in

LoveLove CuteCute

Hidup Saya Tidak Tenang Tanpa Keberkatan Mereka

Tidak ramai yang ambil peduli soal ‘keberkatan’. Perkara yang tidak dapat dilihat fizikal selalu diabaikan, hanya orang yang rasa kepentingan keberkatan ini sahaja akan faham. Saya menulis ini untuk kongsi beberapa perkara dalam konteks keberkatan.

Hal ini membuatkan diri saya sedih kerana berlaku kepada seseorang yang sangat saya hormati. Saya berasa perkara ini tidak sepatutnya terjadi di kalangan penuntut ilmu mahupun dikalangan yang bergelar ‘anak’ terutamanya.

Keberkatan ini sebenarnya sangat memberi kesan yang mendalam dalam kehidupan. Walaupun hidup menjanjikan mudah tetapi apabila mendapat ‘keberkatan’, setiap perkara yang sukar akan menjadi mudah.

Sebagai seorang penuntut ilmu, untuk mendapat keberkatan ilmu dan mudah faham dalam pelajaran adalah dengan menghormati guru atau pensyarah. Walaupun hanya sekadar sepotong ayat “Terima kasih guru”, sudah memadai sebagai tanda hargai penat lelah guru yang mengajar. Senangkan hati si pemberi ilmu, pasti berkat ikut bersama.

Teringat zaman sekolah dulu, cikgu marah apabila nota-nota terbang jatuh ke lantai. Katanya kita tidak menghormati ilmu dan keberkatan ilmu akan hilang nanti. Berkat dan redha amat berkait rapat.

Ilmu itu milik Allah!

Hormati si pemilik ilmu, hormati orang yang menyampaikan ilmu dan hormati juga orang yang menuntut ilmu. Ilmu akan diperoleh akan diberkati dan diredhai. Tidak guna hidup bertahun tanpa adanya redha pelbagai pihak. Usaha segunung belum tentu berjaya tanpa adanya keberkatan.

Begitu juga sebagai anak, berbakti kepada ibu bapa bukan hanya tanggungjawab tetapi untuk mendapat keberkatan hidup. Membahagiakan ibu bapa akan menjemput keberkatan. Keberkatan ini yang akan memudahkan perjalanan hidup, membawa ketenangan kepada hati. Kenapa kita telah usaha sehabis baik tetapi hasil seperti seciput usaha? Kenapa kadang-kadang hati tidak tenteram? Mungkin kerana hal berkat yang selama ini kita memandang remeh.

Jangan dipandang berkat itu sekecil kecil perkara, kerana boleh jadi ia membawa sebesar besar kebaikan.

Kadang kala terfikir, mungkin kebaikan dan kejayaan yang saya peroleh selama ini kerana keberkatan. Usaha saya tidaklah setinggi bukit tetapi perjalanan saya tidak pernah sakit perit, sentiasa ada kebahagiaan terselit.

Saya percaya kerana redha Tuhan selalu bersama, berkat ibu bapa dan guru selalu berdamping telah menjadikan saya yang hari ini. Sungguh! Berdiri teguh dan kuat saya adalah kerana secebis berkat daripada mereka. Berbuat baik kepada tangan tangan pemegang berkat, semoga nanti selalu dalam keberuntungan!


Ditulis oleh,

Nur Izzah Azhar

11 Tips Menulis Untuk Pemula

Chicago Typewriter: Perjuangan Orang Muda Melalui Tulisan, Antara Cinta dan Negara