in

LoveLove OMGOMG

HARUS BANGGA JADI PEREMPUAN!

Perempuan merupakan insan yang istimewa, yang diciptakan oleh Allah SWT bagi menjadi pelengkap dalam dunia ini. Manakan boleh jadi kalau lelaki sahaja yang hidup di atas muka bumi ini, tanpa ada perempuan. Sumbing hidup jadinya kerana perempuan juga merupakan pelengkap hidup. 

Mereka yang bergelar perempuan  telah diberi pelbagai keistimewaan dan kemuliaan oleh agama, yang mana kerana keistimewaan dan kemuliaan yang diberikan itu, mereka dipandang mulia oleh agama Islam, tidak seperti sebelum datangnya agama yang benar dan mulia ini dengan diutusnya baginda Nabi Muhammad s.a.w  untuk membawa risalah  keimanan dan tauhid yang sebenar. Mereka kaum perempuan, sebelum masuknya cahaya Islam ke segenap ruang rumah dan kota, dipandang sangat hina oleh masyarakat Arab Jahiliah.

Bagi mereka, apa gunanya seorang anak perempuan? Bukannya boleh dibuat tolong-tolong untuk keluarga, malah makin menyusahkan hidup adalah. Oleh sebab itu, apabila dikhabarkan kepada mereka bahawa mereka mendapat anak perempuan, marah benar mereka, malu besar diri sang ayah lalu menyisihkan diri daripada bertemu dengan khalayak ramai lantaran menanggung malu. 

Memang, pada zaman kegelapan dalam dunia manusia sebelum datangnya cahaya Islam, anak perempuan itu dipandang sebagai membawa malapetaka dalam keluarga. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, dalam surah An-Nahl ayat 58-59 yang berbunyi:

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسٍوَدًّا وَهُو كَظِيمٌ ٥٨ يَتَوَٰرَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِنَ سُوٓءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِى التُّرَابِ أَلَا سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ ٥٩

Maksudnya: “Dan apabila seseorang daripada mereka dikhabarkan dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam), dan amat marah. (58) Dia bersembunyi daripada orang ramai, disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan (menanggung) kehinaan atau akan menanamnya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ingatlah alangkah buruknya (keputusan) yang mereka tetapkan itu. (59)

Melalui ayat ini, kita dapat melihat tentang sikap buruk dan jijik masyarakat Jahiliah terhadap anak perempuan mereka sehingga dirakamkan sikap keji mereka itu di dalam Al-Quran. Hati mereka keras dan gelap kerana tidak diterangi oleh cahaya Islam, menyebabkan mereka sanggup tanpa berfikir panjang, menghabiskan riwayat hidup anak perempuan mereka, dengan cara wa’dul banaat, iaitu menanam anak perempuan mereka secara hidup-hidup.

Setelah Nabi Muhammad s.a.w diutus oleh Allah SWT menjadi rasul untuk menyampaikan risalah agama, segala amalan buruk dan keji masyarakat Arab Jahiliah pada ketika itu dibanteras habis-habisan dengan cahaya hikmah agama. Baginda s.a.w melaksanakan amar makruf nahi mungkar bukan sahaja dalam penyembahan berhala, tetapi juga menentang adat menguburkan anak perempuan secara hidup-hidup. 

Allah SWT menurunkan wahyu, mencela keras tentang adat jahiliah itu di dalam surah At-Takwir ayat 1-9. Sejak ayat ini diturunkan, kaum perempuan Arab pada masa itu mendapat kembali harga diri mereka yang selama ini dirampas. 

يَٰأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقواْ رَبَّكُمُ الَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَٰحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَآءً وَاتَّقُواْ الَّلهَ الَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا ١

Maksudnya:”Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakannya daripada diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) daripada (diri)nya, dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah, yang dengan nama-Nya kamu saling meminta dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

(Surah An-Nisa’: ayat 1)

Inilah surah di dalam Al-Quran, surah pertama berkenaan dengan hal ehwal kaum perempuan dan ayat ini merupakan ayat yang pertama daripada surah tersebut. Dengan adanya surah ini di dalam Al-Quran, menandakan bahawa Islam sangat mengangkat dan memuliakan kaum perempuan kerana ia surah yang satu-satunya menceritakan tentang kaum perempuan dan diistimewakan surah itu dengan nama An-Nisa’, yang juga bermaksud perempuan. 

Dapatkah kita bayangkan bagaimana perasaan kaum perempuan Arab pada ketika itu, tatkala surah ini diturunkan? 

Mereka mendapat kembali segala harga diri dan kemuliaan mereka, bukan hanya lelaki sahaja yang mempunyai harga diri dan mendapat kemuliaan, tetapi perempuan juga. Dalam diri perempuan itu juga tempat bersatunya antara benih lelaki (sperma) dan benih perempuan (ovum), lalu menjadi ‘alaqah (segumpal darah beku) dan kemudiannya mudghah (segumpal daging), selepas itu berterusan kejadiannya kepada fetus dan kepada bayi, selama sembilan bulan sepuluh hari. 

Makanan bayi dalam kandungan diterima dari ibu dengan gaya begini (video)  Hebat sungguh!

Walaupun para anbia itu di kalangan lelaki, dan tiada yang perempuan, tetapi haruslah diingat bahawa daripada perut perempuan itu jugalah lahirnya para Nabi menunjukkan betapa istimewanya perempuan. Ayat pertama daripada surah An-Nisa’ itu hanyalah satu sahaja diantara banyak lagi ayat yang diturunkan oleh Allah SWT bagi mengistimewakan kaum perempuan. Adanya surah lain, yang diambil daripada nama wanita yang hebat dan mulia, seperti surah Maryam. 

Dan harus diingat, antara bukti lagi bahawa Allah SWT hendak mengangkat darjat kaum perempuan ialah orang yang pertama sekali syahid ialah seorang perempuan, Sumayyah iaitu ibu kepada Amar bin Yasir, yang sejarahnya sangat terkenal dalam dunia Islam. Ini juga bukti kaum perempuan diberi kemuliaan oleh Allah SWT!

Tetapi, jika dilihat pada zaman kita ini, sejauh mana kaum perempuan menyedari akan keistimewaan diri mereka yang diberi oleh agama? Daripada serendah-rendah darjat lalu diangkat ke setinggi-tinggi kemuliaan. Lihatlah hari ini, ramai daripada kaum perempuan hilang mahkota mereka, sehingga diri mereka itu seakan-akan murah sedangkan sangatlah mahal dan berharga. Baginda Nabi s.a.w telah bersabda:

إِنَّ مِمّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Sesungguhnya di antara yang didapatkan manusia dari perkataan (yang disepakati) para Nabi adalah, “Jika kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”

(Hadith riwayat Bukhari)

Lihat, kata para ulama, apabila seseorang itu jika sudah hilang rasa malunya, dia tidak akan malu lagi untuk berbuat maksiat. Wanita atau perempuan kalau sudah hilang rasa malunya, tidak malu mempertontonkan auratnya. Ketahuilah, mahkota perempuan itu ialah  malu. Sedih kita apabila melihat perempuan pada zaman sekarang, lagi-lagi dalam kalangan remaja dan anak muda, mereka  mengikut trend semasa yang sangat jauh daripada landasan agama Islam yang sebenar. 

Ingatlah, Islam telah mengangkat kaum perempuan kepada darjat dan kedudukan yang mulia, tetapi janganlah dengan mengikut trend semasa dan kemodenan zaman, kamu sendiri yang meletakkan diri kamu daripada kedudukan mulia tadi, ke darjat yang sehina-hinanya.

Disediakan oleh,

Mohamad Nur Amierul Afzan Maizan (MAFZA)

SMK Bandar Tenggara 2, Kulai, Johor

3 PESAN ZA’BA KEPADA ANAK BANGSA

Akhirnya Terserah Kepada Kita