Hiburan dan keseronokan merupakan antara elemen terpenting dalam kehidupan. Bahkan secara fitrahnya, manusia normal yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai kecenderungan kepada perkara-perkara yang boleh menyeronokan diri. 

Keseronokan, kebahagiaan dan kesenangan adalah diantara warna-warni yang bersilih-ganti melakarkan potret kehidupan ini. Hidup tidak akan menjadi indah tanpa lakaran warna-warni yang menghiasi kehidupan manusia ini. Sememangnya, Allah SWT dengan kebijaksanaan dan kekuasaan Nya, telah menciptakan dunia yang sementara ini dengan pelbagai nikmat keseronokan dan kebahagiaan. Lain orang, lain ragam dan lain pula perasaan.

Sebab itu juga, kita akan melihat sesuatu yang seronok bagi kita, belum tentu hal tersebut seronok juga bagi orang lain. Hal ini kerana, lain orang, lain pula lah kecenderungan keseronokannya. Diatas pelbagai keseronokan itu, adalah sesuatu yang normal bagi kita melihat ada pasangan hidup yang seronok apabila mendapat cahaya mata. Ada pula yang bahagia apabila dapat mencapai cita-citanya dan pelbagai lagi kebahagiaan dan keseronokan dengan apa yang diperolehnya.

Seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia : kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak ; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak ; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih ; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.

Namun begitu, keseronokan yang melampau atau dalam istilah lain disebutkan sebagai “Hedonisme” adalah sesuatu yang dilarang dan ditegah oleh Islam. Menurut Kamus Dewan tahun 2000, perkataan “Hedonisme” merujuk kepada pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Seorang tokoh falsafah barat, Lorens Bagus ketika memberikan definisi berkenaan hedonisme ini, beliau menyatakan bahawa hedonisme membawa maksud konsep moral yang menyamakan kebaikan dan kesenangan. 

Demikian pula menurut Mustafa Kamil Ayub, seorang tokoh politik dan pemikir berpandangan hedonisme ialah suatu sistem nilai barat yang menilai kebaikan hanyalah semata-mata keseronokan yang sama nilai moral mereka.

Secara umum, hedonisme boleh kita fahami sebagai suatu kerangka pemikiran yang membawa kepada kecenderungan keseronokan yang melampau hingga mengabaikan nilai-nilai beragama dan moral. Sisi pandang baik buruknya sesuatu perkara itu tidak lagi dilihat dan diukur dari aspek agama tetapi diukur dari sudut keseronokan, kebahagiaan dan keberuntungan semata-mata. Keadaan ini juga secara tidak langsung menjurus masyarakat kearah materialistik tanpa melihat nilai agama lagi. Hidup tidak lagi ditentukan dengan cara panduan beragama. Sebaliknya, budaya hedonisme ini akan menentukan hidup kita dengan apa yang menyeronokkan kita, yang membebaskan kita lalu memberikan nilai bahagia tanpa batasan.

Keseronokan dalam hidup bukanlah sesuatu yang terlarang. Namun bersikap melampau dalam keseronokan, sehingga diri dipandu oleh kehendak nafsu dan emosi, akan merosakkan jati diri beragama dalam kehidupan. Keseimbangan antara keseronokan dan berhiburan dengan tidak melampaui batas adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. 

Islam bukanlah mengajar kita untuk beribadah 24 jam dan sebaliknya juga Islam tidak mengajar kita untuk berseronok seharian. Seperti yang disebutkan oleh al Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Halal Haram Dalam Islam, beliau menyatakan bahawa :

“Islam adalah agama realiti, tidak tenggelam dalam dunia khayal dan lamunan. Tetapi Islam berjalan bersama manusia diatas dunia realiti dan alam kenyataan. Islam tidak memperlakukan manusia sebagai Malaikat yang bersayap dua, tiga dan empat. Tetapi Islam memperlakukan manusia sebagai manusia yang suka makan dan berjalan di pasar-pasar”.

Budaya hedonisme yang menyeru kepada keseronokan dan hiburan yang melampau akan menjadikan manusia itu menjadi gila dan tenggelam dalam arus keseronokan. Ini juga secara tidak langsung memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa manusia apabila terlalu asyik sehingga ke tahap memuja akan keseronokan, menjadikan kita terlampau kagum sehingga mengangkat seseorang yang kita kagumi itu sebagai pujaan, bahkan lebih teruk lagi sebagai patung sembahan. 

Perkara ini tidaklah pelik kerana kita sendiri dapat melihat bagaimana kematian bapa bola sepak Agentina, Dieogo Maradona telah mengemparkan seluruh dunia. Kematian tersebut juga telah membuatkan beberapa peminat fanatiknya menjadikan patung Dieogo Maradona sebagai sembahan.

Ancaman budaya hedonisme ini juga tidak sekadar berlegar di dalam soal hiburan artis, ahli sukan dan selainnya semata-mata, malah turut mengheret manusia untuk mengubah gaya hidup kearah yang lebih moden dan liberal. Keadaan ini akan memaksa kebahagiaan mulai menjadi barang dagangan dan tayangan di media sosial seperti berkongsi gambar-gambar intim suami isteri, berkongsi gambar kekayaan dan kemewahan dan pelbagai lagi perkongsian bersifat “dalaman” menjadi bahan tontonan. Kesannya, ada yang telah mula beranggapan bahawa keseronokan adalah kemuncak kepada sebuah kehidupan.

Maka tidak hairanlah apabila ada dikalangan kita yang suka membanding-bandingkan hidupnya dengan orang lain bagi menentukan kepuasan dalam sebuah makna kehidupan. 

Sedar atau tidak, hedonisme ini juga telah mengajar kita untuk sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki dan akan mendorong kita untuk berkehendak lagi dan lagi tanpa memikirkan lagi soal halal dan haram dalam Islam. Keadaan ini akan memaksa kita untuk melakukan kemaksiatan dan kemungkaran demi memuaskan kehendak diri. Ancaman ini tanpa diragui lagi, ianya mampu mencabut sifat kesederhanaan yang dituntut dalam Islam dan secara tidak langsung, telah menanam sifat ketamakan dalam diri lantas jatuh dalam lembah kecanduan keseronokan yang melampau.

Demikian sedikit sebanyak gambaran kasar berkenaan “hedonisme” yang merupakan senjata utama pihak musuh Islam bagi mengganggu-gugat keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Seperti yang kita katakan, hedonisme ini tidak tertakluk kepada hiburan artis semata-mata. Malah, boleh menyusup dalam bentuk pemikiran, menyerap masuk dalam gaya hidup, juga tidak kurang bahayanya mampu menyerang melalui kecanggihan teknologi sedia ada. 

Apa yang penting adalah kesederhanaan akan mengajar kita erti kesyukuran. Berpada-pada dengan apa yang ada dan pada masa yang sama, berusaha lah menjadi lebih baik tanpa terlalu obses hingga menggadaikan prinsip beragama. Semoga Allah merahmati kita semua.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.