikan masalah, ia merupakan jalan penyelesaian yang bersifat dharuri iaitu amat diperlukan. Namun sekiranya suami menggunakan talak untuk memenuhi hawa nafsunya, maka itu termasuk dalam perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT.

Terdapat beberapa punca atau faktor yang mendorong ke arah berlakunya penceraian. Antaranya, kekurangan didikan agama. Seseorang yang kurang didikan agama mempunyai kecenderungan untuk meninggalkan tanggungjawab dalam kehidupan rumahtangga. Rentetan daripada itu akan membawa kepada penceraian.

Faktor ini sangat signifikan dan perlu diambil perhatian dengan serius oleh pasangan suami isteri terutamanya yang beragama Islam. Hal ini kerana peratusan kes penceraian pada tahun 2020 didominasi oleh orang yang beragama Islam. Kekurangan ilmu agama menyebabkan pasangan tidak mengetahui tanggungjawab sebenar mereka yang mesti dilaksanakan sebagai pasangan suami isteri. Oleh yang demikian, hal ini sangat penting dan harus dititiberatkan.

Sebagai umat Islam, suami dan isteri mestilah sentiasa meningkatkan ilmu agama dan meletakkan penghayatan yang tinggi terhadap agama. Dengan pegangan agama yang teguh pasti akan menatijahkan rumahtangga yang harmoni dan penceraian dapat dielakkan.

Seterusnya, faktor personaliti diri. Personaliti diri yang dimaksudkan ialah sikap negatif sama ada sikap suami atau isteri seperti sikap ego, suka mengongkong dan cemburu buta.

Hal ini disokong oleh Rodrigues A. E., et al. dari Florida State University yang menyatakan dua faktor utama penceraian ialah sosiodemografi dan perbezaan individu. Perbezaan individu di sini bermaksud perbezaan daripada sudut personaliti diri, kesihatan, kawalan diri dan latar belakang. Hal ini termasuk dalam bab akhlak di dalam Islam, Islam sangat mementingkan akhlak yang baik dan rujukan terbaik dalam akhlak adalah diri Rasulullah SAW. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya tidak aku ditutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak”. (Riwayat Ahmad)

Justeru, apabila kehidupan bermula dengan akhlak yang baik secara tidak langsung akan menghasilkan personaliti yang baik seterusnya menatijahkan rumahtangga dan hubungan yang baik antara suami dan isteri.

Natijahnya, penceraian atau talak ialah satu jalan penyelesaian dalam rumahtangga yang memisahkan suami dan isteri secara sah menurut syarak. Penceraian bukanlah satu perkara buruk jika dilihat daripada pelbagai sudut, malah mempunyai hikmah disebaliknya. Antara hikmahnya adalah tidak menganiayai kedua-dua belah pihak apabila sudah tidak mampu untuk hidup bersama.

Sebagai orang Islam, pasangan suami isteri perlu berusaha dalam memastikan rumahtangga dibina dengan ilmu agama yang jitu dan sentiasa mengelakkan daripada timbulnya punca kepada berlakunya penceraian. Namun sekiranya penceraian merupakan jalan terbaik, ia tidaklah salah di sisi agama.

Disediakan oleh,

Afiq Akmal

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.