Kemaafan buat sahabat, bukan dendam. Inilah yang diamalkan oleh Buya Hamka walau besar sekalipun kesalahan sahabatnya sehingga memaksa beliau pernah terfikir untuk membunuh diri. Ya benar, membunuh diri! Tetapi beliau memilih untuk tidak berdendam.

Bagi mereka yang mengenali Tafsir al-Azhar, sudah pasti mengetahui bahawa kitab ini dikarang ketika Hamka berada di  dalam penjara, angkara sahabatnya sendiri, Presiden Soekarno di atas tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Hamka bebas daripada penjara setelah Indonesia diperintah oleh Presiden Soeharto.

Pada 27 Januari 1964

Ketika itu bulan Ramadhan, Hamka telah ditahan dan disoal siasat selama 15 hari 15 malam. Satu ungkapan berat dan pedih hinggap ditelinganya,

“Saudara pengkhianat! Menjual negara kepada Malaysia”

“Memang saudara pengkhianat!”

Hancur hati Hamka tatkala mendengar tuduhan itu sehingga dan tekanan itu mendorongnya untuk membunuh diri, dibisikkan syaitan bahawa di dalam simpanan Hamka terdapat sebuah pisau-silet, potongkan saja urat nadi agar mati kerana derita yang tidak tertanggung. Berlaku peperangan antara iman dan bisikan syaitan selama satu jam lamanya dan Alhamdulillah, syaitan tewas!

Inilah yang dicatatkan oleh Hamka di dalam bukunya Tasawuf Moden, yang juga menjadi penemannya ketika dalam tahanan di hospital lantaran jatuh sakit ketika mengubat hati dan imannya. 

Berat sekali ujian yang dilalui beliau gara-gara sahabatnya sendiri disebabkan hanya ketidaksefahaman ideologi. Persahabatan yang dulunya akrab menjadi pudar. Tetapi, tetap kemaafan yang dipilih Hamka. Soekarno memberi wasiat agar Hamka yang akan mengimami solat jenazahnya. Demikian wasiat Soekarno,

“Bila aku mati kelak, minta kesediaan Hamka untuk menjadi imam solat jenazahku”

Lalu Hamka menuruti wasiat tersebut seolah-olah pengkhianatan sang sahabat tidak pernah terjadi. Besar sungguh jiwamu Buya!

Dendam baginya adalah dosa, penjara baginya adalah anugerah kerana penjara itulah, beliau berjaya menyiapkan buku tafsir al-Quran. Menurutnya, jika tidak kerana penjara, mungkin kitab itu tidak wujud sekarang. Semoga Allah merahmatimu Buya!

Selain itu, kemaafan juga diberikan oleh Hamka kepada seorang sasterawan iaitu Pramoedya Ananta Toer (Pram) yang menuduh karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck merupakan karya tiruan daripada karya penulis Perancis Alfonso Carr. Pram menyiarkan perkara tersebut di dada-dada akhbar terbitannya iaitu Harian Rakyat dan Harian Bintang Timur.

Sehinggalah pada suatu hari, datang seorang perempuan bernama Astuti dan seorang lelaki bernama Daniel menjumpai Hamka. Sebenarnya Astuti merupakan anak perempuan Pram manakala Daniel adalah bakal menantu Pram. Pram meminta mereka berjumpa Hamka untuk membimbing Daniel memeluk Islam. Permintaan itu dituruti Hamka tanpa menyentuh persengketaan beliau dengan Pram.

Malah, ketika karya Pram telah disekat daripada diterbitkan, Hamka bangkit mempertahankan karya Pram. Beliau tidak bersetuju dengan sekatan itu kerana menurut beliau, jika tidak bersetuju dengan sesebuah karya, haruslah karya itu ditandingi dengan penulisan yang lain, bukan disekat penerbitannya. 

Kemaafan itu tidak semestinya datang daripada kata-kata. Surat wasiat Soekarno dan kehadiran anak Pram menunjukkan kata maaf yang difahami sendiri oleh Hamka manakala kesudian menunaikan permintaan tersebut adalah lambang kemaafan Hamka.  

Nilai persahabatan ini juga dapat dilihat melalui karya Hamka di dalam buku Merantau ke Deli, iaitu persahabatan antara Leman dan Suyono. Pada asalnya, hubungan mereka ini ibarat tuan dan kuli,

Leman berasal daripada Padangmempunyai perniagaan di Deli telah mengupah Suyono sebagai pembantu perniagaannya di samping menjadi pembantu di rumah Leman dan Poniem iaitu isteri Leman yang berasal daripada Jawa. Lama kelamaan, Suyono telah menjadi rakan kongsi perniagaan Leman dan bertambah majulah perniagaan mereka.

Kemudiannya Leman berkahwin dengan Mariatu yang juga berasal dari Padang atas saranan orang tua Leman yang sangat mementingkan adat. Lalu terjadilah pertengkaran antara Poniem dan Mariatun sehingga ungkit mengungkit serta merendah-rendahkan adat dan keturunan masing-masing yang mengakibatkan Leman menceraikan Poniem dengan talak tiga dan menghina keturunan Poniem.

“Orang Jawa kembali ke Jawa, orang Padang kembali ke Padang! kata Leman kepada Poniem saat diceraikan.

Hanya kerana keturunan, jasa Poniem dan Suyono dilupakan begitu sahaja. Lalu Poniem membawa diri ke Medan, diikuti Suyono kerana terasa hati dengan kata-kata Leman. Setelah kejadian itu, perniagaan Leman semakin menurun dan akhirnya Leman muflis manakala kehidupan Suyono dan Poniem selepas itu semakin bertambah maju.

Setelah beberapa lama, Suyono dan Poniem pulang kembali ke Deli. Mereka melihat kehidupan Leman yang semakin melarat, Suyono menawarkan diri untuk membantu Leman dan mamaafkan segala kesalahan Leman terhadap mereka. Suyono juga mengajak agar dilupakan segala persengketaan.

Sungguh indah mempunyai sahabat berjiwa besar. Walau besar persengketaan yang berlaku, namun tetap dimaafkan. Di dalam Falsafah Hidup, Hamka ada menitipkan pesanan tentang persahabatan ,

“Kita bersahabat dengan manusia, bukan dengan malaikat. Tentu kesalahan akan ada pada sahabat itu. Kalau hendak mencari sahabat yang tidak ada salahnya, atau terus sahaja memutuskan persahabatan lantaran terdapat kesalahan, alamatnya kita tidak akan mendapat sahabat”

serta panduan dalam persahabatan

“tetapi hati-hati, satu kali akan kejadian, engau lihat sahabatmu mungkir akan janjinya, bertemu padanya barang yang tidak engkau kehendaki. Waktu itu mesti tahan dahulu, jangan terburu menetapkan hokum. Kita wajib lebih setia, tuntun dan pimpin dia. Kerana boleh jadi kelak akan timbul sesalnya atas perbuatannya itu. Agaknya ada satu sebab yang lain yang menyebabkan dia begitu, itulah yang mesti diselidiki. Kalau kita tahan, ada kalanya dia akan kembali lagi kepada kita, dan lebih setia dari dahulu, kerana maaf kita yang pertama itu.”

Semoga kita bertemu dan menjadi sahabat berjiwa besar!

Disediakan oleh,

Nur ‘Aina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.